Alangkah terperanjatnya berita kemasukan YB Dato' - Adun Bota ke Parti Keadilan Rakyat. Dengan tidak semena-mena, angin tiada ribut pun tidak, tiba-tiba UMNO yang sedia bergolak, tambah berkocak. YB Dato' Nasaruddin Hashim menyertai gerombolan pemuka UMNO yang menyeberang ke Pakatan Rakyat. Sebelum ini Adun bebas dari Sarawak telah memulakan langkah peralihan kuasa, kemudian disertai Dato' Zahar Hashim- Ketua UMNO PJ Selatan dan kini Adun Bota pula menyertainya. Tidaklah dapat dikirakan berapa ramai pula ahli-ahli yang telah menyeberang kepada PAS atau Pakatan Rakyat.
Beginilah realitinya UMNO. Firasat saya suatu ketika dahulu, bahawa UMNO pasti akan karam sekiranya mereka karam di Selangor dan negeri pantai barat menjadi kenyataan. UMNO adalah parti cari makan dengan politik dan kuasa, maka pemegang jawatan mahupun ahli didalamnya adalah pemangsa yang kelaparan. Sekian lamanya mereka beramal dengan projek. Inilah sumber kekayaan UMNO dan ahli-ahlinya. Secara tiba-tiba pula Tsunami 8 Mac 2008 membadai dan menghanyutkan khayalan tinggi mereka. Lalu terkapai-kapai mencari tempat buat berpaut. Selama berbulan-bulan dan setahun lamanya mereka memakan hasil bekalan 50 tahun projek yang diwakafkan buat rakyat Malaysia.
Apa yang sedang UMNO alami hari ini adalah hampir sama dengan apa yang telah PAS alami buat suatu ketika. Secara khusus selepas pasca Pru ke 12 tahun 2004 yang lalu dimana PAS dikecundangkan secara silap mata. PAS tinggal beberapa kerusi tetapi masih bernafas panjang. PAS cedera tetapi tidak membawa kematian. Syukur, ahli-ahli PAS tidak melatah. PAS membina kembali kekuatannya sendiri tanpa bantuan kerajaan. Ahli-ahli PAS diajar supaya bersabar tatkala musibah datang melanda, syukur ketika dilimpahi nikmat dan tidak lupa daratan. Ahli PAS diajar menang adalah satu anugerah, kalah adalah biasa.
Manakala UMNO yang sedang berkonflik sekarang sedang menuju kehancurannya. Mengikut gaya pembawakannya, indeks UMNO semakin menjunam. Tidak hairan, sedikit masa UMNO hanya tinggal sebagai sejarah di Jabatan Arkib Negara. Ini kerana budaya UMNO hidup dengan duit dan kuasa. Mereka tidak pernah diajar supaya bersabar, ikhlas, dan istiqomah. Mereka tidak diusrahkan dengan pengorbanan, wala' dan taat serta baiah. Yang tahu,UMNO adalah pusat mencari makan.
Syabas kepada YB Dato' Nasharuddin Hashim. Semoga Dato' teguh dengan pendirian dan sabar dengan mehnah yang melanda. Biarkan mereka mengumpat dan mengeji. Kami telah lama mangli dengan cercaan mereka yang tidak mahu berfikir! PAS dan Pakatan Rakyat sudah membuka seluas-luasnya bahtera buat ahli dan pemuka UMNO yang mahu berubah haluan. Apa salahnya, sesekali beralih dari parti mencari makan kepada parti yang memperjuangkan Islam dan keadilan.
No comments:
Post a Comment