Friday, July 31, 2009

DEBARAN MENANTI 1 OGOS

Gendang sudah dipalu, berita sudah dicanang ke seluruh pelusuk negara. Tarikh 1 Ogos 2009 dipilih sebagai tarikh keramat rakyat menantikan harapan baru bagi memerdekakan 1 Malaysia. Tarikh itulah genap 49 tahun ISA dilahirkan, diremajakan dan didewasakan. Selama 49 tahun beratus bahkan beribu mangsa sudah merasai keperitan di tahan di bawahnya.

Kini beban sudah tidak tertanggung lagi. Sudah letih cara berdiplomasi dengan kelompok yang degil dan sombong. 9 tahun penubuhan GMI pelbagai tindakan telah diambil, dari kenyataan media ke seminar, dari memorandum bantahan kepada demonstrasi kecil-kecilan.

Tarikh 1 Ogos nanti akan dikenang. Bulan inilah suatu ketika pada tahun 1957 negara Malaysia mengecap kemerdekaan. Dan bulan ini pulalah sejarah akan mengenang betapa rakyat telah berhimpun seramai mungkin bagi mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Kenapa perlu Polis menggelabah?

Pihak polis beberapa hari terdekat mengeluarkan kenyataan keras. Jangan hadiri himpunan 'haram' ini. Sejak bila polis boleh menafsir undang-undang dan perlembagaan dengan betul? Bukankah Perlembagaan membenarkan himpunan dianjurkan. Inilah hak rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi yang tulen. Maka, sebelum pihak polis mahu rakyat mematuhi undang-undang, hormatilah dulu undang-undang sedia ada.

Sudah 3 kali Himpunan sebesar ini diadakan. Bermula dengan BERSIH, PROTES (walaupun tidak jadi seperti yang dirancang) dan PPSMI, tidak ada kekacauan pun yang timbul. Tidak ada yang cedera akibat tindakan merusuh peserta himpunan. Yang ada pihak peserta yang cedera ditembak dengan gas dan air asid pemedih mata. Ditangkap dan diperlakukan secara tidak wajar. Itu yang berlaku.

Sepatutnya bagi mengelakkan kekacauan polis perlu menjaga di tempat yang sepatutnya. Berikan para demonstran ruang jalan dengan tempoh masa yang mencukupi. Laluan mereka ditutup kepada lalulintas, seperti mana yang biasa di buat apabila ada majlis besar-besaran disambut. Bukankah GMI telah memaklumkan kepada pihak polis tarikh, masa dan lokasi Himpunan?

Kalau ada Majlis Menyambut Tahun Baru atau Hari Kebangsaan negara, bukan main pihak trafik menutup jalan. Bahkan kalau ada pesta seperti Sukan atau konsert dianjurkan seperti Jom heboh, sanggup polis menutup jalan kepada lalulintas. Takkanlah majlis sepenting Himpunan Mansuh ISA tidak langsung ada belas kasihan untuk pihak trafik mengawal lalulinta dan menutup jalan.

Bagaimana kalau FRU bersikap menjaga keselamatan secara profesional, umpama menjaga Majlis UMNO-BN. Sudah pasti tidak akan timbul kekacauan dan huru hara. Seperti menjaga stadium yang ada perlawanan bola sepak. Jarang-jarang terjadi adegan FRU menembak gas pemedih mata.

Insiden keganasan, merusuh, menangkap, menembak, memancut air asid sebenarnya hanya menambah buruk keadaan. Rakyat sekadar mahu berhimpun meluahkan rasa, dan selesai masanya mereka akan pulang. Tidak pernah terjadi Himpunan akan berlarutan sehingga keesokan harinya. Mereka juga harus pulang kerana mereka ada keluarga, ada tanggungjawab dan ada kerjaya. Sekiranya pihak polis bekerjasama nescaya himpunan berjalan dengan aman. Rakyat pun sebenarnya tidak suka kepada kekacauan dan huru hara. Himpunan ini bukan unutk mencetuskan huru hara, tetapi mahu meluahkan perasaan yang selama ini tidak pernah diendahkan.

Berilah peluang rakyat mencipta sejarah pada 1 Ogos 2009 nanti. Kerana nantinya hak semua pihak yang tertindas juga perlu dan akan diperjuangkan. Dulu hak Bahasa Melayu dan pencintanya telah berjaya diperjuangkan, kini giliran mangsa ISA pula. Sampai masanya apabila nasib anggota polis tidak terbela, maka rakyat yang disembur gas dan ditangkap umpama penjenayah ini pula yang diajak berhimpun untuk mengangkat martabat anggota polis. Siapa tahu, dunia akan berubah!

Monday, July 27, 2009

BAYANGKAN MEREKA YANG SOKONG ISA INI DI ISA KAN

Hairan juga bagaimana ada sekelompok manusia yang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang beriya-iya mahu mengekalkan ISA akan mengadakan demo pada tarikh dan tempat yang sama dengan Himpunan membantah ISA, GMI pada 1 Ogos ini.

Mereka sehingga marah kepada YB Khairy Jamaluddin Ketua Pemuda UMNO yang mengarahkan ahli-ahli pemudanya supaya tidak menyertai mana-mana himpunan, sama ada menyokong ISA ataupun menentang ISA.

Kenyataan Khairy dianggap baik kerana memilih sikap berkecuali, berbanding Pewaris. Apa motif pewaris yang sanggup turun ke jalan raya bagi mengekalkan akta yang memang zalim itu? Adakah mereka ada kepentingan tertentu, atau hendak membodek bos mereka.

Semua rakyat, baik berpendidikan tinggi atau rendah bersetuju bahawa ISA adalah akta yang zalim. Majoriti bersetuju akta ini dimansuhkan. Rakyat bukan menyokong penjenayah atau pengganas yang ditahan dalam ISA, cuma rakyat mahukan supaya mereka ini diadili di dalam mahkamah yang sebenar. Tindakan menangkap, mengurung tahanan selama dua tahun minima dan ada yang meringkuk sehingga 6 tahun dalam tahanan tanpa mengetahui apakah dosa mereka merupakan suatu dosa.

Cuba pewaris fikir dengan akal yang matang, apakah dosa Ust Nik Adli dan rakan-rakannya ditahan sehingga 6 tahun di bawah ISA. Apakah bukti kerajaan membabitkan mereka dengan tindakan pengganas? Mengapa geng reformasi seramai 6 orang ditahan di bawah ISA? mana bukti kerajaan mereka ini mengancam keselamatan negara? Mengapa sehingga kini tahanan JI, KMM, dan lain-lain tidak dibebaskan? Mereka masih mengancam negara, apa buktinya...

Bayangkan geng-geng pewaris ini ditahan ISA. tanpa bukti apa-apa ditahan dan dikurung di Kamunting. Lepas 2 tahun di tambah lagi 2 tahun. Janji kerajaan untuk bebaskan, tetapi sampai masanya ditambah lagi dua tahun. Saya tidak boleh gambarkan mereka yang sombong ini ditahan ISA sebegitu.

Pewaris kena fikir dengan akal yang bijak apakah harus mereka menyokong ISA. Bukan semua polisi dan akta negara itu salah dan bukan semuanya betul. Jangan hanya kerana kepentingan diri atau kerana hendak membodek pemimpin mereka sanggup menutup mata dari melihat kebenaran. Yakinlah, kebenaran pasti akan mejelma dan kebatilan serta kezaliman seperti ISA ini pasti akan tenggelam. yang pasti, rakyat mahu ISA dimansuh!

KALAU TUN LAH MASUK PAS

Dalam satu kenyataan semalam, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mengalu-alukan dan menjemput Tun Abdullah Ahmad Badawi menyertai PAS, mengiringi beberapa bekas pimpinan UMNO, MCA dan MIC yang telah menyertai PKR.

Dalam dunia politik, tidak ada yang mustahil. Dalam perjuangan Islam, perkara ini sering berlaku apabila musuh Islam pada asalnya (tidak dimaksudkan dengan Pak Lah), bertaubat atau masuk Islam. Siapa sangka pemimpin besar Mekah (dianggap Perdana Menteri Mekah) Abu Suffian memeluk Islam dan isytihar bersama Rasulullah saw. Tidak ada siapa menduga Umar ra yang hebat dan gagah itu sanggup melutut di depan Rasulullah saw dan memeluk Islam. Tidak ada jangkaan Khalid al Walid yang berjaya mengalahkan tentera Islam dalam perang Uhud memeluk Islam dan menjadi pejuang yang hebat. Ini semua adalah ketentuan takdir Ilahi dan tidak ada apa yang mengherankan. Kuasa allah semuanya boleh terjadi.

Kalaulah Tun Abdullah menyertai PAS, isnyaallah akan berseri lagi perjuangan Islam ini. Saya yakin Tun Abdullah pasti akan mendapat tempat yang tinggi di peringkat Pusat. Dalam PAS tidak ada perebutan jawatan, dan kalaupun ada tidaklah ketara. Hanya segelintir mereka yang berkepentingan sahaja akan merebut jawatan dalam PAS. Kebanyakannya hampir di semua tempat, ruang bekas Perdana Menteri itu terbuka. Tun Lah boleh ditempatkan sama ada sebagai AJK PAS Pusat, penasihat tertentu dalam mana-mana posisi strategi PAS (sebagai menghormati kedudukan beliau), sebagai Pesuruhjaya, atau apa saja yang difikirkan sesuai. Bukankah Rasulullah saw dahulu mengiktiraf Abu Suffian dengan jaminannya rumah beliau akan selamat selepas beliau menganut Islam.

PAS akan sedia memaafkan kesasalahan beliau terdahulu (dosa sesama makhluk, kalau dosa terhadap Allah beliau kena mohon ampun dari Allah swt). Saya menganggap semua ahli PAS sedia berlapang dada dengan penyertaan beliau dan mungkin orang-orangnya. Inilah keistimewaan PAS. Dato' Zahar Hashim yang telah menyertai PAS tahun lepas, diberikan layanan yang istimewa. Beliau masih diberi tempat sebagai pemimpin peringkat kawasan yang orang-orang sezamannya di dalam PAS sendiri tidak merasainya.

Cuma kalau benar Tun Abdullah mahu menyerftai PAS, saya nasihatkan beliau supaya banyak bersabar. Seperti mana beliau ketika di dalam UMNO yang banyak menohmah dan menghina caci PAS, begitulah PAS hari ini akan diperlakukan. Ejekan, hinaan, cercaan, tidak termasuk tangkapan, ugutan, siksaan adalah makanan biasa bagi PAS, sejak ia ditubuhkan. Biasa terjadi bagi orang PAS - hanya kerana bercakap soal Islam, seluruh kampung, daerah dan kawasan memulaunya. Ini adalah asam garam dan kami biasa hadapinya.

Dalam PAS, bukanlah tempat mencari keuntungan. Tidak ada elaun tambahan, tidak ada tuntutan perjalanan, bahkan bagi ahli dan pimpinan, semakin tinggi jawatannya semakin banyaklah duit yang mengalir keluar. Sebarang aktiviti biasanya dibiaya sendiri. Dan biasa bagi pemimpin PAS duduk hidup sederhana zuhud seadanya. Lihatlah cara hidup Menteri Besar Kelantan, Menteri Besar Kedah dan Presiden sekarang. PAS tidak menolak kekayaan individu, tetapi individu tertinggi dalam PAS memilih cara hidup yang serba sederhana.

Semoga Tun Abdullah Ahmad Badawi diberikan hidayah oleh Allah swt menyertai PAS, bersama isteri dan keluarganya. Inilah masanya untuk berubah, kerana usia kita semakin dihimpit masa yang semakin singkat. Dan lagi Tun, PAS lah wadah untuk bukti keikhlasan menabur jasa kepada rakyat tanpa mengenal lelah dan letih, tidak mengira pangkat dan jawatan, masa dan tenaga. Kami sudah berpersada dalam negara sejak 50 tahun, cahaya kemenangan belum sinar di depan mata, tetapi semua dari kalangan terus berjuang tanpa bertanya bila PAS akan menang.

Selamat menyertai PAS wahai Tun Abdullah!

INFLUENZA H1N1 SUDAH CAPAI TAHAP KRITIKAL

Dalam sekelip mata penyakit ini datang ke Malaysia, dan dalam sekelip mata ia menyerang orang ramai. Secara tiba-tiba sebuah sekolah ditutup, kemudian merebak ke Universiti. Tatkala saya menulis artikel ini, sudang lebih 1,000 orang telah dijangkiti.

Nampaknya tiada kuasa tertahan dari menghalang penyakit ini menular. Bagi yang insaf, ini adalah kerja dari Allah swt yang menghendaki sesuatu. Kita mampu beringat, dan mengubat mahupun mencegah, tetapi tidak mampu mengelak.

Nasihat saya, elakkan diri buat masa ini dari melancong ke luar negara. Kalau terpaksa pun ke luar negara, buatlah tindakan sewajarnya. Ini bukan masa untuk kita berseronok dan bersuka ria.

Kita wajar berfikir secara serius pendemik ini. Ia menular dalam senyap dan telah memangsakan 1000 orang. Berhati-hatilah!

SATU DEMI SATU MEYEBERANG

Teori 16 September yang diungkapkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim baru sekarang nampak nak menjadi. Itupun baru sipi-sipi, apabila beberapa bekas pemimpin kanan parti komponen BN mula isytihar keluar parti dan melompat ke PKR. Mungkin ramai yang tidak sabar semasa menunggu teori yang diumumkan oleh Penasihat PKR itu suatu waktu dahulu, hari ini boleh tersenyum bangga. Anwar tidak akan beretorik kosong untuk menjatuhkan kredibiliti dirinya.
Cuma kita masih menunggu siapakah Ahli Parlimen pertama yang akan melompat masuk ke Pakatan Rakyat.

Bermula dengan Yong Teck Lee dengan SAPP, kemudian penyertaan Dato' Zaid Ibrahim, menyusul pula Dato' Chua Jui Meng dan kini SS Subramaniam. selepas ini mungkinkah Tengku Razaleigh Hamzah?

Apapun bagi PAS, kita mengalu-alukan penyertaan mereka yang mahu bersama rakyat mencari kebenaran. Tahniah atas keberanian mereka. Kita mengharapkan lebih ramai lagi penyertaan dari pemimpin atau bekas pemimpin UMNO-MIC-MCA-Gerakan akan keluar parti. Zaman ini bukanlah milik perjuangan kepada bangsa. Sama ada kita berjuang untuk ISLAM ataupun berjuanglah untuk rakyat sejagat tanpa memilih warna kulit dan bulu, dan inipun termasuk sudah dalam manhaj perjuangan ISLAM yang dipelopori PAS sekarang!

UMNO-MCA-MIC wajar dikebumikan dan dibukukan menjadi lipatan sejarah. Tidak ada apa lagi kepentingan bagi mereka yang ikhlas untuk duduk dalam Barisan Nasional. Yang ada sekarang adalah mereka yang penuh dengan kepentingan diri semata.

Tuesday, July 21, 2009

ZAMBRY TERLUPA NAK TANYA FATWA MERAMPAS KERAJAAN PERAK SEBELUM TANYA FATWA NYALA LILIN

Menteri Besar kerajaan Perak yang haram, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta ulama' PAS mengeluarkan fatwa berkenaan nyalaan lilin (candle light vigil) yang dibuat oleh Dato' Seri Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak yang sah.

Sejak bila pula Zambry tahu nak merujuk ulama', dan mengiktiraf ulama' PAS? Dato' Seri Nizar Jamaluddin menyertai upacara memperingati mendiang Teoh dengan menyalakan lilin bersama pemimpin DAP. Adalah menjadi suatu simbolik dalam trend parti politik memperingati sesuatu yang telah hilang (seperti demokrasi yang telah mati, ISA yang zalim, serta sistem Pilihanraya yang kotor) bagi mengingatkan rakyat tentang kehilangan sesuatu yang berharga yang dijadikan acara (event). Dalam kes rampasan kuasa di Perak, rakyat turut berhimpun menyalakan lilin dengan acara yang sama sebagai simbolik kebebasan dan hak rakyat yang telah hilang.

Ia bukan upacara keagamaan, sekadar simbolik. Ia tidak ada kena mengena dengan mana-mana upacara atau adat keagamaan mana-mana agama. Ia sekadar 'event' (acara). Entahlah kalau selepas ini, ada terkait juga dengan acara agama.

Dalam kes Teoh Beng Hock yang mati secara misteri, rakyat menyalakan lilin menandakan sesuatu yang besar telah berlaku. Ia menimbulkan seribu pertanyaan yang misteri dan tidak terjawab. Justeru, antara salah satu acara untuk mengingati tragedi kematian misterinya, diadakan candle night vigil. Takkan nak bacakan al Fatihah pula pada mendiang!

Dato' Seri Nizar haadir sebagai salah satu acara penghormatan terhadapnya. Bahkan, ramai pemimpin PAS hadir di majlis pengebumiannya. Tidak ada salah dan canggahnya dengan agama kalau sekadar menziarahi mayat atau hadir ke majlis mengingatinya.

Zambry banyak bercakap mengkritik tindakan Nizar, tetapi beliau lupa pada dirinya sendiri. Cubalah mintak pandangan Dewan Ulama' PAS berhubung tindakannya merampas kerajaan Negeri. Apakah hukumnya dari sudut syarak, dan apakah hukum memakan duit hasil merampas kerajaan negeri yang sah. Kalau dari sudut perundangan negara sekalipun, jelas beliau telah melanggar perlembagaan, apatah lagi kalau rujuk kepada syarak.

Justeru, Zambry wajar diberikan cermin untuk beliau menilik dirinya sendiri. Dan banyak lagi kemungkaran yang jelas di depan mata untuk beliau tanyakan kepada Majlis Fatwa, barisan Mufti dan Dewan Ulama' PAS. Apakah hukumnya kes judi yang hari ini dihalalkan, kedai nombor ekor yang bermaharajalela, kedai menjual arak yang berterbaran, pusat maksiat dan pelacuran yang bersepah di mana-mana. Tanyalah dan dapatkan jawapannya..

Sunday, July 19, 2009

SORAKAN OLD TRAFFORD TENGGELAMKAN STADIUM BUKIT JALIL

Perlawanan persahabatan antara pasukan Malaysia menentang Manchester United berakhir dengan keputusan tipis, 3-2. Ia seakan mengulangi keputusan satu pertandingan di MU, Manek Urai.

Pasukan Malaysia, walaupun kalah, bersorak seakan merekalah yang menang. Tentangan yang hebat menyaksikan dua gol berjaya dijaringkan oleh Amri Yahyah. Bukan senang membolosi pasukan antara yang terbaik di dunia. Sementara Manchester United, pasukan impian saya melengkapkan kemenangan bersahaja dengan jaringan Wayne Rooney, Nani dan Machael Owen.

Penonton berpusu-pusu masuk ke stadium menyaksikan perlawanan persahabatn ini. Bukan hendak menonton aksi Malaysia, tetapi lebih kepada menyokong Man Utd. Saya saksikan dari kaca TV 'penyokong' Man Utd lebih ramai dari penyokong pasukan tempatan. Apabila wartawan menebual beberapa penonton, mereka hanya mahu melihat pemain bintang dunia Man Utd beraksi. Tiada siapa yang mahu melihat pemain negara beraksi!

