Wednesday, December 31, 2008

BELI BUKU ONLINE

Cara untuk menempah :

Sila emailkan order anda di alamat email ini; suhaimi_bp@yahoo.com
1. Nama
2. Nyatakan Tajuk Buku
3. Jumlah buku yang ingin ditempah
4. Alamat penghantaran
5. Jumlah bayaran

Boleh membuat pembayaran di akaun ini:-

CIMB
Mohamad Suhaimi Bin Abdul Aziz
14340001786200

Bagi mempercepatkan respon, boleh juga sms maklumat-maklumat di atas ke talian ini, 0196039187 beserta no resit pembayaran dan tarikh bayaran.

Terima Kasih

BELI BUKU ONLINE


Harga:
Semenanjung : RM30
Sabah/Sarawak : RM35


Pengarang;

Fauzi Zakaria [ MA. UM]

Penyunting
Riduan Mohamad Nor

Harga
RM 15.00


Oleh:

Aris Hazlan Ismail
Riduan Mohamad Nor

Harga

Semenanjung : RM 20.00



Analisis Pilihan Raya Umum ke-12

Oleh:
Riduan Mohamad Nor

Harga

Semenanjung : RM 15.00
Sabah/Sarawak: RM 18.00


Pengarang

Riduan Mohamad Nor

Harga: RM 12.00



Pengarang:

Riduan Mohd Nor
Mohd Fadli Ghani

Harga: RM 18.00


Penyusun:

Riduan Mohamad Nor

HARGA: RM 10.00

Wednesday, December 24, 2008

ALAHAI PERDANA MENTERIKU YANG BERJIWA RAKYAT

Memetik dari Berita Siasah muka surat belakang keluaran 21-27 Disember 2008 berkenaan sewa rumah Perdana Menteri di Seri Perdana dan rumah Timbalan Perdana Menteri (Seri Satria) di Putrajaya berjumlah RM 27,545.80 sehari. Julmah setahun dibelanjakan kerajaan sebanyak RM4.15 juta atau RM 345,833.33 sebulan.

Untuk kos penyelenggaraan pula, sebanyak RM 1.89 juta dibelanjakan setahun manakala RM 158,051.40 bagi rumah PM.

Rumah TPM pula kos penyelenggaraan adalah sebanyak 2.74 juta setahun bersamaan RM 228,333.33 sebulan atau RM 94,156.00 sebulan.

Saya tidak hairan dengan kenyataan ini kerana memang gaya hidup pemimpin negara Malaysia hari ini melampau mewahnya. Berbanding dengan rakyat biasa yang miskin, jurangnya terlalu jauh. Saya pernah bertemu dengan rakyat di sebuah negeri paling maju yang masih tidak bersekolah, tidak tahu membaca dan menulis, rumahnya diterangi dengan lampu minyak tanah, bermandikan air perigi setiap hari. Kenderaan utama mereka adalah basikal atau motosikal buruk yang digunakan untuk bertani.

Lihatlah apa kenderaan rasmi Perdana Menteri dan Menteri kabinet lainnya. Bagaimana pula keadaan istana mereka, istana-istana hinggap di seluruh pelusuk negara dan di peringkat antarabangsa? Keluar negeri macam keluar daerah saja. Berbelanja sehingga tidak ingat akhirat. Berapa ramai pemimpin negara miliki kereta Porche, Jet peribadi, bot mewah dan lain-lain aset mewah?

Hidup segelintir dua pemimpin negara amat melampau berbanding dengan rakyat biasa seperti kita semua. Bagi kita, ramainya yang bekerja makan gaji dengan kerajaan atau swasta, diperah keringat mereka sehingga tiada tenaga. Dengan gaji sederhana itu pula diguna buat menanggung anak dan isteri, rumah sewa, kereta sebuah atau dua, duit nurseri anak-anak, bil-bil rumah, lampin dan susu anak, manakala selebihnya yang tinggal adalah untuk makan minum mereka. Kepada rakyat ini, pemimpin negara kata berjimat cermat, jangan boros, jangan membazir, jangan ikut nafsu.

Untuk beberapa orang yang bergelar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan keluarga mereka berbelanja sakan tidak mengapa. Berapa habis pun tidak menjadi isu, kerana kononnya untuk kepentingan negara. Kemudian canang seluruh dunia merekalah pemimpin yang prihatin, berjiwa rakyat, cakna, ambil berat, dan lain-lain istilah bagi memaniskan lidah. Lain-lain kemudahan smeua percuma. Rumah percuma ditanggung oleh kerajaan, kereta percuma, pengawal peribadi percuma, minyak kereta percuma, pemandu percuma, tol tidak kena bayar, telefon percuma, bahkan segala-galanya percuma. Kononnya mereka pemimpin negara, perlu ada keistimewaan tertentu berbanding rakyat biasa.

Apabila rakyat memberontak, protes, serta menukar undi mereka katakan tidak bersyukur. tidak kenang budi, mentaliti subsidi dan macam-macam lagi. Kononnya merekalah pemimpin sejati, berjiwa rakyat, dan hanya mereka layak memimpin negara. Inilah mentaliti dan gaya hidup Perdana Menteriku yang berjiwa rakyat...






Tuesday, December 23, 2008

IMPIAN SELURUH AHLI PAS SUPAYA HUDUD TERLAKSANA TIDAK PERNAH BERUBAH

Isu Hudud kembali ditembak oleh Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO dalam sesi debatnya bersama YB Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS. Memang pemuda seorang ini terkenal dengan kelantangannya dan kebetahannya bercakap. Beliau juga terkenal kerana suka mencari publisiti termasuk yang dianggap murahan dengan pelbagai ragam dan aksi sebagai anak muda.

Hudud adalah syariat Islam ciptaan Allah, yang membawa maksud had, undang-undang atau peraturan. Secara harfiahnya dan secara perinciannya boleh dilihat jelas dalam kitab-kitab bahasa Arab terjemahan sarjana besar Islam. Ia secara langsung dinaskan di dalam Al Qur'an. Perintahnya jelas dan mudah difahami. Di Dalam Al Qur'an ada beberapa peraturan atau hukuman yang Allah perintahkan untuk dilaksanakan tanpa kompromi. Antaranya seperti hukum zina, mencuri, membunuh, menuduh orang berzina dan lain-lain. Maka ada juga hukum Islam yang tidak jelas sepenuhnya- ada khilaf dan pandangan para ulama' yang direndahkan sedikit tarafnya seperti hukum peminum arak, dadah, dan lain-lain. Ia dinamakan takzir.

