Thursday, January 22, 2009
ERA SEJARAH BARU AMERIKA SUDAH DICIPTA
Amerika Syarikat sudah mencipta sejarahnya tersendiri, dan rakyatnya yangt mencipta sejarah tersebut. Inilah kali pertama presiden negara Uncle Sam, negara polis dunia dan negara paling berkuasa di dunia mengangkat seorang presidennya dari kalangan seorang warga berkulit hitam.
Barrack Hussein Obama, 47 tahun barangkali adalah presiden yang paling muda memegang tampuk kuasa tertinggi dunia itu.
Banyak harapan diberikan oleh rakyat Amerika Syarikat, sepeninggalnya George W. Bush. Harapan supaya dasar unilateral Amerika Syarikat akan berubah. Harapan supaya akan ada dialog peradaban antara benua supaya membentuk hubungan yang lebih baik antara negara-negara dunia. Juga harapan supaya dunia Islam diberi tempat untuk berbincang tanpa apa-apa kuasa veto yang mengarut. Harapan terletak di bahu beliau supaya menghapuskan Guantanamo Bay, kem tahanan yang menjadi penjara neraka buat mereka yang tertuduh sebagai pengganas- seperti mana janji beliau di dalam kempen Presidennya. Juga diharapkan supaya beliau segera menarik kembali tentera Amerika dari bumi Iraq, Afghanistan, serta bersikap lebih terbuka dalam menghadapi perang Israel-Gaza. Supaya beliau dengar rintihan pemimpin dunia Islam serta mengiktiraf Hamas sebagai sebuah parti yang menguasai kerajaan. Tidak dilupakan harapnya beliau mampu bersemuka dan duduk semeja dengan Presiden Iran bagi menghadapi kemelut yang berpanjangan. Harapan pada perkara yang sedikit, tetapi amat bermakna semua.
Bagi kita umat Islam, mengharapkan supaya masih ada sisa kejujuran bagi Barrack Obama mengotakan janjinya dan bersikap lunak. Tetapi diingatkan jangan letakkan harapan terlalu tinggi, kerana bimbang kita akan kehampaan buat sekian kalinya. Maklumlah, sekelilingnya adalah penasihat dari kalangan Yahudi-Zionis.
Masa sedang menghambat Obama dan dunia sedang mengadili sebuah catatan sejarah. Semoga Amerika Syarikat dan seluruh dunia mencatat episod kejayaan hasil buah tangan Barrack Obama!
Petikan dari media arus perdana:-
WASHINGTON: Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) baru - yang ke-44 dan yang pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam sambil berazam untuk menerokai hubungan baru dengan dunia Islam.
"Kita telah memilih harapan di sebalik kebimbangan, perpaduan yang bertujuan di sebalik konflik," kata beliau dalam ucapan sulungnya sejurus selepas mencipta sejarah sebagai Presiden yang baru bagi AS.
"Bermula hari ini kita perlu bangkit, membuang yang keruh dan kembali bekerja untuk membina semula Amerika," kata Presiden berusia 47 tahun, dari parti Demokrat, di hadapan rakyatnya yang masih bimbang dengan kesan kemelesetan ekonomi paling teruk sejak 1930-an
Malah, ucapannya juga menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia dan negara-negara Islam selepas diselubungi pelbagai persepsi negatif sejak 11 September 2001 di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush.
"Amerika merupakan rakan kepada setiap negara dan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang inginkan masa depan yang aman dan bermaruah, dan di mana kami bersedia untuk menerajuinya sekali lagi.
"Kepada dunia Islam, kita harus menerokai perjalanan baru berdasarkan kepentingan bersama dan penghormatan bersama," kata beliau sambil menekankan, "ia tidak diberikan tetapi harus diperoleh."
Bagaimanapun Obama memberi amran bahawa Washington akan berhadapan dengan mana-mana pihak yang menggunakan "keganasan" dan memenggal mereka yang tidak berdosa tanpa sebarang kompromi.
"Kepada dunia Islam, kami inginkan satu arah tuju yang baru," kata Obama lagi.
Malah dalam ucapannya itu, Obama juga bertekad untuk menangani krisis ekonomi dan kesan peperangan di dua negara, yang secara langsung menjejaskan imej Washington di kaca mata dunia.
Obama yang dipilih sebagai Presiden AS pada 4 November lalu menyempurnakan upacara itu kira-kira 1.06 pagi (waktu Malaysia) di hadapan Ketua Hakim John Roberts.
Obama merupakan Presiden AS yang kelima paling muda dan beliau menggantikan Bush.
Sebelum giliran Obama angkat sumpah, bekas Senator Delaware Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden yang baru di hadapan Hakim John Paul Stevens.
Terdahulu kedua-dua Obama dan Bush tiba di bangunan Capitol - lokasi angkat sumpah dari White House menggunakan kenderaan rasmi yang sama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment