Serangan Israel ke atas bumi Palestin masuk ke minggu ke 2. Setakat laporan ini ditulis, hampir 500 jiwa umat Islam Palestin terkorban. Ramainya kanak-kanak, bayi, kaum perempuan, dan orang-orang tua. Di mana-mana, di Pejabat kerajaan, masjid, hospital, taman permainan, khemah pelarian, rumah kediaman dan apa saja menjadi sasaran Israel. Laknatullah ini sedang mengamuk sakan persis menyambut pesta pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Palestin. Bumi Palestin menjadi 'punching bag' dan medan latihan bagi Laknatullah menguji senjata canggih mereka.
Apakah bahasa yang layak bagi memberi makna kaum yang pernah membunuh para Nabi dan Rasul a.s., kaum yang mengkhianati perjanjian dengan Nabi Muhammad saw, yang pernah meracuni Nabi Muhammad saw, serta sombong dan bongkak ini? Apakah pengajaran yang paling berharga bagi 'mengajar' kaum penjajah ini melainkan jihad dan peperangan?
Dalam isu ini saya telah mendapat pengalaman pertama seumur hidup mendengar khutbah di Masjid Negara yang mengecam tindakan Zionis serta menyokong perjuangan Hamas. (walaupun di masjid lain khutbah tanpa teks biasa menyebut sokongan terhadap perjuangan Islam di Palestin). Yang saya kagumkan lagi Khatib mendoakan kesejahteraan bumi Palestin, Iraq dan negara-negara umat Islam yang lain. (Sesuatu yang belum pernah dirasai di masjid utama negara). Alhamdulillah, sudah ada sedikit kesedaran setelah berpuluh tahun kita terasa seakan-akan isu umat Islam sejagat dibisukan dari mimbar khutbah. Kalaulah khutbah Jumaat ditekskan secara rasmi yang berkisar persoalan jihad dan perjuangan seperti mana di Palestin, Iraq, Chechnya, Afghanistan dan lain-lain bumi Islam sepuluh tahun dahulu, sudah tentu umat Islam di Malaysia sudah lama bangkit dengan arus kesedaran seperti mana berlaku di negara-negara umat Islam yang lain.
Seperti biasa, demonstrasi jalanan adalah amalan biasa apabila berlaku pertumpahan darah di Palestin. Seingat saya, hampir sepuluh tahun kami berdemonstrasi memberi simpati mengenangkan beribu jiwa yang terkorban. Hampir setiap tahun, pembunuhan Palestin berlaku dan demonstrasi adalah puncak bagi melepaskan kemarahan. Nak harapkan apa lagi,
setakat demonstrasi dan serah memorandum sahaja yang kita mampu buat. Perkara lain, solat hajat dan doa serta Qunut Nazilah sekadar menjadi bekalan.
Hairan kita, mengapa pemimpin umat Islam yang menganggotai OIC hanya berpeluk tubuh, lena diulit mimpi serta sanggup bersekongkol dengan negara haram Zionis. Pemimpin Malaysia pun lebih kurang dua kali lima. Anak buah dibiarkan buat bantahan konon-kononnya nak menunjukkan kepada dunia mereka turut membantah, tetapi tindakan mereka membuktikan kerelaan atas apa yang berlaku. Agaknya mereka tidak membayangkan dosa yang ditanggung dengan membiarkan jiwa dan maruah umat Islam diinjak-injak. Mungkin mereka tidak punya maruah lagi, sebab itu sanggup membiarkan maruah umat Islam dicarik.
Sebagai pemimpin yang berkuasa di negara-negara Islam, cukupkah hanya dengan mengutuk, menyerah memorandum, diskusi, sidang meja bulat, sidang akhbar, kenyataan media, mesyuarat tergempar dan entah apa-apa lagi sedangkan dalam masa yang sama umat Islam terus disembelih. Ternyata pemimpin-pemimpin negara Islam semuanya bacul. Tidak berani mengambil langkah kehadapan dengan tindakan-tindakan yang boleh menghalang Israel. Sejumlah 3 juta kaum Yahudi boleh menggoncang dunia Islam yang penduduknya mencecah satu pertiga dari penduduk bumi, yang bertebaran hampir di mana-mana pelusuk dunia!
Pemimpin dunia Islam sepatutnya boleh bertindak demi secebis ihsan. Amat mudah bagi pemimpin-pemimpin dunia Islam bersatu dan mengambil tindakan bersama secara menyeluruh. Kalau mereka berani sudah tentu ada tentera mujahidin yang dihantar berjihad, atau pun membekalkan senjata seperti mana Amerika Syarikat lakukan, atau apa-apa tindakan yang boleh menggugat kekuatan Israel. Kalau Barat isytiharkan perang dunia sekalipun, sekiranya pemimpin Islam berani, maka jutaan umat Islam akan turun bersama memerangi musuh Islam ini. Prinsip Islam tidak pernah goyah, kita memahami erti jihad, syahid sebagai kemuliaan dan ganjaran syurga sebagai matlamatnya. Amerika Syarikat bukan terlalu kuat untuk ditewaskan, Israel bukan gah untuk ditumbangkan. Mudah sekiranya pemimpin Islam beriman dan bertaqwa.
Barangkali inilah kecelakaannya bila mendapat pemimpin Islam yang fasik, lemah jiwa, ahli maksiat, sosialis, nasionalis, sekularis, dan pentingkan diri sendiri. Kenyangkan perut sendiri dan biarkan orang lain kebuluran. Tren ini berlaku di mana-mana negara Islam. Selagi mereka yang berkuasa selagi itulah kekejaman dibiarkan di depan mata. Biarkan rakyat mati, asalkan mereka senang. Islam dihina dan diperlakukan sesuka hati.
Membebaskan dan membela nasib umat Islam sejagat perlu perjuangan berterusan. Wajib dan tiada alasan. Tetapi banyak ranjaunya. Pendahuluannya ialah bebaskan negara sendiri dahulu dari dijajah oleh pemimpin yang berjiwa 'karat barat', meskipun sama rupa parasnya. Islamnya mungkin sama, imannya berlainan. Bunyi syahadahnya sama, tetapi anutannya kapitalis, nasionalis atau sekularis. Inilah halangan pertama dan utama umat Islam dalam bersatu mengumpul kekuatan. Jatuhnya pemimpin zalim, serta menaikkan pemimpin yang berjiwa Islam akan membuka pintu kemenangan Islam keseluruhannya.
Kemudian umat Islam seluruh dunia perlu bersatu. Dalam urusan jihad dan pembelaan Islam, persoalan fikrah harus diketepikan dahulu. Ideologi, doktrin, fahaman dan lain-lain boleh dibincang kemudian. Peri pentingnya saat ini, senjata dihalakan ke arah Zionis. Kurangkan musuh dan fokus kepada satu. Termasuk tindakan lain boleh diambil seperti pemulauan ekonomi Israel, mengusir diplomat, boikot barangan Israel dan US, memberi ugutan keras, membekalkan senjata dan lain-lain.
Jihad Islam tidak pernah luntur dan pudar dari jiwa umatnya. Dalam kegetiran ini, kita bersama berharap musnahnya Zionis dan bangkitnya Islam. Namun harapan ini tidak semudah perlaksanaan. Yang sedang kita usahakan di bumi sendiri dan di mana-mana bumi umat Islam, dalam mendepani demokrasi tempang adalah usaha ke aras mencapai kejayaan pendahuluan iaitu membebaskan watan dari jajahan pemimpin Islam yang songsang. Usaha ini telah mencecah puluhan tahun , dan entah berapa tahun lagi perlu diambil. Ia hanya secebis usaha bagi mendapatkan pembebasan seluruhnya Islam. Dunia Islam merindui Khilafah yang runtuh tahun 1924 tegak kembali abad ini. Nantikanlah kewujudannya, dan berjihadlah selagi terdaya...
No comments:
Post a Comment