Di Malaysia sejak dulu hingga kini mengamalkan hukum takzir. Ia tidak boleh dinamakan hukum Islam selagi mana hudud tidak menjadi asas perundangan negara. Kita tidak boleh mencanang kepada dunia bahawa Malaysia sebuah negara Islam berdasarkan kepada takzir yang dilaksanakan. Takzir tidak boleh mendahului hudud dalam bab syariat Islam yang asas.

Penegasannya Hudud bukan ciptaan PAS. PAS tidak pernah mendakwa Hudud miliknya. Kiranya UMNO ikhlas mahu melaksanakan hudud, maka saya dan ribuan umat Islam lainnya menyokong tindakan UMNO ini. Tetapi ada orang UMNO yang mencipta nama Islam baru. Namanya Islam Hadhari. Walaupun mereka tidak dakwa itu sebagai agama baru, hakikatnya macam Islam yang sedia ada sekarang tidak sempurna. Maka untuk menyempurnakannya terpaksa cipta satu istilah untuk dinisbahkan kepada Islam. Sudah tentu Islam yang ditambahi atau dikurangi tidak sama dengan Islam yang sudah sedia umatnya anuti kini. Macam Prof Madya, ia tidak sama dengan professor sepenuhnya. Professor penuh mempunyai keistimewaan tertentu lebih dari Penolong Profesor (Madya). Sama seperti Jeneral. Di dalam tentera pelbagai pangkat yang boleh hampir-hampir mencapai taraf Jeneral. Ada Mejar Jeneral, Ada Brigadier Jeneral, ada Leftenan Jeneral. Tetapi yang berjawatan Jeneral satu saja. Yang lain adalah pegawai bawahannya saja. Islam samalah. Dinisbahkan dengan nama lain sudah tentu tidak sama. Islam sempurna, manakala Islam Hadhari adalah Islam ciptaan dan tidak sempurna. Islam Hadhari ciptaan manusia di dalam UMNO manakala Hudud yang diperjuangkan PAS tidak ada pertambahannya sejak zaman Nabi Muhammad saw.

Justeru kenapa perlu UMNO terkejut sakan apabila PAS isytihar hendak laksanakan Hudud. Kemudiannya canang ke seluruh negara kononnya PAS akan menentang doktrin dan ideologi DAP kerana berlaga angin soal Hudud. Kalau begini sikap UMNO, kita perlu bertanya balik, betulkah Islam UMNO? Mempertikaikan Hudud, kemudian mencari titik persengketaan PAS dan DAP, kemudian gambarkan seolah-olah PAS akan laksanakan undang-undang ekstrem. Kemudian takut-takutkan bangsa lain seolah-olah semua manusia akan dihukum. Apa jenis Islam parti UMNO ini?

Patutnya UMNO mencari segala kebaikan perkara berkaitan dengan Islam. Cari ruang dan bantu sama dalam memahamkan bukan Islam perkara berkaitan dengan Islam. Ceritakan bagaimana Hudud mampu menjadi penyelesaian masalah jenayah negara yang kian parah. Apakah hudud boleh menyelesaikan isu perzinaan, anak haram, rogol, fitnah liwat, mencuri, rompak, culik, bunuh, minum arak, samun, ragut, dan lain-lain. UMNO patut beri ruang di dalam media rasmi milik mereka (walaupun itu sebenarnya milik kerajaan) untuk beri liputan baik tentang undang-undang Islam ini. Beri ruang Tok-tok guru, dan ustaz-ustaz di masjid dan surau seluruh negara membuka kitab 'jinayat' dan Syariat Islam, bukan hanya cerita bab Haid dan Nifas sahaja. Maka barulah masyarakat khususnya umat Islam akan faham.

Kesimpulannya cerita soal Hudud dan Qisas ini adalah cerita lama diolah kembali. Bagi PAS betapapun halangannya, kami setia bersama perjuangan menegakkan Islam. Siapapun kawan kita, mahupun musuh yang datang, Islam tetap menjadi dasar perjuangan. Biarpun terpaksa menunggu seribu tahun lagi, kerana yang kita cari adalah redha Allah, bukan redha manusia. Ahli dan pendokong PAS bukan mengejar jawatan menteri dan menjadi pak angguk semata, tetapi mengejar pahala dan ganjaran syurga yang tiada tara!

Monday, December 15, 2008

DILEMA RASUAH DI MALAYSIA

Saya kira ramai dari kalangan rakyat Malaysia pernah berpengalaman merasa rasuah dalam hidup mereka. Kadang-kadang bukan diminta tetapi terpaksa hadapi, kerana sudah menjadi budaya. Mungkin ada yang tidak percaya tetapi benar berlaku bahawa rasuah hampir berlaku di mana-mana. Di Pejabat kerajaan, di Bank, di mahkamah, di penjara, di dalam masjid, di bawah meja,di tepi jalan raya, dan dimana-mana.

Rasuah adalah perkataan yang cuba dijadikan ikon kebencian suatu ketika dulu tetapi tidak menjadi. Dulu macam-macam slogan dan kempen keluar bagi menyahkan rasuah di tengah masyarakat, tetapi akhirnya slogan itu kecundang jua. Tidak seperti mana dadah, sambutannya sangat baik dan hampir semua rakyat tahu dan mahu dadah dihapuskan. Tetapi rasuah gagal dijadikan musuh nombor dua selepas dadah.

Punca rasuah gagal dibendung ialah sikap manusia yang menggubal akta rasuah itu sendiri. Di ciptanya akta dan undang-undang rasuah, tetapi diri sendiri tidak diharamkan. Kalau rasuah kena pada orang lain dengan tegas dihukum, tetapi bila kena batang hidung sendiri didiamkan. Diciptanya organisasi anti rasuah, tapi ketuanya sendiri ada bau-bau bacang dengan gejala rasuah.

Saya ambil beberapa insiden yang biasanya orang terbabit akan terpalit dengan rasuah. Contohnya kepada seorang pemandu kenderaan. Kadang-kadang sifat manusia ada kelemahan. Memecut laju, terlupa tali pinggang keledar, lambat hidupkan cukai jalan, terlupa bawa kad pengenalan atau lesen, telefon sambil memandu, melanggar lampu isyarat dan lain-lain adalah kesalahan lazim buat pemandu. Saya bukan pembela pemandu lalai atau cuai. Tetapi saya ingin bangkitkan betapa ramai pemandu terperangkap dengan gejala rasuah apabila suasana tersepit seperti kes di atas. Bila disaman, untuk mengelakkan dari direkodkan seseorang terpaksa meyuap dulu pegawai polis atau JPJ. Pegawai Polis akan mengugut dulu untuk menaikkan kadar saman. Bila rasa-rasanya pemandu tadi boleh 'dimakan' dia pun akan menjual sahamnya, sampai tahap kemampuan pemandu terbabit. Akhirnya pemandu dalam keadaan terdesak terpaksa suap bagi elakkan saman. Maka kaya rayalah beberapa kerat pegawai polis dengan duit kopi pemandu-pemandu.

Situasi kedua, berlaku di Puspakom pula. Kadang-kadang kerenah dan giliran yang terlalu panjang untuk ditunggu maka sesetengah pengusaha kenderaan memberi duit kopi kepada pegawai Puspakom bagi melicinkan operasi pemeriksaan kereta mereka. Bukan sedikit kereta untuk dibayar, sampai beratus bahkan beribu ringgit sebulan pegawai tadi mendapat upah. Kesannya? Ada kereta potong yang lulus Puspakom, ada kereta curi lulus Puspakom dan lain-lain lagi.

Situasi ketiga. Masih berkisar tentang proses jual beli kenderaan. Pernah berlaku pada beberapa kawan yang ingin membeli kereta terpakai. Di tawarkan duit kopi bagi memudahkan proses jual beli kereta mereka. Habuan itu adalah milik pegawai-pegawai bank, yang meluluskan pinjaman mudah dengan segera. Sedangkan sepatutnya rasuah tidak perlu berlaku pun. Tugas pegawai bank adalah memberi pinjaman atau tidak. Tugas penjual kereta adalah menawarkan jualan kenderaan jualannya kepada pembeli. Apa perlu pembeli merasuah pegawai bank atau penjual kereta bagi meluluskan kenderaan yang hendak dibelinya. Memang proses jangka panjang dan penuh dengan birokrasi meletihkan. Sebahagian orang tidak sabar maka rasuahlah jalan penyelesaiannya.

Situasi keempat. Berlaku di pejabat-pejabat kerajaan. Yang makan banyak sudah tentu yang menjaga kelulusan projek. Tauke-Tauke projek segera hadiahkan sesuatu yang paling istimewa dengan 'ikhlas' kepada pegawai tersebut. Kononnya tiada niat apa-apa. Walhal di belakangnya penuh perasaan tamak agar projeknya diluluskan segera, meskipun kadang-kadang tanpa proses tender yang terbuka. Inilah yang berlaku sekitar 50 tahun yang lepas. Bahkan sehingga kini budaya ini berlaku dimana-mana ada pejabat kerajaan tersebut. Yang kaya pegawai terbabit, yang menjadi mangsa adalah pengusaha atau kontraktor Melayu yang ikhlas dan jujur.

Situasi kelima. Berlaku kepada ibu bapa yang miskin dan tidak tahu apa-apa. Anak yang perlu dan mahu ke universiti, kadang-kadang senarainya panjang. Perlu tunggu giliran. Adakalanya bernasib baik maka anaknya dapat masuk universiti. Sebaliknya ada juga kurang bernasib baik. Jadi untuk memungkinkan anaknya tersenari ke universiti maka mereka terpaksa memberi duit kopi supaya anaknya terselit masuk sebagai mereka yang bernasib baik. Ia benar-benar berlaku kepada penduduk kampung saya dulu. Rupanya ia bukan kes terpencil tetapi menjadi-jadi. Ramai insan tidak berdosa 'terkena' dan merana. Yang kaya pegawai-pegawai atasan terbabit.

Situasi keenam. Ia melibatkan kes-kes jenayah dan pembanterasan kongsi gelap, dadah, pelacuran, kelab malam. Pemain utama adalah pegawai polis. Pengarah filemnya adalah tauke-tauke judi dan kelab malam. Selalu bila kita lihat operasi kelab-kelab malam, tidak ramai yang diberkas polis. Pelacur-pelacur dan pengunjung adalah beberapa kerat mereka yang tidak berkepentingan akan ditahan. Dihebohkan dalam akhbar operasi telah berjaya. Walhal kebanyakan kelab malam apabila diserbu malam ini, esoknya operasi macam biasa. Jual Syabu, Ecstasy, kokain dan dadah seperti biasa. Seperti tidak ada apa-apa berlaku. Yang hairannya ramai kalangan mereka yang selamat dari diberkas, seakan-akan telah hidu kedatangan pihak polis. Agak-agaknya siapa yang beritahu kalau bukan ada urusan tidak rasmi di bawah meja antara beberapa orang dalaman.

Begitu juga kepada kumpulan kongsi-kongsi gelap. Pelbagai kes dibongkar dan jenayah dilakukan, polis kadang-kadang lambat bertindak, ditangkapnya seorang dua suspek kemudian dilepaskan kembali. Beberapa kes bunuh didiamkan saja dengan alasan tiada bukti. Inilah dilema kepada kes-kes jenayah di Malaysia. Hendak disalahkan siapa kalau pelakunya dibiarkan bebas didepan mata.

Situasi satu hingga ke lima adalah dilema kepada rakyat biasa. Berlaku kepaada sesiapa dan dimana-mana. Sebenarnya banyak lagi kes rasuah dan pelbagai cara ia boleh berlaku. Adapun kes keenam hanya melibatkan beberapa pegawai atasan saja. Namun kita belum berbicara kes-kes yang melibatkan individu berprofil lebih tinggi. Sudah tentu habuannya pun lebih banyak. Saya tidak mahu menyentuh isu rasuah pemimpin politik dan pegawai tertinggi negara, kerana ramai orang sudah tahu dan mungkin tidak melibatkan banyak pihak. Kes ini menguntungkan beberapa orang tetapi merugikan ramai pihak, sampai tahap menggadai sesebuah institusi.

Namun situasi-situasi di atas adalah kejadian yang benar-benar berlaku di negara ini. Menjadi dilema kepada kita bahawa adakah rasuah menjadi opsyen rakyat bagi memudahkan akses dan kemudahan diri mereka, atau menambah parah luka yang telah bernanah. Hendak diapakan rasuah kerana ia telah sebati di mana-mana. Hendak dipongah semuanya, ia melibatkan ramai orang. Hendak dibiarkan ia meruntuhkan negara. Akhirnya bagi saya, ia menjadi dilema yang berpanjangan...

Friday, December 12, 2008

SPRM :ABDULLAH CUBA LAKUKAN KEJUTAN AKHIR DI PENGHUJUNG LEGASINYA.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membentangkan di Parlimen cadangan menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim digubal bagi meminda serta menambahbaik sistem organisasi yang berhubung kait dengan perundangan dan integriti negara.

Nampaknya Pak Lah di akhir hayat (karier) politik beliau cuba membersihkan nama dan reputasi beliau yang buruk itu. Betapa tidak, di era pemerintahan beliaulah rasuah di Malaysia menjunam ke paras yang paling buruk. Prestasi indeks rasuah Malaysia jatuh teruk berbanding negara 'seangkatan' dengannya. Kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan individu-individu penting di pengapkan begitu sahaja. Di era ini kita mendengar seorang peguam boleh 'bermesra' dengan hakim di luar negara. Dan kes itu merebak melibatkan perlantikan Ketua Hakim Negara yang boleh di jadualkan dan dirancang oleh seorang peguam biasa.

Di zaman Pak Lah juga kita mendengar rasuah berjuta-juta melibatkan pelbagai sektor kerajaan dan kementerian. Dari Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, termasuk berguni-guni laporan dan dokumen bukti rasuah melibatkan individu berprofil tinggi seperti Menteri Kewangan ke 2, Bekas Menteri Besar Pahang, Bekas Perdana Menteri, Bekas Menteri dari MCA, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen dan lain-lain.

Yang lebih mengaibkan, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah turut terkait dengan amalan rasuah. Sebuah badan yang sepatutnya menjunjung tinggi amalan pencegahan rasuah, ketuanya boleh terkait dengan rasuah. Bagaimana seluruh rakyat Malaysia boleh meletakkan kepercayaan bahawa kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang telus, bersih, amanah dan berwibawa.

Sejak itu, dan sebelum-sebelumnya, agensi penting kerajaan telah hilang wibawanya. PDRM sejak dulu dan kini kurang mendapat kepercayaan rakyat bahawa mereka bebas dari amalan rasuah. Kerana itu PDRM terpaksa melekatkan sticker di kereta-kereta peronda bahawa mereka anti rasuah. Rakyat akan menaruh syak apabila sebuah kereta peronda menahan sebuah kenderaan lainnya, benarkah pemandu kenderaan tersebut melalukan kesalahan dan apa-apa imbuhan tambahan diberikan sebagai membantu mengelakkan saman.

Keraguan ini turut sama dikongsi terhadap JPJ, PUSPAKOM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kehakiman, Suruhanjaya Pilihanraya, BPR serta lain-lainnya. Soalnya, sampai bilakah akan kembali kepercayaan rakyat terhadap agensi kerajaan ini?

Abdullah Ahmad Badawi sekarang baru melihat rasuah di Malaysia di tahap yang paling parah. Sejak empat tahun lepas beliau tertidur dan lena diulit pujian melangit. Apabila digasak oleh Rakyat dalam PRu ke 12, barulah beliau tersedar. Namun untuk membaiki kerosakan bukan suatu kerja yang mudah. Ia telah membarah, membusuk dan telah mengalir di urat nadi masyarakat. Pak Lah sekiranya benar ikhlas memperjuangkan anti rasuah perlu berperang dengan anggota kabinetnya sendiri. Ini sarang rasuah paling besar. Beliau kena buktikan kemampuan beliau dengan mengheret pemuka rasuah yang mengaut laba paling besar. Betapa tidak, ramai dari kalangan Menteri yang sudah ada rekod dan laporan rasuah. Mahu bukti, sila semak ke BPR. Semua ini hanya menanti ketegasan beliau atau sekadar retorik Pak Lah terhadap rasuah ini.

Kemudian baru beralih ke agensi penting kerajaan. Pak Lah kena bersihkan semuanya, dari pucuk ke akarnya sekali. Sekali lagi kali ini tugas beliau perlu berperang dengan ahli-ahli partinya. Kerana yang menduduki kerusi strategik di Kementerian dan agensi adalah dari kalangan ahli UMNO/BN atau penyokongnya. Antaranya Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah SPR, Ketua Pengarah BPR, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Audit Negara dan lain-lain lagi. Sebahagian mereka ini pernah dilaporkan rasuah. Sanggupkah beliau menebalkan muka, memekakkan telinga mengharungi segala ranjau menentang rasuah. Ini adalah sebuah persoalan.

Kemudian beralih kepada Jawatan penting di agensi kerajaan. Antaranya Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha-Setiausaha Politik, Pengarah-Pengarah Jabatan, Naib-Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan lain-lain. Kerja Pak Lah bukan mudah. Hasratnya baik dan tindakannya pun baik. Tetapi siapa yang akan menyokong beliau. Dr Mahathir awal-awal lagi mengisytiharkan perang ke atas beliau. Nak harapkan Najib, silap-silap Najib sendiri terperangkap dengan pelbagai aduan yang diserang ke atas beliau. Khairy Jamaluddin, takut-takut Naib Ketua Pemuda UMNO ini pun akan terjerat sama.

Saya melihat akhirnya usaha Pak Lah ini akan tinggal sekadar sejarah bersama Islam Hadhari ciptaannya. Seorang bernama Perdana Menteri meskipun kuasanya besar dan luas, tidak akan mampu membersihkan lumpur dosa rasuah yang pekat dan menebal. Rasuah telah sebati, dan berakar umbi ke dalam tubuh masyarakat. Anwar Ibrahim dulu pun pernah beriltizam yang sama, tetapi tong najisnya terlalu besar untuk dicuci. Beliau sendiri tercampak keluar. Hanya satu yang dirasakan Pak Lah boleh menebas rasuah, bubarkan UMNO atau keluar dari UMNO!

