Thursday, November 27, 2008
ELOK EZAM MASUK PAS KALAU RASA PAS TERBAIK TERAJU SELANGOR
Ke mana pergi keberanian beliau untuk mendedahkan kepincangan rasuah dalam UMNO sepertimana Tun Dr Mahathir buat. Kenapa beliau tidak sanggup bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir untuk sama-sama 'membogelkan' penama-penama rasuah dalam UMNO. Kerja itu lebih awla dari sibuk memberi pandangan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Saya kira rakyat Selangor sudah mangli dengan sikap hipokrit dan oportunis pemuda UMNO ini.
Memang nada dan pandangannya nampak baik, tetapi itu juga membawa implikasi dan maksud untuk mencerai-beraikan perpaduan dalam Pakatan Rakyat. Kerajaan Selangor baru berusia 8 bulan, belum dewasa dan sedang bertatih mengendalikan kerajaan, UMNO yang telah lama berkarat di Malaysia tidak pula berani dicuitnya.
Saya nasihatkan beliau supaya kiranya benar PAS lebih baik dari PKR dalam meneraju kerajaan di Selangor seperti pandangannya, buatlah perubahan, tinggalkan UMNO dan masuk PAS. Tunggu apa lagi kalau UMNO yang beliau anuti kini telah jelas dengan kerosakannya, manakala PKR yang beliau tuduh tidak bersih, maka pilihan utama yang ada hanyalah PAS. Dalam PAS beliau mempunyai pilihan untuk membetulkan kepincangan, memperjuangkan kerajaan yang adil dan bersih, jauh dari rasuah, demokrasinya hidup, syuranya subur, dan perpaduan ahlinya makmur. Inilah masanya kalau betul-betul beliau ikhlas pada rakyat dan negara.
Wednesday, November 26, 2008
INUL DARATISTA HADIR BAGI MEMENUHI SELERA PEMUJA NAFSU!
Saya dan beberapa orang exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, yang dikemudi oleh Ketuanya yang sedang 'sahamnya' meningkat naik, Sdr Kamaruzaman Mohamad naik pula Pejabat JAKIM. Dulu kami puas memanjat tangga dan lif DBKL, dan PUSPAL menyerahkan nota bantahan penganjuran konsert Inul. Kini Inul memaksa kami naik turun bangunan JAKIM bagi mendesak pembatalan konsert Inul.
Kami bagaikan pengemis meminta JAKIM meneliti kembali prosedur kelulusan konsert. Macam hendak mengajar pula Pejabat Agama Islam yang mempunyai kakitangan berpuluh dan beratus orang, sebahagian besarnya lulusan Timur Tengah (agama), tentang soal halal haram, dosa dan pahala. Sedangkan inilah tugas asasi Jabatan yang menjaga hal ehwal umat Islam di negara ini. Menjaga amar ma'aruf nahi mungkar sepatutnya menjadi agenda utama JAKIM.
Inul ini artis yang berimej lucah. Apa yang paling istimewa pada dirinya ialah 'goyang gerudi'. Nak kata popular kerana suara dan vokal, saya kira biasa saja. Ramai lagi artis Indonesia yang berimej baik boleh dijemput. Lelaki mana yang tahan nafsu melihat tarian 'gelek gerudi' (goyang pinggang) yang 'mengancam keselamatan negara'. Artis muda, ada rupa, cantik, suara lunak, badan cantik, seksi - pakej utama keghairahan lelaki. Semua terkumpul pada diri Inul.
Saya hairan institusi seperti JAKIM atau DBKL. Teraju utamanya orang Islam. Memang yang memohon permit itu mungkin bukan Islam, tetapi apa kerja mereka selaku manusia yang diamanahkan institusi penting negara. Saham dosa meluluskan permit program maksiat seperti ini sama besarnya dengan penganjur yang mengadakan konsert tersebut, sama juga dengan penontonnya. Takkan mereka tidak tahu!
Kalau betul mahu promosi Malaysia di arena antarabangsa, jemputlah artis yang sopan dan berakhlak. Saya kira tidak kurang artis-artis Indonesia dan Malaysia yang bersopan. Kumpulan yang menyanyikan lagu Ar Ruhul Jadid sebagai contoh mampu membawa dimensi baru dunia muzik. Mereka mampu menghalakan anak-anak muda kepada penghayatan jihad. Itu satu contoh dari ratusan lagi artis yang berimej baik boleh diketengahkan.
Bila jemput Inul, maka ramai penonton dari kalangan orang Indonesia. Kenapa pula penganjur nak menghiburkan penonton Indonesia lebih dari penonton Malaysia. Adakah majoriti penduduk Malaysia orang Indonesia? Patutnya pentingkanlah orang Malaysia lagi. Hiburkan rakyat Malaysia dengan artis tempatan, yang baik dan sopan berbanding menghiburkan orang 'seberang'.
Biasanya, bila tamat konsert, maka berduyunlah anak muda 'menghurung' pasangannya. Kalau datang berkumpulan, yang anak gadis pasti menjadi mangsa. Maka dicarilah tempat-tempat sunyi seperti taman-taman, hotel, pusat rekreasi sebagai tempat melepas syahwat. Lalu, akan lahirlah anak-anak yang tidak beribu ayah beberapa bulan akan datangnya.
Maklumlah yang hadir pakaiannya 'mengancam keselamatn negara' bagi yang melihat. Mana ada penonton yang hadir ke konsert pakai purdah, serban, jubah. Kalau yang datang berpakaian macam itu, kami lah orangnya. Datang nak edar risalah nak sedarkan anak muda. Seperti Konsert Avril Lavigne, Gwen Steffani tempohari.
Begitulah realitinya penganjuran konsert. saya membayangkan yang buruk kerana itulah yang terjadi setiap temasya diadakan. Baik Tahun Baru, Malam Kemerdekaan, Konsert-konsert pasti ada peristiwa seperti ini berlaku. Kami hanya mampu berdoa agar pihak yang memegang amanah besar negara seperti Ketua Pengarah DBKL Ketua Pengarah JAKIM, Pak-pak Menteri dapat berfikir dan melihat senario yang berlaku supaya tidaklah terngadah setelah terhantuk nanti. Jangan pula kami disalahkan apabila Allah swt menyergah perbuatan mereka di hari pembalasan nanti.
Tuesday, November 25, 2008
DATO' DR MA'AMOR OSMAN DAN PEWARIS PEJUANG KEZALIMAN?
PPIM sejak sekian lama telah tersohor sebagai entiti yang memperjuangkan hak-hak pengguna Islam. Umat Islam merasa bangga adanya perisai ummah dalam mempertahankan isu-isu kepenggunaan seperti PPIM. Manakala Setiausaha Agungnya, Dato' Dr. Ma'amor Osman, menjadi individu yang popular. Vokalnya lantang seperti seorang pejuang Islam tulen. Dimana-mana pentas dinaikinya hatta dalam ceramah PAS sekalipun. Seakan-akan beliaulah orang yang sangat tegas dalam memperjuangkan jihad ekonomi dan kepenggunaan umat Islam.
Tiba-tiba terpancul wajah Dr Ma'amor di majlis yang sangat kontorversi itu. Saya kira hampir seluruh pelusuk negara, benci dan anti ISA. ISA memang dikenali akta drakonian yang membaham semua mangsa. Di akhir zaman ini, ISA sebagai peluru menembak aktivis politik pembangkang. Tak percaya, sila semak berapa ramai ahli UMNO menjadi mangsa ISA. Bahkan, parti-parti klomponen BN turut mengecam ISA. Dato' Zaid Ibrahim sanggup meletakkan jawatan kerana membantah kerajaan UMNO-BN mengekalkan ISA. UMNO-BN pula telah dihukum rakyat dalam PRU ke 12 angkara kesombongan mereka mengekalkan undang-undang zalim ini. ISA meruntuhkan kebahagiaan suami isteri, memisahkan hubungan kasih sayang ayah dan anak-anaknya, serta hubungan keluarga.
Ada mangsa ISA yang telah merengkok di dalam penjara selama 8 tahun tanpa ketahuan apa dosa mereka. Anak Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri, iaitu Ust Nik Adli pernah menjadi mengsa ISA selama 5 tahun. Keluar ISA, tiada dakwaan apa pun terhadapnya. Ini beerti selama 5 tahun Ust Nik Adli tidak dibicarakan, sehingga dibebaskan tanpa apa-apa kesalahan. Dia ditangkap dalam keadaan tiada kesalahan!
Agaknya, mereka yang pro ISA ini kita patut uji, termasuk Dr Ma'amor Osman. Bayangkan, tak semena-mena, semasa mengadakan rapat umum kelmarin, mereka ditangkap oleh polis. Kemudian di heret ke balai dan kemudian sekiranya pihak Menteri berpuashati mereka mencetuskan masalah pada ketenteraman awam, mereka ditahan di bawah ISA. Dinafikan hak untuk dibela dan mendapatkan peguam. Selama dua tahun ditahan, kemudian sekiranya tidak berpuashati, dilanjutkan lagi tempoh tahanannya sehinggalah lapan tahun kemudian. Hati berdebar menanti detik pembebasan, isteri dan anak-anak menunggu di luar, tetapi di lanjutkan penahanan tanpa apa-apa penjelasan.
Realitinya itulah yang terjadi. Dan saya yakin, kalau imaginasi saya betul-betul terjadi gerombolan Pewaris dan Dr Ma'amor Osman antara yang kehadapan membantah ISA. Kadang-kadang biarkan anak-anak kita memanjat tinggi, jangan dilarang, kerana makin dilarang makin ditentang. Apabila jatuh nanti baru anak-anak kita tahu erti sakit dan betapa murninya tegahan ibu bapa mereka. Samalah dengan puak-puak Pewaris ni. Sudah merasa menjadi mangsa ISA baru tahu derita dan zalimnya akta ini.
Monday, November 24, 2008
YOGA HARAM: MAJLIS FATWA BARU MEMULAKAN TUGASAN PERTAMANYA
Banyak lagi perkara yang berkaitan dengan syariah dan akidah umat Islam perlu dikaji dan difatwakan. Antaranya kita masih dibelenggu dengan cukai arak dan judi yang menjadi sebahagian dari pendapatan negara, lesen-lesen premis arak dan judi di merata-rata tempat, riba di sektor perbankan, kuasa kapitalis di sudut ekonomi, pemisahan antara politik dengan agama (sekularisme), penularan Islam Liberal, serta kezaliman akta ISA. Kita semua berharap demi Islam, Majlis Fatwa akan mempertahankan kesuciannya tanpa mengenal batasan politik dan fahaman. Sabda Nabi Muhammad saw : "Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan yang hak di hadapan pemimpin yang zalim".
Dipetik dari berita:-
PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata senaman yoga berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
Oleh itu, katanya, ahli majlis itu memutuskan apa juga jenis dan bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. - Seterusnya-
Sunday, November 23, 2008
PDRM JANGAN TERUS MENJADI BARUA KERAJAAN UMNO-BN
Malang sungguh Polis Di Raja Malaysia yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat Malaysia, menjaga keamanan dan keselamatan rakyat. Dalam keadaan kes-kes jenayah yang terlalu banyak untuk ditangani, peningkatan kadar jenayah yang semakin meningkat dari hari ke hari, dari kes penculikan, dadah, ragut, bunuh, rompak dan lain-lain, tiba-tiba mereka ada hati untuk bekerja di luar batasan demokrasi.
Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, seharusnya prinsip keamanan dan kebebasan disanjung tinggi. Rakyat Malaysia yang dahagakan maklumat dan penerangan oleh pemimpin parti pilihan mereka sudah tentu memilih suatu wadah yang boleh menerangkan pelbagai isu sensasi.
Ceramah umum yang diadakan adalah bagi menerangkan isu-isu semasa, khususnya ISA. ISA adalah akta zalim yang menindas rakyat. Dicipta khusus untuk menangani komunis, kini ISA adalah senjata utama kerajaan UMNO-BN mengekalkan rejim mereka. Beleklah sejarah, sepanjang tige dekad di negara ini, berapa banyakkah korban ISA, siapakah mereka, dan apakah dosa mereka. Kini akan dapati ramainya dari kalangan aktivis plitik, khususnya pembangkang.
Ceramah itu pula diadakan secara beradab. Di pohon permit polis secara tertib, meminta kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Mengapa dengan tiba-tiba polis bertindak agresif menyuraikan ceramah, dan mengangkap penganjur secara borong. Apa dosa penganjuran ceramah tersebut maka ia dianggap mengganggu keselamatan negara. Rakyat hadir ceramah tanpa senjata, bahkan membawa keluarga bersama. Tempat ceramah pula di padang awam, mana mungkin dikatakan mengganggu ketenteraman awam! Takkanlah polis tidak berfikir ceramah itu boleh menggugat keselamatan negara.
Pakatan Rakyat telah sekian lama menjadikan ceramah sebagai medium. Belum pernah terjadi sebarang keganasan dicipta oleh penceramah mahupun penonton, andainya tidak dari pihak provokator sendiri. Peristiwa Batu Burok tahun 2007, adalah hasil tembakan polis kepada penonton, bukan penonton sengaja menimbulkan kekecohan.
PAS bersama Pakatan Rakyat hidup dengan ceramah. Dengan ceramah maklumat sampai dari rumah ke rumah. Dengan ceramah pimpinannya hidup mencari makan. Dengan ceramah itu juga Pakatan Rakyat mampu bertahan. Dengan maklumat terkumpul itulah kini rakyat cerdik dan mampu membuat perubahan. Nak harapkan media rasmi kerajaan, bagaikan menanti hujan di tanah gersang.
Berbanding UMNO-BN, yang menggunakan seluruh ruang media menghentam pembangkang. Tidak cukup dengan itu, digunakan masjid, balai raya, sekolah, dan dewan orang ramai menjayakan aktivitinya. Tidak pernah polis bising biarpun UMNO-BN tidak mohon permit. Kalau mohon permit pun, tidak sampai 24 jam telah lulus. Siap beri perkhidmatan kawalan lalulintas pula.
Selangor menjadi pilihan untuk mengadakan tapak ceramah tersebut. Di pilih Selangor, kerana demokrasinya subur. Rakyat yang cerdik telah melakukan perubahan, dan kini negeri itu dipimpin oleh pemimpin yang dipilih rakyat. Menteri Besar telah beri keizinan, mengapa pula PDRM mengharamkan ceramah itu. Negeri yang dipimpin sendiri oleh Menteri Besar, dengan jaminan keselamatan dari Menteri besar sendiri, tiba-tiba polis bertindak dengan kesimpulan tiada jaminan keselamatan.
Sedarlah PDRM, Kerajaan UMNO-BN telah tinggal nyawa-nyawa ikan. Hayat mereka di hujung usia, menanti masa menunggu kematian. Jenayah UMNO-BN lebih besar untuk disiasat. Jangan pula PDRM jadi hamba dan barua pemimpin UMNO-BN demi survival kerjaya dan pangkat pemimpin mereka.
Biarlah isu politik diselesaikan cara politik. Parti politik menentang parti politik. Jangan pula digunakan jentera keselamatan untuk menyuraikan kebangkitan dan kesedaran rakyat. Kalau betul mahu berpencak politik, silakan memakai baju politik, dan terjunlah ke gelanggang politik bersama-sama. Baru kita tahun langit tinggi dan rendah. Jangan berselindung sebalik pakaian keselamatan, sampai menyalahgunakan amanah kerajaan dan rakyat ini!
Berkhidmatlah dengan jujur buat rakyat, dan laksanakan tugas dengan penuh amanah. Banyak lagi kerja yang harus diselesaikan, dari menyibuk kepada isu-isu politik yang remeh temeh seperti ini. Saya yakin, kalau diberi permit, ceramah tersebut berlangsung dengan aman tanpa gangguan. Buat PDRM, kembalikan kredibiliti anda sebagai petugas keselamatan negara, supaya rakyat merasa selamat dibawah naungan anda!
Friday, November 21, 2008
DISKAUN 10 PERATUS. PLUS AMAL DASAR KAPITALIS MODEN.
Bagi saya, PLUS memberikan satu insiatif yang baik dengan diskaun tersebut, tetapi belum mencukupi buat meringankan beban rakyat. Lebuh raya dibina buat memudahkan perjalanan pengguna, mengelakkan kesesakan serta kemalangan. Di mana-mana negara dalam dunia, tugas kerajaan adalah memudahkan rakyatnya. Kerana rakyat yang bekerja untuk kerajaan. Rakyat yang menaikkan pemimpin kerajaan. Rakyat itu ialah kerajaan dan kerajaan itu ialah rakyat. Orangnya sama.
Terbalik pula yang berlaku di Malaysia. Lebuh raya dibina cantik dan elok, tetapi setiap jalannya ada tol. tidak dinafikan tol penting bagi membayar kembali kos operasi syarikat terbabit. Tetapi ia jadi melampau apabila hampir setiap lebuhraya ada tol. Bahkan dalam satu jalan yang sama, ada dua tol yang menunggu.
Bayangkan rakyat yang setiap hari terpaksa menempuh kesemua tol-tol tersebut untuk ke tempat kerja. Bukannya percuma. Baki tol itulah digunakan untuk ditanggung anak isteri. Hendak guna jalan lain, jauh dan tidak selamat. Sesak pula. Jalan pula berlubang, tiada lampu dan macam-macam masalah lagi timbul.
PLUS pula hanya beri diskaun pada waktu tengah malam. Siapa yang guna lebuh raya tengah malam, kalau hari bekerja? Adakah pengguna perlu merancang perjalannya setiap hari di waktu tengah malam semata-mata untuk mendapatkan potongan diskuan tersebut.
Syor saya, PLUS perlu turunkan harga tol, bukan diskaun. Diskaun ini adalah bahasa perniagaan. Waktunya pula adalah 24 jam, bukan masa terpilih sahaja. Paling tidak biar di waktu puncak, ketika ramai warga kota berpusu-pusu pulang dari kerja. PLUS perlu berikan khidmat sosial kepada pengguna lebih dari hendak berniaga semata-mata.
Saya yakin, kalau diberi potongan 10 peratus pada bila-bila masa dari kadar sekarang pun, PLUS tidak akan rugi. Kenderaan di jalan raya bertambah setiap bulan, jadi apa logiknya PLUS mengekalkan kadar tol yang lama. Sepatutnya, makin lama beroperasi, makin untunglah PLUS. Kos pembaikan dan pembinaan telah lama 'recover', maka sekarang adalah habuan mengaut keuntungan. Saya syor lagi, di musim perayaan tertentu, berilah kadar percuma sehari buat pengguna lebuh raya sebagai ucapan terima kasih. Inilah tanda ikhlas PLUS membantu rakyat.
Ibarat cerita purbakala, pembesar zalim yang mengutip cukai dari rakyat dikampung-kampung. Mereka tunggu di pintu masuk utama, atau menetuk pintu setiap rakyat. Rakyat yang enggan akan dizalimi, dibelasah dan di rampas harta benda. Isteri dan anak gadis di bawa lari, sebagai balasan cukai yang gagal dijelas. Di zaman ini, ugutannya hanya satu, tiada duit jangan guna lebuhraya, sedangkan lebuhraya adalah keperluan semua.
Thursday, November 20, 2008
TUGAS PERTAMA RAZAK SELEPAS BEBAS, BEBASKAN NAJIB.
Dalam sidang medianya semalam, Razak Baginda berkeras menafikan sebarang hubungannya dengan Altantuya. Beliau turut menafikan sebarang pembabitan Dato' Seri Najib Tun Razak dan isterinya Rosmah Mansor dengan Altantuya. Sambil merayu-rayu wartawan mempercayainya, beliau merasa kesal kerana bekas bosnya telah difitnah sebegitu rupa.
Saya kira rakyat Malaysia pun tidak menolak hakikat bahawa Razak Abdullah Baginda mungkin tidak ada hubungan dengan Altantuya, secara bukti dan fakta. Rakyat Malaysia boleh menerima dalih dan alasan beliau. Berilah seribu alasan, asalkan beliau selamat. Altantuya pun bukan boleh bangkit menjawab kekusutan yang timbul. Yang ada di tempat kejadian, hanyalah malaikat Raqib dan Atib yang mencatat segala kejadian.
Cuma agak pelik sedikit. Macam mana Razak berkali-kali menafikan Najib tidak mengenali Altantuya, dan tidak terlibat sama sekali. Macam mana dia boleh begitu yakin Najib tidak kenal wanita ini. Kalau begitu mesti Razak Baginda kenal Altantuya dan tahu serba sedikit peribadi wanita ini. Masakan beliau boleh kenal ini orang yang Najib kenal, dan ada orang yang Najib tidak kenal. Razak tahu ke semua perkara berkaitan dengan Najib, termasuk kehidupan personal beliau? Razak kenal ke semua kenalan Najib, termasuk keluarga dan sanak saudara beliau.
Pelik juga. Razak kata Najib tidak terlibat. Tetapi bagaimana beliau begitu yakin Najib tidak terlibat. Kenapa pula dia beria-ia menafikan Najib. Bagaimana beliau boleh tahu Najib tidak terlibat langsung. Apakah Razak berada di sisi Najib sepanjang masa sebagaimana Rosmah. Hairan bin ajaib. Razak kawal ke semua aliran keluar masuk SMS, emel dan apa sahaja akses perhubungan Najib. Macam tahu bahawa Altantuya dibunuh oleh orang lain dan yang terlibat ialah orang lain yang tidak ada kaitan dengan Najib.
Kalau Dato' Seri Najib tidak terlibat, soalnya, siapakah yang terlibat? Saja-saja ke dua orang UTK ni nak membunuh. Mereka bukan penjenayah, perompak, perogol bersiri seperti yang lainnya. Mereka adalah pengawal keselamatan khas, komando, pegawai polis, menjaga orang-orang kenamaan. Mereka ada latihan, ada pengawasan, ada laporan, ada majikan. Mereka adalah pegawai kerajaan.
Bukan rakyat nak nafikan pihak polis bersifat maksum tanpa sebarang dosa. Tapi mengapa dengan tiba-tiba dua orang UTK ini membunuh seorang pelancong asing yang dikatakan ada kaitan dengan Razak. Rakyat pasti curiga. Pasti ada yang arahkan bunuh. Siapa yang arahkan bunuh. Dua orang ini penjaga Najib atau Rosmah. Pasti Najib kenal kedua-dua orang ini. Jadi kenapa sampai payah sangat pendakwa raya atau peguambela untuk memanggil Najib sebagai saksi di mahkmah. Macam hendak sembunyikan sesuatu sahaja.
Pelik lagi bila kaitkan dengan P. Balasumbramaniam. Bala yang pernah menggemparkan negara dengan pengakuan sumpahnya, kemudian menarik balik sumpahnya sehari kemudian, dan hilang dengan secara misteri. Mengapa pendakwa raya tidak meminta mahkamah memanggil Bala sebagai saksi, memandangkan dialah orang yang pernah bersumpah bahawa Najib pernah ada hubungan dengan Altantuya. Peliknya, sikap polis biasa sahaja. Seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku.
Pendakwa raya telah menambahkan satu lagi kepelikan. Dengan keputusan mahkamah begitu kontroversi, kes itu tidak langsung dirayu. Maka bebas lah Razak Baginda sebebas-bebasnya. Belum pernah terjadi, pendakwa raya melepaskan begitu sahaja kes sebesar dan seberat ini tanpa sebarang prosiding rayuan. Baru sekali keputusan mahkamah diumumkan, telah selesai semuanya. Tetapi ini telah terjadi, benar-benar terjadi. Beruntunglah seorang yang bernama Razak Baginda.
Razak Baginda bebas menafikan apa sahaja. Bukan manusia lainnya nampak. Yang penting bekas bosnya selamat dan bebas. Keadilan di Malaysia telah tertutup. Tetapi sedikit ruang di peringkat mahkamah antarabangsa baru terbuka. Biarkan keadilan antarabangsa berbicara. Tatkala itu baru kenal siapa benar, siapa dusta.
Wednesday, November 19, 2008
WIBAWA KETUA HAKIM NEGARA SEMAKIN DIRAGUI
Mungkin sudah suratan di akhir zaman ini sukar mencari insan jujur dan amanah. Bakal suami atau isteri sukar mencari pasangannya yang benar-benar jujur, ikhlas dan seorang yang 'jurus' (soleh) seperti generasi terdahulu. Nak mencari seorang pemimpin yang amanah dan jujur juga suatu yang sukar sekarang. Lihatlah majoriti pemimpin negara di dunia pada hari ini, berapa ramai yang betul-betul memimpin dengan penuh anamah dan tanggungjawab. Adalah seorang dua. Ahmadinejad barangkali. Di Malaysia, saya tidak mahu mempromosi sesiapa. Tetapi kalau anda celik maklumat, lihat dan selidiklah pemimpin mana yang tidak terlibat dengan rasuah. Mana-mana pemimpin, sama ada Perdana Menteri, Menteri Kabinet atau Menteri Besar. Adalah seorang dua. Tetapi pasti UMNO tidak bersetuju dengan pandangan saya (kalau saya katakan orang itu ialah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat).
Agaknya bagaimanalah keadilan dapat ditegakkan kalau Ketua Hakim Negara sendiri mengaku mengambil masa 6 bulan untuk menjadi baik. Terjemahan :(‘it took me 6 month to be nice’). Kemudian mengaku pula pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah. Pengakuan itu mungkin bernada jujur, atau bersifat ikhlas. Tetapi perlakuannya tidak jujur, manakala pelakunya pula sangat diragui apabila beliau mengakui perbuatan tersebut. Mana boleh seorang Ketua Hakim disabitkan sekecil-kecil rasuah. Apatah lagi kalau rasuah besar-besar seperti berlaku kepada ahli-ahli politik negara.
Ketua Hakim Negara ialah orang yang memegang sumber keadilan di dalam negara. "Keadilan bukan setakat dilaksanakan, bahkan mestilah dilihat terlaksana". Justeru memang wajar rakyat meragui wibawanya, andai ucapannya tidak dilihat bersih dari anasir rasuah. Kita semua boleh bayangkan dengan latar belakang beliau ini, untuk mengendali sesuatu kes mahkamah, dimana jaminannya beliau akan berlaku adil. Apatah lagi kalau kes itu melibatkan individu terkenal, seperti kes Altantuya.
Ketua Hakim Negara wajar melepaskan jawatannya. Biarlah kehakiman ditentukan berdasarkan merit integriti hakim tersebut, bukan kerana pengaruh politik kepartian. Kita mahu keadilan dijunjung agar negara kita disanjung. Pahit kerana mempertahankan keadilan lebih manis dari manis yang mengandungi racun. Renungkanlah.
Dipetik dari berita:-
PARLIMEN, 18 NOVEMBER (SK)- PENGERUSI Kaukus Intergiriti kehakiman, Karpal Singh memberi tempoh 7 hari kepada Ketua Hakim Negara Zaki Tun Azmi untuk letakan jawatan sebagai ketua hakim bermula hari ini.
Beliau merujuk kenyataan Zaki pada 7 November di Kuching Sarawak yang telah dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa inggeris yang menyatakan menyatakan ‘it took me 6 month to be nice’
Kenyataan yang dibuat Zaki pada satu konvensyen di Kuching telah diterbitkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 8 November lalu.
Menurut Karpal yang juga Ahli Parlimen Jelutong, Zaki tidak boleh menafikan bahawa beliau membuat kenyataan sedemikian dan terdapat bukti rakaman audio percakapan Ketua Hakim itu di Kuching.
13 November lalu, Karpal yang juga Pengerusi DAP telah membuat laporan polis berhubung kenyataa Zaki Tun Azmi bahawa dua bekas hakim dan kakitangan mahkamah terbabit amalan rasuah.
Dalam laporannya, Karpal menggesa pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan satu siasatan lengkap di bawa Akta Pencegahan Rasuah 1961 berhubung kenyataan yang dibuat Zaki.
Beliau berkata, kenyataan yang dibuat Zaki pada satu konvensyen di Kuching telah diterbitkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 8 November lalu.
Tuesday, November 18, 2008
DEMONSTRASI BERBOGEL : KEBEBASAN MANUSIA ADA HADNYA!
Sudah tidak beragamakah kumpulan reformis ini? Barangkali, ini pandangan saya. Memang di barat freedom of speech and gathering diamalkan sungguh. Buatlah apapun, asalkan namanya demokrasi dan tidak menyekat kebebasan rakyat. Nak perjuangkan kebebasan beragama, kebebasan berpersatuan, kebebasan berpakain, berfesyen, kebebasan perkahwinan sejenis, kebebasan perhubungan seks luar pernikahan dan lain-lain. Sebut saja, apa saja yang terlintas di fikiran atas namanya kebebasan, maka rakyat bebas mengadakan aktiviti mereka.
Di Barat, nak berhimpun cara apa pun tak mengapa. Mogok lapar, rapat umum, demonstrasi berbogel, demonstrasi bercawat, bertatu, bertopeng dan lain-lain.
Kita di Malaysia, sudah pasti jauh bezanya dengan negara tidakk bertamadun seperti barat. Dengan majoriti umat Islam sebagai rakyatnya, apakah logik berbogel di khalayak menjadi pilihan reformis. Apa sudah tidak ada idea lain ke? Islam jelas mengharamkan pendedahan aurat kepada umum, apatah lagi berbogel.
Jika benar kelompok ortodok reformis mahu menyatakan bantahan, buatlah cara lebih bersopan. Takkanlah hendak memperjuangkan maruah rakyat negeri Selangor sampai terpaksa jual maruah sendiri.
Petikan dari media:-
Demonstrasi berbogel: Lembu pun tahu tutup kemaluan, kata Nik Aziz
KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pihak yang menganjurkan demonstrasi berbogel sebagai tidak bertamadun dan lebih buruk daripada binatang.
Mursyidul Am Pas itu berkata tindakan seumpama itu bercanggah dengan sifat orang Islam dan mereka yang melakukan tindakan itu sudah hilang naluri kemanusiaan dalam diri mereka.
Bahkan, katanya, bagi orang Islam untuk masuk ke dalam tandas, yang tiada siapa melihat ketika berbogel bersendirian, Islam tetap meminta umatnya menjadikan amalan membacakan doa supaya dijauhi daripada syaitan.
"Binatang seperti lembu pun, walaupun dia telanjang bulat, Tuhan ciptakan ekor untuk tutup kemaluannya daripada dilihat inikan kita manusia yang dianugerahkan akal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan restoran London Fish Tales di sini hari ini.
Beliau mengulas hasrat Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) meneruskan rancangan mengadakan demonstrasi berbogel di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor kerana membantah kenaikan sewa di bawah Program Perumahan Rakyat.
Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar berkata pihaknya membantah kenaikan sewa itu dari RM124 kepada RM250 sebulan.
Sehubungan itu, Nik Abdul Aziz menasihatkan pihak Reformis supaya mengambil pendekatan yang lebih baik dan rasional dalam menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Beliau berkata cara demonstrasi berbogel itu bukannya cara manusia menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada cara binatang atau "monyet".
Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihati ibu bapa supaya menjaga anakanak mereka ketika musim tengkujuh yang semakin hampir kerana khuatir mereka menjadi mangsa banjir.
BERNAMA
EZAM PELOPOR RASUAH DALAM UMNO?
Di suatu masa, ramai orang mengagumi Ezam Mohd Noor, seorang aktivis yang lantang bersuara menyatakan kebenaran. Beliau dijulang kerana menjadi wira rakyat mempertahankan keadilan dan kebebasan. Beliau menentang kezaliman, serta berjuang bermati-matian menentang rasuah. Sehingga saatnya beliau terperosok di tahan ISA selama dua tahun, akibat kelantangannya bersuara.
Ramai yang terpukau dengan idealisme anak muda ini. Beliau dikatakan pernah dianggap sebagai pengganti Anwar Ibrahim. Karismanya melonjak naik sebaris dengan tokoh negarawan yang lain. Sebut saja Ezam pasti orang tabik hormat. Pihak UMNO BN pula pasti kecut perut bila di cabar debat dengan beliau. Boleh dikatakan beliau adalah ikon anak muda.
Liku-liku perjuangannya yang paling jelas ialah menentang rasuah. Baginya, rasuah adalah musuh nombor satu negara, lebih dahsyat dari dadah. Semua profil tinggi yang terpalit dengan rasuah dibongkarnya, satu demi satu. Lihat saja Kes di Kementerian Pertanian, Kementerian Belia dan Sukan, sehingga Menteri Kewangan menjadi mangsa. Bahkan semua kes yang diketengahkan menjadi isu utama media sehingga Menteri-Menteri terpaksa respons segera. Inilah kehebatan Ezam. Dalam Gerak pun beliau masih komited menentang rasuah. Sesiapa saja beliau akan tentang, asal saja ada maklumat salah laku orang tersebut.
Kini beliau berpusing 360 darjah. UMNO yang dulu diludahnya, kini dijilatnya kembali. Konon masuk UMNO dengan slogan, berjuang menentang rasuah di dalam UMNO. Beliau telah kembali ke pangkuan UMNO. Dari UMNO beliau datang, kepada UMNO beliau kembali.
