Semalam diadakan majlis Resepsi bagi kedua mempelai yang baru mendirikan mahligai Mawi dan Ekin. Bagaikan di kayangan, kedua-dua selebriti popular (Baca : Mawi anak emas Astro) ini diarak dan diraikan sepenuh majlis. Konsep ala Timur (Arab) pula dipilih sendiri oleh Mawi.
Daripada penganjuran, nyanyian, persembahan, ucapan, pakaian dan entah apa lagi semuanya berprotokol. Lebih dari itu, siaran langsung dari Astro turut memeriahkan suasana. Saya berkesempatan menonton rancangan tersebut. Kebetulan, jadual malam saya kosong tanpa sebarang mesyuarat atau aktiviti. Mungkin Astro mempunyai agenda besar iaitu mengaut segala laba hasil dari tajaan Majlis resepsi tersebut. Majlis pula diadakan di sebuah Hotel termahal di ibu negara, Palace Of The Golden Horses. Acara padat dengan segala persiapan ibarat mengadakan sebuah Malam Kemuncak (bagi sesuatu anugerah prestij). Dijemput pula tetamu-tetamu kehormat dari kalangan Menteri, dan lain-lain yang saya tidak dapat pastikan.
Saya terkedu melihat suasana ini. Majlis dipenuhi dengan tarian, nyanyian, pergaulan tanpa batas, aurat didedahkan sesuka hati. Terperasan juga satu slot sebelum acara memotong kek. Dipentaskan model-model mengghairahkan melagak seperti bidadari kayangan (menurut deejay yang berucap). Bagaimana Astro sanggup mempergunakan manusia seperti Mawi dan Ekin hanya untuk 'komersialkan' majlis tersebut. Berapa banyak Astro untung hanya majlis semalaman yang dilangsungkan. Bagi saya, majlis ini telah menjadi majlis yang haram.
Kesian Mawi dan Ekin. Mereka sepatutnya melangsungkan perkahwinan dalam keadaan bersyukur dan merendah diri. Perlukah bercerita ke segenap pelusuk negara majlis yang mereka langsungkan. Kalahkan perkahwinan Di Raja. Majlis perkahwinan adalah majlis yang diberkati. Anak Adam dimuliakan kerana sanggup mengambil jalan yang halal (dengan berkahwin) dan menjauhi perkara yang haram (berzina).
Saya bukan mendoakan keburukan. Dalam ramai rumahtangga artis yang bergoncang dan berantakan, lihatlah profil hidup mereka. Amalan hidup bebas dan liar, aurat yang tidak terkawal, hilangnya rahmat dan sakinah dalam hidup membawa kepada kemusnahan sebuah mahligai yang dibina. Hantaran bukan calang-calang. Ber puluh ribu ringgit. Majlis bukan main-main, dihotel ternama. Tiga empat tahun lepas majlis hampir serupa pernah diadakan. Gilang gemilang. Liputan yang meluas. Lihat apa jadi pada pasangan tersebut. Akhirnya terkulai layu rumahtangga 'mahal' yang dibina.
Harapnya janganlah trend majlis perkahwinan secara besar-besaran menjadi ikutan. Cukuplah satu dua kerat artis. Cukuplah juga dengan kugiran, karaoke dan joget lambak yang biasa diadakan majlis-majlis kenduri. Tidak sempurnakah majlis kalau tiada semua unsur ini? Masyarakat tidak tahukah majlis kenduri kalau tidak ada 'lalakan' yang membingitkan suasana. Ataupun mungkin orang tidak datang kalau majlis kenduri senyap sunyi, yang hanya diselangi dengan nasyid.
Keberkatan bukan dengan kemeriahan. Majlis perkahwinan adalah permulaan bagi memulakan hidup baru yang diberkati. Diberkati beerti dilimpahi rahmat, sakinah (ketenangan), rezeki yang mencukupi, kebahagiaan, kesolehan, dan ketaqwaan. Tetapi kalau permulaan kehidupan dipenuhi dengan unsur maksiat, di mana akan diselitkan keberkatan dalam kehidupan. Kemewahan bukan alat mencapai keberkatan. Tiada syarat kekayaan memberi keberkatan. Cukuplah dengan Majlis yang sederhana. Kalau rasa-rasa banyak lagi harta untuk dibelanjakan, infakkan ke Tabung Bantuan Palestin. Ramai rakyat Palestin kini terbunuh. Alangkah hinanya umat Islam yang hidup berfoya-foya dengan lambang kemewahan dalam keadaan saudara seagamanya hidup dalam keadaan merana, disembelih dan dibunuh.
No comments:
Post a Comment