Thursday, December 11, 2008

PPP TIDAK BERANI BERDEPAN KENYATAAN

Lewat tadi Parti Progresif Penduduk (PPP) mengambil keputusan untuk kekal di bawah telunjuk BN. Ternyata omongan dan desakan mereka kepada Pengerusi BN sekadar melepaskan batuk di tangga. Hakikatnya PPP tidak berani menyatakan kebenaran dan menelan kepahitan. Mereka tidak sanggup melepaskan bebanan yang membelenggu leher mereka. Hinggakan nak melepaskan diri dari cengkaman BN pun tidak berani.

Sedangkan seluruh negara tahu, ISA adalah akta zalim. Tanyalah siapa saja. Beberapa hari yang lalu kerajaan BN cuba berlembut dengan membebaskan beberapa tahanan ISA termasuk Yazid Syupaat, profil yang dikaitkan dengan Al Qaeda. Sehingga kini Yazid dan beberapa dozen tahanan tidak dibuktikan bersalah dalam kegiatan militan. Ini adalah sebahagian bukti ISA adalah akta tempang yang direkayasa untuk kepentingan beberapa kerat individu.

Siapa pula nak mengajar BN khususnya pemimpin UMNO erti kemanusiaan kalau PPP pun tidak berani menegur dan 'bermuqabalah' dengan pemimpin mereka. Selamanya pemimpin UMNo akan lena diulit mimpi indah hasil kezaliman yang dipaksakan buat rakyat. Sebelum ini lantang Gerakan dan MCA menyuarakan bantahan terhadap ISA. Dan kita nantikan apakah episod sama berulang pada kedua-dua parti komponen ini, dengan mendendangkan drama dan lakonan sama dengan PPP. Hakikatnya memang BN adalah parti yang bukan berasaskan perjuangan rakyat. Mereka tidak mampu hidup dengan survival diri mereka dan berterusan menagih simpati sehingga sanggup melapah maruah dan martabat diri .

Saturday, December 6, 2008

SALAM EIDUL ADHA

Saya dan keluarg ingin mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya di negara ini.

Peristiwa menyambut Eidul Adha mengingatkan kita pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. yang diabadikan oleh Allah swt di dalam Al Qur'an. Juga kita mengenang detik perjuangan Nabi Muhammad saw sehingga Islam kembali gemilang. Perjuangan memerlukan pengorbanan yang tinggi yang menuntut keikhlasan. Ibadah korban yang menjadi mercu tanda kepada perayaan Eidul Adha adalah pencetus kepada jihad dan pengorbanan yang tinggi dari kita semua. Ingatlah, setiap titisan darah haiwan korban yang mengalir ke bumi adalah suatu pahala yang diangkat martabatnya oleh Allah, manakan pula darah dan keringat yang mengalir dari tubuh para mujahid yang mengejar syuhada!

Berhimpunnya umat Islam di pelusuk dunia di Padang Arafah adalah tanda kesamaan manusia di hadapan Allah kendatipun manusia itu datangnya dari pelbagai latar belakang, kedudukan, pengkat, harta dan nama. Kemuliaan ditentukan oleh darjat taqwa, bukan pada darjat Dato' dan Tan Sri shipnya. Pemakaian Ihramnya para hujjaj menandakan siapa pun diri kita, adalah kerdil dan hina di sisi Allah. Kita adalah sama, berasal dari rumpun dan anak Adam yang sama. Maka mengapa ada di antara kita yang memperbudakkan manusia yang dilahirkan merdeka?

Umat Islam dari pelusuk manapun, akan berhimpun dan bertawaf di hadapan Ka'abah. Tatkala itu, mengapa tiada slogan Hidup Melayu, atau hidup bangsa Arab berkumandang? Yang ada hanyalah slogan membesarkan Allah swt serta kesatuan umat Islam seluruhnya. Kita semua adalah bersaudara, tiada bangsa yang lebih dan yang kurang, asal saja bertaqwa kepada Allah swt. Tidak ada bezanya warna kulit, bangsa, keturunan, darjat dan pangkat- yang ada hanyalah umat Islam yang satu. Alangkah indahnya kalau intipati haji ini diterjemahkan dalam konteks kesatuan jamaah dan Islam keseluruhannya.

Semoga ibadah korban dan sambutan Eidul Adha meningkatkan ketaqwaan kita semua. Semoga pengorbanan kita adalah didasarkan kepada keikhlasan dan jihad pengorbanan kita di hadapan Allah.

Saya dan keluarga memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, kelemahan dan kesalahan kepada semua pembaca budiman. Terima kasih atas sokongan anda. Salam Eidul Adha.

TRAGEDI TANAH RUNTUH DI BUKIT ANTARABANGSA. EMPAT ORANG TELAH TERKORBAN

Takziah diucapkan kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa semalam. Sebelum ini beberapa hari dan minggu yang lalu kejadian tanah runtuh telah berlaku di Damansara dan di Hulu Yam yang mengorbankan dua nyawa. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

Semoga kejadian ini memberi pengajaran kepada kerajaan agar lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek pembangunan di tanah tinggi dan lereng bukit. Dua puluh tahun yang lalu negara digemparkan dengan kejadian kondominium runtuh di Bukit Antarabangsa. Kini kejadian sama berulang di kawasan yang sama. Apakah kita menunggu kejadian yang lebih dahsyat baru kerajaan dan mana-mana pihak yang berkaitan mengkaji kesan bahaya pembangunan di tanah tinggi?

Kita mengharapkan bantuan akan segera tiba. Mana-mana wakil rakyat di kawasan terbabit, harap dapat jengukkan muka bertanya khabar menghulur simpati. Jangan pula timbul isu tragedi seperti ini dipolitikkan demi kepentingan diri. Akhirnya kita akur, walau sehebat mana perancangan manusia tidak dapat elak dari ketentuan Allah. Luas kekuasaan Allah tidak ada batas sempadan berbanding kudrat manusia yang kerdil ini. Dari Allah kita datang kepada Allah jua kita kembali.



Dipetik dari Bernama.

Tanah runtuh Bukit Antarabangsa, 4 maut

KUALA LUMPUR: Empat terkorban manakala lebih daripada lapan orang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh 4 pagi yang menyebabkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa dekat sini, tertimbus.

Empat mayat yang ditemui melibatkan tiga wanita dan seorang lelaki, demikian menurut jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang berada di tempat kejadian.Kirakira 15 orang pula dilaporkan cedera dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan.

Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah, demikian menurut jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian.

Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

Friday, December 5, 2008

PRK KUALA TERENGGANU: AKANKAH PAS DITERIMA SEMULA RAKYAT TERENGGANU?

Nampaknya bahang Pilihanraya bermula kembali. Setelah badan diperas akibat berperang sakan di Permatang Pauh, kini Parlimen Kuala Terengganu menggamit rakyat untuk datang berperang kembali.

Tarikh 17 Januari 2009 dirasakan cukup mendebarkan buat kedua-dua pihak menghadirkan episod baru buat rakyat Malaysia. Pencinta perubahan pastinya mengharap detik kemenangan. 50 tahun sudah cukup menguji kesabaran bahawa UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan perubahan. Perubahan yang diharapkan semakin meleset dan tinggal slogan retorik yang diungkapkan dalam majlis rasmi sahaja.

Selain dari itu, kemenangan adalah penawar luka kehilangan bayangan kuasa 16 September. Terbayang di benak rakyat, tarikh itu yang berlalu dengan hampa. Namun masih ramai menaruh harapan agar Pakatan Rakyat mampu memberi sesuatu. Paling tidak pun biarlah satu kemenangan sebagai saguhati penyedap rasa.

Bagi pencinta perjuangan bangsa pastinya mahu mengekalkan kuasa sang pemerintah agar negara 'tidak tergadai kepada kuasa penjajah'. Itulah mentaliti ahli dan pendokongnya. Seakan UMNO itu pejuang bangsa dan negara manakala parti lain petualang dan pengkhianat negara.

Apapun,Kuala Terengganu bakal memeriahkan negeri Moonsun Cup ini. Pastinya ramai yang berkampung dan melariskan apa juga perniagaan di sana buat sekelip mata. Debarannya semakin dirasai dimana-mana. Mampukah 'giant killer' Pakatan Rakyat sekali lagi menumpaskan gergasi tua bernama BN setelah membenamnya di Permatang Pauh dan PRU ke 12 yang lalu?

Kali ini PAS diamanahkan menggalas kerja sebesar ini. Pastinya tugas ini menuntut pengorbanan dan keikhlasan oleh semua ahli dan pimpinannya. Kuala Terengganu menjadi batu tanda benarkah PAS menumpang tuah kebangkitan Parti Keadilan Rakyat, atau memang PAS mempunyai taring kekuatannya sendiri tanpa mengharap ihsan parti sahabat. Rakyat Terengganu akan diuji sekali lagi, sama ada mereka mampu menerima semula kehadiran PAS atau menolaknya buat kesekian kalinya .

LIM GUAN ENG BERANI MENGANGKAT DARJAT AL QURAN, PEMIMPIN UMNO TIDAK BERANI

Salut dan penghargaan patut diucapkan kepada YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang secara terang-terangan mahu menjadikan al Quran sebagai sumber perundangan utama negara. Kendatipun beliau bukan seorang Islam, tetapi jiwanya sedikit sebanyak ada kehendak dan keinginan untuk menjadikan Al Quran dan Islam sebagai yang tertinggi dari sudut perundangan.

Saya kira ucapan beliau mampu menutup mulut pengkritik yang menyerang DAP secara bertubi-tubi. Ada yang curiga DAP mampu menerima dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Mungkin permulaannya payah untuk menerangkan konsep Islam yang diperjuangkan PAS dengan ideologi sekular-sosialis DAP ini. Tetapi permulaan hambar Pakatan Rakyat terubat dengan ucapan-ucapan berani dari Lim Guan Eng sejak akhir-akhir ini.

Kini beliau mula berjinak-jinak dengan istilah 'amar ma'aruf nahi mungkar', Al-Quran dan lain-lain yang rasanya janggal untuk pemimpin UMNO ucapkan selama ini. Tambahan lagi Lim Guan Eng sendiri yang menganugerahkan sumbangan kepada penghafal-penghafal Al Quran di negeri Pulau Pinang. Mungkin UMNO dan Gerakan sebelum ini ada melakukan perkara yang sama, tetapi yang istimewanya Lim Guan Eng sendiri berucap mahukan Al-Quran, manakala UMNO tidak pernah zahirkan mahu memartabatkan Al-Quran, apatah lagi mahu melaksanakannya. Gerakan yang sekian lama memerintah Pulau Pinang tidak pula didekati dan didakwahkan oleh pemimpin UMNO untuk memuliakan Al Quran. Bagaimana parti-parti komponen dalam BN dapat mengenali Islam kerana selama ini UMNO memang tidak pernah perjuangkan Islam, menyebarkan dakwah kepada pemimpin dan ahli-ahli parti komponen ini.

Yang UMNO sibuk perjuangkan ialah ketuanan Melayu, hak istimewa orang Melayu. Akhirnya orang bukan Islam kenal Islam ini hanya milik orang Melayu, bukan semua manusia.

Didoakan semoga Allah swt membuka hati YAB Lim Guan Eng menerima Islam. Dan kiranya jadi Lim Guan Eng menerima Islam, sehingga akhirnya menjadi umat Islam yang benar-benar beramal dengan Islam, saya tidak teragak-agak untuk mengangkatnya menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti. Apa salahnya, kalau betul kena pada syarat!



Dipetik dari berita (Harakahdaily):-

Al-Quran sumber perundangan utama - Lim Guan Eng

Al-Quran penting sebagai sumber perundangan utama dan mampu melahirkan masyarakat madani yang berakhlak tinggi, berintergriti yang bersesuaian dengan prinsip 'Amar Ma'ruf, Nahi Mungkar' dan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Demikian antara ucapan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam majlis penghargaan kepada 102 orang penghafal dan pengajar Al-Quran yang memberi khidmat di negeri itu baru-baru ini.

Kerajaan Pulau Pinang dalam majlis tersebut memberikan sumbangan Rm300.00 seorang dan sijil penghargaan kepada 102 orang penghafal dan pengajar Al-Quran yang memberi khidmat di negeri itu baru-baru ini.

Program yang diadakan di Dewan Seminar Komplek Penyayang itu menyaksikan Lim mengotakan janjinya supaya pengajian al-Quran dimajukan supaya masyarakat dapat diselamatkan apabila kandungan al-Quran dihayati bukan diketepikan sebagaimana sebelum ini.

Wednesday, December 3, 2008

KINI ZAID BEBAS MEMILIH HALA TUJU PERJUANGANNYA

Akhirnya Zaid Ibrahim telah disingkirkan dari UMNO. Bekas de facto Menteri Undang-Undang ini dibuang kerana sikap 'biadap' nya terhadap parti UMNO. Beliau akhir-akhir kariernya sebelum meletak jawatan, lantang mengkritik dasar kerajaan. Antaranya ialah ISA.

Beliau juga dilihat sangat menjalin kemesraannya dengan program-program pembangkang. Yang terakhir dihadirinya ialah kongres PKR di Shah Alam serta pertemuan tertutup dengan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Mungkin faktor ini memedihkan hati Abdullah Ahmad Badawi.

Memang wajar Zaid Ibrahim dikenakan tindakan tatatertib kerana sikap berbaiknya dengan musuh politik. Dalam PAS pun, mana-mana pemimpin dan ahlinya yang tidak setia, bersikap curang, serta mengkhianat wajar dikenakan tindakan disiplin. Mana boleh PAS menerima seorang yang zahirnya setia, di luarnya 'berkasih' dengan parti-parti politik lainnya.

Tetapi malang Zaid bukan kerana ketelanjurannya dengan Pakatan Rakyat, lebih dari itu kerana keceluparannya terhadap isu-isu politik. Beliau vokal terhadap isu ISA, malah sanggup letak jawatan kerana mahu bersama dengan aspirasi rakyat. Berjuta rakyat menyatakan suara yang senada seirama, sehinggakan parti komponen BN pun bersuara yang sama. Bahawa ISA perlu dihapuskan. ISA adalah undang-undanga drakonian yang zalim. ISA tidak valid lagi dengan tuntutan zaman ini.

Malangnya UMNO tetap UMNO. Dungu dan sombong, tidak mahu belajar dari kesilapan kekalahan mereka dalam PRU 12. Disalahkan orang-orang seperti Zaid dan PPP sedangkan mereka tidak mahu langsung menjenguk apakah hasrat sebenar dari kehendak rakyat yang mahukan ISA ditutup. Atau mungkin UMNO ada masih ada agenda peribadi untuk diselesaikan atau untuk menyelamatkan nyawa mereka yang sudah tinggal di halkum? Mungkinkah ramai lagi yang mempunyai pendirian seperti Zaid Ibrahim yang sanggup dibuang atau semuanya sudah tinggal sisa-sisa sampah yang busuk dan menanti masa dijemput ajal.

Zaid kini bebas memilih parti politiknya. Maruahnya dijulang tinggi sebagai perwira rakyat. Nilainya sangat berharga. Buat Zaid, tunggu apa lagi, pintu perjuangan bersama Pakatan Rakyat sudah terbuka luas. Harungi bahtera perjuangan ini bersama-sama kami membadai di samudera luas. Selamat berjuang Zaid!

Tuesday, December 2, 2008

KETUANAN MELAYU : SUDAH SAMPAI MASANYA DIGANTI DENGAN KETUANAN ISLAM.

Dua tiga hari ini sibuk berkokok pemimpin UMNO dan BN bertelagah sesama sendiri berkenaan ketuanan Melayu. Maka bersilatlah juak-juak UMNO yang kononnya mahu mempertahankan ketuanan Melayu. MCA dan lain-lain komponen pula melenting keras menolak ketuanan Melayu.

Dr Chua Soi Lek mendakwa ketuanan UMNO dalam BN sebagai punca kejatuhan umat mereka. bukan ketuanan Melayu. Yang UMNO sibu sangat sehingga membabitkan kedaulatan bahasa, kedaulatan raja, dan hak istimewa kaum bumiputera. Walhal yang selama ini menggadaikan hak istimewa orang Melayu bukan UMNO?

Siapa yang menggadaikan kuasa sultan dan raja-raja Melayu sehingga raja-raja Melayu tidak lagi memiliki taring dan daulat mereka sendiri? Siapa yang menggadaikan perkampungan orang-orang melayu kepada kuasa 'asing' di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang? Siapa pula yang membasmi tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara? Siapakah orangnya yang merubah kedudukan bahasa Melayu menjadi perantara utama di sektor korporat, sehinggakan orang Melayu dipaksakan fasih berbahasa Inggeris sebagai syarat utama mendapat pekerjaan? Mana istimewanya Bahasa Melayu? Siapakah yang menjual kecemerlangan pendidikan sekolah sehinggakan Subjek Matematik dan Sains yang sangat kritikal itu diajar dalam bahasa Inggeris? Siapakah mereka yang menggadai hak istimewa orang Melayu sampai membela kroni-kroni 'asing' yang mendapat laba besar hasil dari projek mega negara?

Ternyata mereka bermain dengan kelakonan yang hebat. Nak dimarahnya buat apa? Memang UMNO menjual maruah bangsa Melayu sejak dulu, kini dan selamanya. Memang wajar Dr Chua Soi Lek bising soal ketuanan UMNO dalam BN kerana memang perangai UMNO sebagai pembuli besar dalam BN. Bila disentuh soal UMNO, seolah-olah MCA atau parti komponen lainnya berperang dengan seluruh umat Melayu.

Ketuanan bangsa telah tiba pada ajalnya. Kini selayaknya kita berjuang atas dasar ketuanan Islam. Islam adalah agama sarwajagat. Seluruh dunia ada umat Islam, tetapi hanya Malaysia ada umat Melayu. Yang utama ialah kesatuan dari sudut Islam. Maka saya yakin, kalau UMNO menukar slogan perjuangannya, maka sokongan kepada mereka akan meningkat. Inilah yang kami (PAS) perjuangkan. Kami rela kalau bangsa kami mati, asal jangan Islam mati. Dan kami rela mati untuk Islam yang kami daulatkan selama ini.