UMNO sejak dulu, kini dan selamanya adalah parti rasuah. Semenjak zaman Tun Dr Mahathir, UMNO dan rasuah tidak boleh dipisahkan. Ibarat kembar siam seiras, dimana-mana ada UMNO disitu ada rasuah. Atau dimana ada rasuah disitu ada UMNO. Kemuncak kegilaan UMNO pada rasuah, ialah pada pemilihan UMNO tahun ini. Ini pengakuan pemimpin mereka seperti Dato' Seri Adnan Yaakob, Dato' Seri Dr Rais Yatim dan lain-lain.
Dikatakan laporan mengenai rasuah dalam pemilihan UMNO tahun ini sebanyak 900 buah. Ini yang dilaporkan. Bagaimana rasuah yang dipendam dan dipengap dalam poket perwakilan-perwakilan? Berapa ramai yang menang di peringkat Bahagian dengan rasuah. Cuba selongkar, berapa habuan seorang perwakilan di cawangan, di bahagian atau diperingkat pusat nanti. Telah jelas lagi bersuluh, memang UMNO parti rasuah.
Berbalik pada kisah Ezam. Ezam kini dalam UMNO, dan UMNO sebuah parti perasuah. Kadang-kadang Allah menguji keikhlasan kita berbicara dengan amal dan tindakan kita secara tunai. Bersungguhkah kita dalam sesuatu ucapan kita, atau sekadar hanya slogan retorik politik.
Buat Ezam, kini pena dan kertas di tangan anda. Pentas dan mikrofon di depan anda. Kuasa dan tenaga milik anda. Kuku dan taring pada anda. Tunggu apa lagi? Rasuah yang dulu sembunyi disebalik kafeteria, projek mega, di luar negara baik di bawah meja dan karpet anda mampu jumpa, sekarang rasuah di depan mata tidak terlihat ! Kuman kecil di seberang lautan boleh jumpa, kenapa gajah depan mata tidak nampak.
Ezam, anda sebenarnya adalah manusia hipokrit dan 'retorik'. Ezam, kalau betul anak jantan, dedahkan segala kes rasuah dalam UMNO seperti mana beliau pernah dedahkan kes-kes berprofil tinggi suatu ketika dulu. Beranikah anda ke depan, tanpa apa-apa kepentingan untuk menegur dan menentang kaki rasuah. Mampukah beliau melenting dan membuat kenyataan media menghambat perwakilan UMNO yang terlibat dengan rasuah? Atau memanjat tangga Pejabat BPR dan Polis membuat laporan mengenai salah laku rasuah ketika Persidangan UMNO bahagian-bahagian.
Atau memang sebenarnya maruah Ezam telah hilang bersama lenyapnya maruah dan prinsip beliau ketika menyerahkan borang kemasukan ke UMNO dulu!
Monday, November 17, 2008
PENDAKWA RAYA RAZAK BAGINDA TIDAK MERAYU: ANEHNYA KEADILAN DI MALAYSIA
Mahkamah telah membuat keputusannya. Keadilan dikatakan telah ditegakkan. Razak Baginda bebas kerana tiada bukti pembabitan beliau dalam pembunuhan tersebut. Walaupun seluruh rakyat Malaysia mempersoalkan siapakah dalang yang bermain wayang disebalik pembunuhan tersebut. Hingga kini tidak ketemui sutradara sebenar tragedi pembunuhan Altantuya.
Yang lebih tragis, apabila sang pendakwa raya yang berlagak seakan bebas dan jujur, juga telah masuk ke kandang pihak pembela. Suspek yang diragui dilepaskan oleh mahkamah dalam keadaan kontroversi, kemudiannya dilepaskan tanpa rayuan untuk merujuk kembali kes tersebut. Bukankah aneh? Biasanya dan lazimnya, dalam kes-kes berat seperti ini, pendakwa raya seakan tidak mahu melepaskan tertuduh. Paling tidak kalau terlepas dari hukuman mandatori, pasti dijerat dengan pelbagai penghukuman lain. Sepatutnya jadi begitu. Ini kes bunuh. Kes seberat ini tidak patut dijadikan 'mainan politik' pihak tertentu. Biarkanlah ia berpijak di bumi kebenaran.
Altantuya dibunuh, dan mayatnya dibiarkan bersepai tanpa pembelaan. Bapa dan keluarganya telah hilang airmata untuk ditangisi. Rohnya tiada mampu berbicara kerana dipisahkan dengan dua alam yang berbeza. Siapa pula yang akan membela kematian Altantuya? Kenapa sebegitu undang-undang dan penghakiman di Malaysia?
Mungkin lepas ini ramai lagi pembunuh bersiri yang terlepas dari penghukuman, asal saja ia berprofil tinggi. Dan hakim-hakim serta peguam bela, pendakwa raya atau sesiapa saja yang ada kaitan dengan mahkamah bebas menjadikan kamar mahkamah tempat bermain sandiwara politik kelas atasan. Biarkanlah, inilah keadilan Malaysia.
Wednesday, November 12, 2008
APABILA MAHATHIR KATA PM BUKAN MESTINYA MELAYU!
Memang sengat Dr Mahathir sangat bisa. Habis semua suku sakat yang anti beliau dinyahnya. sehingga Pak Lah terpaksa angkat kaki lebih awal dipukul Mahathir. Mangsa seterusnya Zaid Ibrahim, Khairy Jamaluddin dan orang-orang seangkatan dengannya. Beliau ni lebih muda dari orang muda. Lidahnya tajam mengoyakkan sendi kekuatan. Sesiapa yang beliau tentangnya, pasti tersungkur. Sehebat-hebat Dato' Seri Anwar Ibrahim pun jatuh terkulai ditentang Mahathir.
Semua tahu UMNO ialah parti perkauman. UMNO sejak dulu, kini dan selamanya tidak boleh dipisah dengan perjuangan bangsa Melayunya. Kalau dulu pantang ditegur tentang Melayu, pasti ada yang bersilat murka. Kalau nak sebut Perdana Menteri bukan dari bangsa Melayu, silap-silap ISA lah orang itu. Sampai kenyataan YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz untuk memberi ruang Cina Muslim menjadi Perdana Menteri pun dibelasah secukup rasa.
PAS pula dari dulu menolak perkauman. PAS menerima bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, asalkan Islam. PAS tidak pernah melonjakkan bangsa lebih tinggi dari Islam. PAS memuliakan Islam, tidak kira apa warna kulit seseorang, kerana PAS meletakkan nilai taqwa sebagai perbandingan. Sehingga hari ini PAS tetap menolak sifat perkauman. Parti berasaskan kaum sudah tidak laku untuk dijaja.
Oleh sebab itu, kenyataan Dr Mahathir telah mengiyakan kata-kata PAS. Sepuluh tahun dulu PAS sudah suarakan, baru hari ini Dr Mahathir terima. Nampaknya, UMNO ketinggalan sepuuh tahun dari kematangan PAS.