Agaknya kalau perlawanan ini hanya sekitar persahabatan antara Malaysia dengan negara jiran, berapa kerat yang mahu turun memberikan sokongan. Kenapa penonton Malaysia tidak ada sikap 'patriotik' menyokong pasukan kebangsaan? Jawabnya kerana prestasi pasukan Malaysia yang semakin merosot.

Sampai bilalah agaknya prestasi pasukan kebangsaan Malaysia akan meningkat? lebih mengharukan kalau menentang pasukan sekerdil Vietnam dan Myanmar sekalipun Malaysia belum tentu boleh menang. Jangan mengharaplah penonton Malaysia akan memenuhi stadium memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan, kalau persembahan pasukan kebangsaan terus-terusan dalam keadaan begini...

DATO' CHUA JUI MENG SERTAI PKR

Seperti yang telah di desas desus ramai, hari ini bekas Menteri Kesihatan dan Naib Presiden MCA, Dato' Chua Jui Meng menyertai PKR dan meletakkan semua jawatannya dalam MCA. Beliau hadir ke Pejabat PKR bersama bekas senator MCA, David Yeoh dan bekas ahli Parlimen Lumut. Kedua-duanya turut mengumumkan menyertai PKR.

Nampaknya angin perubahan negara masih belum reda. Semakin hari semakin ramai yang menyertai Pakatan Rakyat. Walaupun Najib umumkan bahawa sokongan rakyat kepada BN sudah pulih, tetapi tidak bagi pemimpin dan bekas pemimpin negara. Tunggulah sehari dua lagi, akan ada beberapa bekas pimpinan besar negara menyertai Pakatan Rakyat.

Tahniah Dato' Chua Jui Meng. Kita mengharapkan semakin ramai penyertaan dari pemimpin UMNO-BN yang sedar terhadap tuntutan perjuangan yang benar dan batil. Yang benar akan tertegak, manakala yang batil pasti akan runtuh!

Friday, July 17, 2009

SPRM WAJAR BERTANGGUNGJAWAB KEMATIAN MENGEJUT TAHANANNYA.

Setiausaha Politik YB Ean Yong Hian Wah iaitu Teo Beng Hock mati mengejut di bangunan SPRM kerana jatuh bangunan. Tidak dikenalpasti sama ada beliau menjatuhkan diri atau terjatuh atau dijatuhkan. Yang pasti, menurut jurucakap SPRM selepas sesi soal jawab dengan beliau tamat jam 3.25 pagi, beliau masih kelihatan pada jam 6.00 pagi di dalam bangunan SPRM tersebut. Mendiang dijadualkan akan melangsungkan perkahwinannya hari ini!

Memeranjatkan. Dalam keadaan SPRM sangat bernafsu dengan ADUN Pakatan Rakyat, sedangkan berbelas aduan terhadap penyelewengan pemimpin UMNO - BN disenyapkan, tiba-tiba berlaku insiden ini di dalam bangunan yang di kawal SPRM sendiri. Mungkin inilah belang sebenar hipokrasi SPRM yang garang menyergah pemimpin politik pembangkang, tetapi menikus terhadap dakwaan besar dan sahih terhadap pemimpin rejim pemerintah.

Bayangkan, dakwaan terhadap PKFZ disenyapkan begitu sahaja. Bagaimana dengan aduan rasuah beka Menteri Besar Selangor yang membina mahligai bernilai RM 24 juta. Dari mana beliau dapat duit sebanyak itu? Di mana kes bekas Menteri Besar Kedah yang ditangkap dengan video camera cuba merasuah seorang ADUN Pakatan Rakyat untuk melompat. Ke mana perginya kes berprofil tinggi melibatkan bekas-bekas Menteri yang sekarang duduk kenyang dengan duit rasuah itu?

Banyak persoalan timbul di sebalik kematian misteri ini. Pertama, adakah mangsa diugut dan diseksa sedemikian rupa sehingga tidak tertahan dengan tekanan lalu mejatuhkan diri dari bangunan? Kalau betul tekanan, SPRM wajar menjawab adakah ini bentuk soal siasat sehingga menekan mangsa sedemikian rupa yang memaksa beliau menghabisi hidupnya?

Kedua, Dalam kes seorang tahanan India yang mati di dalam tahanan lokap, habis riuh rendah seluruh negara menuding jari ke atas polis yang dituduh menyiksa mangsa sehingga mati. Adakah perbuatan yang sama berlaku ke atas mangsa ini? Menyiksa keterlaluan yang boleh menyebabkan kematian, kemudian untuk mengelakkan kes ke atas SPRM maka dicipta isu seolah-olah mangsa membunuh diri. Dengan erti kata lain, SPRM sengaja mencari helah bagi mengelakkan dirinya dipersoalkan atas siksaan yang keterlaluan.

Perkara ini bukan mustahil kerana ada aduan dari pemimpin politik yang mendakwa di pukul dan disiksa oleh pegawai penyiasat SPRM.

Ketiga, kematian mengejut ini sukar untuk membuktikan beliau membunuh diri. Ini kerana beliau tidak langsung dilihat bermasalah, dan lagi beliau akan melangsungkan perkahwinan esoknya. Soalnya kembali kepada SPRM. Apakah yang SPRM lakukan ke atas mangsa? Menolaknya jatuh atau memaksa beliau untuk jatuh? Adakah ia suatu konspirasi pembunuhan politik 'political assasination' untuk membunuh orang lain dan menjadikan mangsa sebagai kambing hitam? Konspirasi apakah pula yang bakal dirancang, melibatkan peringkat lebih tinggikah?

Keempat, ia berlaku di dalam jagaan SPRM. Soal siasat sehingga jam 3.23 pagi? Kemudian mendiang masih dilihat di dalam bangunan SPRM jam 6.00 pagi kemudian tidak lagi kelihatan. Adakah pengawal keselamatan tidak bertindak apa-apa apabila melihat ada orang yang mencurigakan berkeliaran jam 6.00 pagi di dalam sebuah bangunan? Kenapa Pegawai penyiasat SPRM tidak menyuruhnya pulang demi keselamatan beliau?

Kelima, isu ini timbul ketika keghairahan SPRM menyiasat ADUN Pakatan Rakyat di Selangor. Dan kebetulan pula bekas Menteri Besar Selangor pula dihalau keluar dari dewan. Jauhkah dari keraguan bahawa ia suatu kebetulan atau dirancang, Dr Khir Toyo dihalau keluar dewan, kemudian SPRM bertindak agresif menggeledah Pejabat DAP dan seterusnya berlaku insiden terbunuhnya mangsa. Apakah boleh kita jadikan sebagai kes membalas dendam, marah dan gelojoh atau geram terhadap seseorang atau sekumpulan? Dan mungkinkah ia suatu permulaan kepada episod panjang sebuah catatan hitam demokrasi di Malaysia, perancangan licik menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sepertimana yang berlaku di Perak? Tidak mustahilkah ia akan berulang??? Satu demi satu babak tercipta, dan insiden ini hanya permulaannya.

Hakikatnya, kesemua kebarangkalian yang mungkin benar atau tidak. Yang penting, SPRM perlu menjawab satu persatu persoalan yang timbul di benak masyarakat. Kenapa ia berlaku, dan mengapa ia berlaku di bangunan kawalan SPRM? Mengapa ia berlaku di kemuncak proses siasatan ke atas pemimpin DAP. Semua telah menuding tangan ke atas SPRM dengan seribu persoalan. SPRM perlu menjawab dan bertanggungjawab di atas semua insiden ini, Andaikata SPRM sedari awal bersih dan telus, dan bertindak betul, mungkin insiden begini tidak berlaku..

Wednesday, July 15, 2009

ALHAMDULILLAH.. PAS MENANG JUGA AKHIRNYA

keputusan rasmi PRK DUN Manek Urai, PAS menang dengan majoriti 65 undi. esok akan ada headline di akhbar dan media perdana mencatat kejayaan UMNO-BN menambah undi. Ditambah lagi dengan ayat ini suatu petanda rakyat menolak kepemimpinan YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, atau kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Dato' Seri Najib sudah mulai pulih. Bermacam ayat disedapkan bagi mengelabui mata dan telinga rakyat, betapa mesejnya yang jelas, BN masih lagi tertolak.

BN sudah kalah di 7 Pilihanraya kecil. Meskipun dengan pelbagai kemudahan digunakan, dengan tekanan dan bebanan dikenakan ke atas pembangkang (sebagai contoh, mengundi ditetapkan pada waktu kerja seperti di Bukit Gantang dan Manek Urai), akhirnya rakyat muncul juga sebagai pemenang. Sistem demokrasi yang diimani UMNO, lebih satu undi pun dikira pemenang. Dalam hal ini, PAS telah menang dan berjaya.

UMNO-BN macam pasukan kerdil seperti Malaysia yang akan menentang Manchester United hujung minggu ini. Kalah dua kosong pun dikatakan berjaya, walhal tetap kalah!

Namun begitu bedah siasat perlu dilakukan kenapa undi PAS merosot dan undi UMNO-BN meningkat mendadak. Faktor utama yang boleh dilihat ialah kerana ia diadakan pada waktu bekerja. Orang kota yang kebanyakannya anak muda payah untuk berkompromi dengan kerja, dan inilah dasar UMNO-BN yang tidak memberi peluang anak-anak muda muda yang berjiwa perubahan ini pulang ke kampung untuk mengundi. Kesannya, undi PAS merosot mendadak.

Kedua, rasa hairan bagaimana undi UMNO-BN mendadak naik. Nak kata undi protes penduduk dan pengundi tidak ada tanda-tanda mereka berbuat demikian. Kita berdepan dengan Tsunami PRU ke 12 dengan undi protes rakyat 'silent majority'. Ini boleh dikesan dengan tren anak-anak muda serta dewasa yang memberikan sokongan kepada mana-mana program Kempen Pakatan Rakyat. Sedangkan di Manek Urai berlaku sebaliknya. Rakyat berbondong-bondong memenuhi program PAS sedangkan program UMNO tidak ada sambutan. Ini tidak boleh menggambarkan sebagai undi protes rakyat kepada PAS.

PRK Bukit Gantang boleh menjadi satu sentimen yang kuat pengundi hadir beramai-ramai. Tetapi tren pengundi turun mengundi tidak sampai 80% pun dalam keadaan sentimen Perak yang kucar lanar dan simpati kepada YAB Dato' Seri Nizar Jamaluddin. Tetapi di Manek Urai jauh pula bezanya. Tiada apa-apa isu yang besar, tiada gelombang, tiada ribut - bahkan rakyat masih lagi menyimpan amarah kepada UMNO-BN, tiba-tiba pengundi boleh turun beramai-ramai. sebanyak 86% pula tu! Adakah sesuatu telah berlaku di belakang tabir, atau ada permainan ghaib menggunakan 'makhluk halus' untuk meramaikan pengundi?

Pengundi yang mengundi BN juga bertambah sebanyak 800 orang. Hairan juga. Saya bukan menuduh, tetapi tidak ada satu lonjakan dari pengundi untuk mengundi BN, mereka boleh menambah undi dan pengundi.

Bagaimana pula dengan jentera. Sebagaimana yang dilihat, jentera PAS lebih kemas berbanding jentera BN. Culaan PAS lebih tepat berbanding culaan UMNO (kecuali mereka menggunakan culaan tentera dan polis).

Adakah pengundi terkesima dengan rasuah pilihanraya? Berapa banyak wang ditaburkan kepada pengundi-pengundi secara terang-terangan (seperti tersiar gambar pengundi beratur menerima wang dalam sebuah blog).

Adakah pengundi merajuk dengan sikap pimpinan Pakatan Rakyat yang berbalah sesama sendiri, atau mereka kecewa kedua-dua Tok Guru berlaga pendapat? Kesemuanya adalah kemungkinan yang tidak boleh disisihkan.

Pelbagai kemungkinan telah berlaku. Yang pasti, undi PAS merosot, undi UMNO pula meningkat naik. Kajian dan penelitian mesti dilakukan secara telus. Jadikan Manek Urai medan muhasabah untuk Pakatan Rakyat dan PAS bangkit kembali dalam PRU ke 13 akan datang.

Tuesday, July 14, 2009

FAKTA MENARIK KENAPA PAS TUNTUT ROYALTI PETROLEUM

Saya nukilkan tulisan Dato' Husam Musa yang banyak faktanya berkaitan dengan isu tuntutan royalti Petroleum kepada kerajaan Pusat untuk tetapan bersama.

Carilah kebenaran dan pilihlah yang paling benar pada pandangan saudara daripada artikel ini. Moga ia menambah pengetahuan kita bersama...


Oleh Dato Husam Musa

Kita mempunyai fakta kerajaan pusat menafikan hak rakyat Kelantan. Mereka perlu melihat hujah-hujah yang akan diberi kerajaan negeri . Dalam isu minyak ini kita ada tiga agenda, pertamanya ialah menuntut royalti gas dan minyak di tiga kawasan.

Kawasan yang dituntut ialah kawasan bersama Thailand ? Malaysia , di bawah tuntutan bersama itu ada di bawah satu akta yang diluluskan oleh Parlimen pada 1990.

Akta tersebut menyatakan bahawa perjanjian-perjanjian yang ada di antara Malaysia dan Thailand serta mana-mana pihak sebelum ini masih lagi terpakai. Dalam konteks ini Petronas telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri. Kelantan menyatakan berhak mendapat royalti 5 peratus setahun sama ada onnshor (daratan) atau offshor (lautan).

Mengikut Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990, di mana dalam akta itu sudah ada peruntukan untuk membayar kepada mana-mana pihak yang terlibat. Dan akta tersebut tidak menafikan pembayaran royalti mana-mana pihak termasuk kepada kerajaan negeri Kelantan.

Bahkan dalam akta itu mengakui perjanjian yang dibuat sebelum ini adalah terpakai. Jadi perjanjian yang dibuat di antara kerajaan negeri Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 dan dalam dokumen perjanjian itu kuasa yang mana dahulu dimilik negeri-negeri termasuk Kelantan telah diserah kepada Petronas dengan menjanjikan pembayaran tunai kepada negeri-negeri yang telah diambil hak tadi sekiranya ada pengeluaran petroleum.

