Tertarik dengan cadangan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddein, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang mahu sayap UMNO seperti Puteri, Putera, Pemuda dan Wanita dimansuhkan atau dibubarkan. Katanya, dengan adanya sayap inilah maka gejala politik wang berleluasa. Beliau seakan mengakui wujudnya rasuah politik yang tidak terkawal di dalam UMNO. Baginya, dengan pembubaran sayap UMNO maka akan terkawallah gejala politik wang UMNO.
Maka seperti biasa, terloncatlah juak-juak yang ada dalam sayap parti tersebut. Lantang bersuara Hishamuddin Hussein, Ketua Pemudanya. Begitu juga Dato' Aziz, ketua Putera dan Tan Sri Rafidah Aziz, Ketua Wanita.
Bagi saya, UMNO telah parah. Telah menjadi bualan umum, bahawa UMNO dan ahlinya hidup dengan rasuah. Sejak dulu hingga kini, bukan sekadar di peringkat sayap parti, bahkan menjalar ke peringkat jawatankuasa tertinggi. Daripada peringkat cawangan, membawa ke peringkat Bahagian hinggalah ke puncak tertinggi di peringkat Jawatankuasa Pusat. Tanyalah mana-mana ahli UMNO, secara ikhlas, siapakah yang naik ke jawatan tinggi tanpa apa-apa 'investment' (pelaburan). Siapakah yang ada dalam UMNO (yang memegang jawatan tinggi) naik tanpa apa-apa motif melainkan untuk berkhidmat kepada rakyat dan ahlinya. Semuanya kerana kuasa dan disebalik lingkaran kuasa itu, terhampar harta yang melimpah. Tanyalah, Ketua-Ketua Bahagian, MT UMNO, siapakah yang tidak punyai projek di tangannya.
Tidak sesuai pada pandangan saya untuk membubarkan sayap parti, kerana kesannya terlalu sedikit. Melihat kepada barah yang kian parah, ubat yang paling baik adalah bubarkan terus UMNO itu. Biarkan ianya tinggal dalam lipatan sejarah, sebagai parti nasionalis yang telah memakan korban rakyat sejak puluhan tahun lamanya. Membubarkan UMNO adalah langkah paling baik bagi menyelamatkan ahlinya dan rakyat Malaysia dari menempa nama buruk selaku negara perasuah antara paling tinggi di dunia.
No comments:
Post a Comment