Cuma kenyataan Dr Mahathir itu perlu penegasan, bahawa walaupun bukan Melayu boleh jadi PM kerana tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan, tetapi syarat utamanya hendaklah Islam dan bertaqwa. Kerana kalau semua kaum boleh menjadi PM, tiada ertilah ketuanan Melayu atau hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Lebih bahaya lagi, Islam akan menjadi kelas kedua atau sampingan sahaja. Bayangkan bukan Islam menerajui negara, bagaimana nasib Islam dan umatnya? Buat Dr Mahathir, ambillah iktibar dari kejatuhan Singapura kepada kuasa asing. Manakah nilai Islam pada umat di Singapura? Jangan nak menjadi jaguh sampai menjual harga kedaulatan Islam di bumi sendiri!
Dipetik dari Bernama:-
PUTRAJAYA, Nov 12 (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad said everyone could be Malaysia's prime minister as long as he is of "Bangsa Malaysia" or Malaysian race and acceptable to all Malaysians, regardless whether he is a Malay or non-Malay.
The former prime minister said that in this country the law provided that anybody could become prime minister although he must be the leader of the party that commanded majority support.
"When we talk about non-Malay PM (prime minister) we are being racist. We should not ask the question whether he is a Malay or non-Malay," he told reporters after delivering his keynote address at the Perdana Discourse Series "Bangsa Malaysia", here today.
Dr Mahathir was commenting on whether Malaysia was ready to have a non-Malay prime minister in light of the recent outcome of the United States presidential election where Barack Obama became the first elected African-American US president.Earlier in his keynote address, Dr Mahathir said the race-based party Barisan Nasional (BN) was still relevant to tackle racism.
PEMILIHAN UMNO JADI PASAR LELONGAN!
Di dalam media, tidak ada yang insiden memburukkan berlaku melainkan pergaduah "biasa" di peringkat bahagian. Biasalah media menutup semua ruang kebebasan maklumat rakyat. Hakikat yang berlaku sebenarnya lebih jauh dari apa yang kita gambarkan. UMNO kini bukan wadah perjuangan umat Melayu, tetapi kini dah menjadi perjuangan perut orang-orang Melayu tertentu!
Pendedahan MSO (Mohd Sayuti Omar) benar-benar memeranjatkan kita. Sebenarnya tidak terperanjat sangat kerana tahu budaya UMNO.
Apa tidaknya, menurut sumber saya, di bahagian tertentu seperuk kampung yang jauh dari kota, pemilihan UMNO peringkat cawangan sahaja, seorang perwakilan boleh mendapat habuan sebanyak RM 500.00. Itu peringkat cawangan, jawatan nak direbut pun Ketua Cawangan. Apa sangat lah Ketua Cawagan!Itu baru seorang calon, kalau ada dua tiga calon, ketua, tiga calon naib ketua, berapa habuan. Tidak jejak RM 3,000?
Maka yang paling banyak "masyuk" yang akan menang. Di peringkat bahagian pula, sesetengah calon Ketua Bahagian melabur sehingga RM 40,000 - RM 50,000. Untuk seorang perwakilan, diberi RM500 - RM 1000. Kalau hadir sebanyak 100 orang, cuba anda bayangkan! Ada cerita seorang calon Ketua Pemuda Bahagian yang hilang bisnes stesen minyak kerana kalah dalam pertandingan Ketua Pemuda Bahagian dan lebur dek melabur perwakilan.
Cuba bayangkan, bagaimana nantinya pemilihan di peringkat Pusat. Berapa agaknya seorang perwakilan dapat? Saya dikhabarkan seorang perwakilan boleh dapat habuan biasa RM 50,000 untuk sekali Persidangan Agung UMNO. Agaknya berapa habis untuk calon Naib-Naib Presiden? Kalau seorang perwakilan diberi RM 1,000 - RM5,000 bayangkan ada 7 calon Naib Presiden melakukan kerja yang sama. Belum masuk calon Timbalan Presiden, pasti ghanimah nya lagi besar. Kesimpulannya, siapa nak kaya instant, jadilah perwakilan UMNO ke Persidangan UMNO nanti.
Keseluruhannya, kita nampak, beginilah budaya UMNO. Dengan duit mereka menghidupakn parti, membangkitkan sokongan, mengarahkan petugas dan dengan duit mereka perjatuhkan kawan. Kerana itu UMNO sudah tidak layak untuk terus memimpin Malaysia.
Inilah faktor sebab apa mereka sanggup bergolok bergadai dengan istilah manis bahasa "menawarkan diri bertanding" atau "setelah mendapat persetujuan akar umbi" untuk rebut jawatan. Kerana dibelakang jawatan Ketua UMNO Bahagian, ada projek berjuta menunggu. Saya difahamkan, Ketua UMNO Bahagian lebih berkuasa dari Pegawai Daerah. Ditangannya kelulusan Projek. Projek pula biasanya Kelas A atau B. Sebab itu, pernahkah kita jumpa Ketua Bahagian UMNO papa kedana, miskin merempat?
Kalau jadi MT UMO pula, habuannya pula pasti Menteri. Jadi Menteri UMNO samalah beri lombong wang pada mereka. Jadi Naib Presiden dapat jadi Ketua Menteri atau Menteri Kanan. Ketua Sayap (Pemuda, Wanita dan Puteri) automatik akan dilantik jadi Menteri.
Lucunya UMNO ni, pemimpin nya di depan rakyat melaungkan slogan "Berjuang Untuk Bangsa" "Berjuang Membela Bangsa". Sedangkan bangsa mereka sendiri menjadi bangsat, hidup merempat tak bertanah, mereka pula kaya raya. Mereka meminta kita berjimat cermat kerana negara gawat, tetapi mereka berjoli sakan. Hidup mewah melimpah ruah tujuh keturunan, sedangkan anak cucu kita tak cukup makan.
Buat anda yang masih sayangkan UMNO, atau masih belum kenal pemimpin UMNO, masihkah mahu pertahankan UMNO? Fikirkanlah.
BEZA ANTARA PENGEBOM BALI DAN PENGEBOM ALTANTUYA
Di Malaysia, pengebom seorang wanita Mongolia masih belum dilaksana. Berbanding, 202 orang, nilai seorang yang mati tidaklah semahal mana. Kesnya masih berjalan dan khalayak berharap keadilan dapat ditegakkan.
Bezanya, pengebom Bali bersama perancang atau pengarah telah menjalani hukuman. Di Malaysia, dua orang pengebom dipanggil bela diri dan seorang yang mengarahkan bunuh bebas berleluasa. Inikah keadilan? Jawapannya inilah keadilan ala Malaysia.
Mungkin ramai yang mahu bertanya. Budak sekolah pun boleh menjawab rasanya. Dua orang UTK dituduh membunuh. Kerja mereka saban hari adalah menjaga pemimpin negara. Mereka pula adalah polis. Apakah bodohnya dua orang polis menjaga orang kenamaan melakukan kerja membunuh?
Soalan kedua. Apa kaitan Altantuya dengan mereka? Apa kepentingan Altantuya dengan mereka? Kalau betul Altantuya mengacau majikan mereka, kerja mudah mereka ialah menghalang dan menghalaunya. Kenapa mereka sampai membunuh? Bukankah kerja membunuh itu seolah-olah mahu menghapuskan kesan dan bukti supaya dia (Altantuya) tidak datang lagi menganggu hidup majikan mereka?
Soalan ketiga. Siapa yang arahkan bunuh? Kalau bukan Razak Baginda, siapakah orang itu? Mustahil pegawai polis dengan senang membunuh seseorang, yang orang itu pula ada kaitan dengan orang kenamaan? Mesti ada arahan tertentu. Seorang komando akan sanggup melakukan apa sahaja , kalau arahan itu dari orang atasnya. Takkanlah pula kerja UTK ini ambil risiko membunuh tanpa sebab dan arahan. Kalau begitu, kenapa mangsanya Altantuya dan bukan orang lain?
Saya rasa semua rakyat Malaysia akan bertanya soalan ini dan ramai yang tahu apakah jawapan disebalik episod ini. Sama-sama kita tunggu siapa pula menjadi kambing hitam ketiga dan siapa pula yang bebas terlepas.
KEMENANGAN OBAMA: HARAPAN BARU DUNIA ISLAM?
Saya mengikuti secara dekat perkembangan Barrack Obama. Pilihanraya Presiden US hari Selasa lepas, bersama rakan pejabat kami sibuk mencula undi diperolehi Obama. Kalahkan culan undi Pilihanraya Umum Malaysia. Bila diumumkan pemenang saya serba sedikit terasa lega, tetapi apa kaitan Obama dengan saya?
Ramai di kalangan teman-teman mencemuh. Sama saja, Obama ke McCain, di belakangnya pasti ada tangan-tangan ghaib Zionis Israel. Entahlah. Saya tidak berani mengiya atau menafikan. Saya bukan nujum yang boleh meramal apa akan jadi.
Saya reserve dalam hati, antara kedua-dua (Obama dan McCain) yang mana satu lebih baik. Itu saja. Kita tidak ada pilihan ketiga. Nak sokong Mc Cain, dengan dasar luarnya sama macam Bush sudah tentu mustahil. Obama pula di suatu sudut mengisytiharkan akan mengundurkan tentera dari Iraq, dan Afghanistan, berunding dengan Iran, dan menutup Guantanamo Bay. Saya rasa itu satu permulaan yang baik.
Bukankah itu bermakna ada peluang di meja rundingan buat dunia Islam? Daripada seorang Republikan yang mahu mengekalkan dasar luar Bush yang angkuh itu, lebih baik kita sokong Presiden yang lebih toleran dan boleh berbincang. Itu pendapat saya.
Selain itu, saya kagum profil tinggi Obama. Dari seorang yang biasa, menjadi Senator dan secepat kilat menjadi Presiden. 200 juta rakyat Amerika takkan bodoh memilih seorang berkulit hitam menjadi presidennya! Tentu beliau ini ada kelebihan.
Obama memiliki naluri pidato yang memukau. Lebih hebat lagi beliau mampu menarik sokongan golongan kulit putih yang selama ini Amerika kuat dengan isu perkauman. Beliau mampu mengolah hampir semua isu negara. Dari aspek ekonomi, pendidikan, industri kepada dasar luar negara Amerika. Semua beliau sentuh.
Tetapi saya yakin rakyat Amerika pilih beliau kerana janji dasar luarnya yang lebih toleran. Rakyat Amerika sudah jemu pada sikap angkuh dan bodoh sombong Bush. Bush suka membuli negara lain dan memusuhi hampir semua negara. Berbanding Bush, Obama lebih cerdik dan kelihatan bijak. Bush kelihatan bodoh dan dipandu hampir segenap perkara.
Apapun kekaguman saya tidaklah menjadikan Obama idola saya. Perkara yang baik boleh kita contohi, seperti mana kita kagum dengan pemimpin dunia yang lain. Yang penting, kebaikan yang ada pada tokoh dunia kita kutip dan jadikan panduan dalam perjuangan Islam. Jangan salah faham, hanya beberapa aspek luaran sahaja kita ambil.. bukan ambil sebagai sunnah perjuangan!
PERGINYA MUJAHID UMAT
Dunia Islam meratapi pemergian Mujahid umat kala ini, Mukhlas, abangnya Amrozi serta Imam Samudra.
Mereka telah ditembak mati tepat jam 1.00 dinihari lewat Ahad yang lalu. Meski menghadapi kesulitan akibat proses perbicaran yang panjang, namun ketegaran mereka untuk terus dihukum mati mengkagumkan saya. Tarbiyah yang mereka terima mengeraskan hati mereka, dan terus tabah menempuh kematian sebegitu.
Saya bukan berpendapat mereka mati syahid dan segala kerja bom manusia menjadi halal. Kita mengaji melalui tok-tok guru kita bahawa perjuangan Islam adalah menegakkan kalimah Allah, tetapi bukan pada semua cara sama. Mungkin kita tahu istilah "Muwajahah Silmiyyah", dalam konteks berpolitik secara demokrasi hari ini, maka perjuangan Islam wajib ditegakkan atas ruang yang kita miliki. Konteks (waqi') Afghanistan, Palestin dan Iraq suasana nya berbeza. Wajar Mujahid di sana mengangkat senjata kerana itulah satu-satunya jalan menegakkan Islam. Membunuh jiwa tanpa ada sebab yang khusus adalah dilarang dalam Islam.
Bukan pembicaraan saya di sini menyentuh hukum jihad tersebut. Saya reserve kan dalam diri, mungkin juga mereka menjadi insan pilihan Allah. Siapa tahu! Media membesarkan mereka sebagai pengganas, tetapi kita belum kenal perilaku mereka ini.
Tetapi yang mengharukan saya bagaimana watak keras mereka dibentuk hasil tarbiyah yang kental yang mereka terima. Yakin mereka di jalan yang lurus, syahid sebagai jalan dan syurga menjadi matlamat hidup mereka.
Semoga roh mereka benar-benar ditempatkan sebagai para syuhada di jalan Allah, dan meletakkan kita sebagai insan yang berjuang istiqomah di jalan Nya.
KEMBALI KE GELANGGANG BLOG
Saya akui, kini agak sibuk dan keterbatasan masa di pejabat menghambat saya dari dunia blog ini.
Apa pun, saya kini kembali dan cuba "kembali". Nantikan sentuhan yang tidak seberapa ini! Saya amat dahagakan komentar anda buat memberi input baru penulisan ini.