PETROL TURUN 10 SEN LAGI MULAI ESOK

Telah diumumkan oleh kerajaan BN esok harga Petrol akan turun 10 sen lagi menjadikan minyak RON 97 berharga RM 1.90 sen, sama macam harga sebelum kenaikan tahun 2007 yang lalu. Manakala RON 92 dan Diesel akan bernilai RM 1.80 sen. Alhamdulillah, dalam kepayahan rakyat ada kelapangan.

Lepas ini kita tengok pula apa kata peniaga. Berani kah mereka menurunkan harga barang yang sekian lama meingkat. Beranikah kerajaan bertindak tegas kepada peniaga-peniaga yang masih 'cekik darah' mengekalkan harga lama. Pengusaha-pengusaha bas persiaran dan teksi, apa alasan mereka hendak berikan.

Kita semua mengharapkan semua pihak mengambil kesempatan ini untuk berlumba menurunkan harga barang. Mungkin juga peranan Pakatan Rakyat yang berterusan mendesak kerajaan, menyebabkan mereka tunduk kepada tekanan rakyat, berkebetulan pula harga minyak turun mendadak. Gamaknya kalau kerajaan BN masih kekal dengan kuasa majoriti dua pertiga besar seperti tahun 2004 adakah mereka mahu menurunkan harga minyak seperti hari ini?

Monday, December 1, 2008

KEM MOTIVASI SPIES SELANGOR BAKAL LONJAKKAN DR HALIMAH


Kelmarin saya menyertai Kem Motivasi SPIES anjuran kerajaan Negeri Selangor di sebuah Kem di hujung Selangor. Pengisiannya santai tetapi penuh makna, simple dan ada 'mesej' yang hendak disampaikan. Kini Selangor diserang dengan penangan SPIES di mana-mana. Setiap remaja, belia, siswa, pekerja kilang, dan sesiapa sahaja disasarkan. Hampir setiap waktu terluang, SPIES menjenguk peserta. Ibu bapa boleh merasa lega apabla dimaklumkan bahawa yuran ke kem SPIES ini adalah percuma.

Kalau beginilah remaja dan belia Selangor hendak dibentuk oleh Pakatan Rakyat, saya amat bersyukur. Kerana sebelumnya, sejak selepas Merdeka sehinggalah pada tanggal 8 Mac 2008, saya belum pernah diberikan peluang menyertai program seumpama ini, baik sebagai peserta mahupun sebagai jawatankuasa. Pernah dulu saya sertai pelbagai aktiviti perkemahan, kem motivasi yang berlambak-lambak, tetapi atas nama konsultan tertentu, menggunakan kaedah dan nama yang pelbagai. Saya juga biasa kendalikan kem-kem motivasi di kawasan dan di Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Ini semua inisiatif sendiri. Baik modulnya, berjayalah peserta tu. Gagal modul, gagallah peserta.

Yang hebatnya SPIES di Selangor kerana ia dirancang sebegitu rupa. Ada skuad yang merancang modul, ada team yang buat latihan kepada konsultan, ada taklimat, ada pemantauan, dan kesannya setiap konsultan memberikan persembahan yang terbaik kepada peserta. Setiap program diberikan pemarkahan, supaya peserta tidak pulang dengan sia-sia. Supaya tidak jadi seperti sebelum ini (PRU ke 12), yang kaya syarikat konsultan, yang rugi kerajaan negeri dan tidak mendapat apa-apa ialah peserta.

Kalau kerajaan dulu, agenda pendidikan bukanlah keutamaan. Program-program seperti ini adalah perniagaan yang sangat menguntungkan, inilah masanya konsultan memainkan peranan masing-masing. Tidak ada jenama yang direka supaya remaja mesra dengan kem pembentukan diri seperti ini. Semuanya bersepah mengikut cita rasa wakil rakyat masing-masing.

Saya difahamkan sebelum PRu 12, Program-program sebegini hanya diserahkan kepada 3 syarikat sahaja . Memang beruntung besar ketiga-tiga syarikat ini yang salah seorang darinya dimiliki oleh seorang personaliti terkenal. Tiga syarikat ini sahaja yang memonopoli kesemua program. Kemudiannya tidak ada pemantauan diberikan. Produk apa yang hendak dihasilkan, bukan menjadi persoalan. Yang penting 'fulus' masuk.

Kem SPIES Selangor ini dihasilkan oleh tenaga-tenaga professional sangat 'menyentuh' jiwa remaja dan belia. Dipentingkan solat, ibadah, perfikiran kreatif dan positif, mengutamakan kecemerlangan, menjadi anak yang soleh, berjihad, dan bersahabat. Mungkin ada persamaan dengan mana-mana kem yang pernah dianjurkan oleh mana-mana syarikat, tetapi yang saya nampak ialah segi keberkatan terhadap program. Produk SPIES dikongsi bersama oleh 33 syarikat. Tender terbuka dibuat dan hampir kesemuanya diberikan keadilan menjayakan program. Ada pemantauan, sekiranya pihak syarikat gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan, bermakna malaplah masa depan mereka di Selangor.

Apabila ia dianjurkan oleh sebuah kerajaan negeri, dengan kos ditanggung oleh kerajaan (bukan mencari untung seperti sebelum ini), dan niat untuk mendidik remaja dan belia dan diusahakan secara bersama oleh pendokong-pendokongnya tanpa mengharapkan kemewahan yang melampau (juga bukan seperti sebelum ini), sudah pasti yang tergambar di jiwa saya terhadap keberkatan program.

Bahawa SPIES ini hanya alat untuk mendidik remaja dan belia ke arah mengenali tuhannya, menjadi insan yang soleh dan solehah, dan berjaya di lapangan hidup. Bahawa SPIES ini dijadikan aset untuk mentarbiyah remaja, melalui agenda bersama sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan, bukan keuntungan. Bahawa program ini mampu menjadi ikon kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain, supaya mencipta satu jenama yang dekat dan 'lekat' dengan remaja dan masyarakat. Bahawa keberkatan tetap terpancar apabila ia diusahakan bersama oleh semua pihak, tanpa sikap oportunis dan individualistik.

Saya melihat SPIES ini mampu menjadi jenama yang bakal melonjakkan Dr Halimah Ali sebagai ikon pendidikan di Selangor ini. Kita semua mengharapkan Pakatan Rakyat dikenang sebagai pihak yang membawa obor kebajikan yang kental dan ikhlas kepada rakyatnya, dan PAS lah menjadi pelopor utamanya!