Dalam perjanjian tersebut pengeluaran di dua tempat iaitu onnshor dan offshor. Jadi offshor yang digunakan dalam perjanjian itu territoriel zone dan ekslusif zone. Jadi offshor ini tidak menghadkan jarak pantai dengan perairan Kelantan.

Jadi offshor itu meliputi jarak yang dekat dan jarak yang jauh. Jadi tidak terbatal hujah yang mengatakan bahawa Kelantan tidak berhak kepada royalty tersebut kerana jarak di antara pantai Kelantan dengan pelantar ialah jauh. Bahkan dalam praktik amalan Sabah, Terengganu dan Sarawak telaga-telaga mereka juga berada jauh dari pantai, iaitu lebih jauh daripada Kelantan.

Kalau pantai Kelantan dengan JDA ialah 150 km, manakala Sabah pula 210 km tetapi masih lagi layak menerima royalti. Jadi isu jarak dan perairan luar pantai adalah tidak berbangkit.

Kelantan juga menuntut royalti di PM301 kerana berada di perairan Kelantan, pelantar itu akan mulakan pengeluaran pada 2012, jadi kita awal-awal mengetengahkan royalti ini supaya Kelantan tidak terabai menerima bayaran royalti.

Jadi kita mengharapkan juga gas ini didaratkan PM301 di Pantai Bachok. Menteri Besar telah menghantar surat kepada Tan Sri Hassan Merican pada empat bulan lalu yang mencadangkan Petronas membangunkan zon khas di Bachok bagi projek Petrokimia.

Kita berharap Petronas boleh bertindak positif berdasarkan kepada cadangan tersebut.

Mengenai supply base ini permohonan telah dibuat oleh sebuah syarikat yang telah diluluskan kerajaan Kelantan di Kuala Besar. Jarak aktiviti JDA begitu hampir dengan Kelantan. Saya yakin banyak aktiviti yang diperlukan di sini seperti pembaikan kapal , metainance kapal dan penghantaran makanan. Jadi setakat ini hari ini Petronas belum lagi memberi kata putus.

Kita semua tahu lautan ada tiga kategori yang terlibat iaitu criteria zone ialah 12 batu ke pantai. Dan satu lagi ialah zone eklsusif (EEZ). Dan EEZ ini semuanya ini dalam istilah offshor. Jadi pembahagian kawasan offshor yang menghadkan mana-mana negeri mendapat royalti.

Sebab itu Sabah, Sarawak dan Terengganu telaga mereka berada dalam EEZ tetapi negeri terbabit juga berhak mendapat royalti.

Kemudian kita tuntut royalti di kawasan bertindih dengan Vietnam yang telah memulakan pengeluaran sejak 1997 lagi. Dan kemuncak pengeluaran pada 2004 ialah gas dan minyak. Kemudian kita minta bakal royalti di kawasan PM301 yang akan mula pengeluaran dua tahun akan datang iaitu 2011.

Tetapi kita minta awal supaya dapat ketetapan awal. Kita maklum awal mahu meminta royalti.

Isu kedua yang kita tuntut ialah pendaratan gas dari PM 301 yang begitu hampir dengan laut Kelantan juga perlu didaratkan di Kelantan untuk membolehkan menjana ekonomi bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

Ketiga kita menuntut pusat penghantaran atau dipanggil juga supply base, di mana kerajaan negeri telah menghantar surat permohonan ini dua tahun lebih tetapi sehingga kini Kementerian Kewangan belum meluluskan supply baseyang akan dibangunkan pihak swasta dan bukan kita minta kerajaan pusat bangunkan.

Kita sendiri yang hendak bangun, cuma kita minta kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Kalau kita ada suplly base kita boleh membaiki kalau ada kapal yang rosak. Penghantaran barang-barang boleh dibuat di sini.

Jadi ada peluang menjana ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan. Jadi tiga agenda ini yang kita pohon daripada kerajaan negeri dan Petronas.

Setakat yang kita dapati hujah undang-undang dan dokumen telah menyebelahi Kelantan. Sebab itulah kita cadangkan diadakan satu forum di Manek Urai, di mana Dato? Mustapa Mohamed mewakili kerajaan Malaysia dan Petronas dan saya mewakili kerajaan Kelantan.

Dan pada 3 Ogos kita akan satu lawatan bersama kepada kawasan pelantar Cekerawala dan kita telah menempah bot laut dalam yang boleh memuatkan ramai penumpang dan ramai anggota parlimen Pakatan Rakyat akan dijemput.

Saya juga hendak jemput Mustapa dan Khairy Jamaluddin bersama dalam tinjauan tersebut . Jadi kalau mereka bersungguh-sungguh hendak bersatu hendaklah mereka membayar royalti kepada kerajaan Kelantan.

Ada masa lima enam jam di atas kapal itu kita boleh bincang masalah tersebut.

Kerajaan pusat nampaknya mengakui hujah Kelantan adalah sah. Sebab itulah menyuruh Petronas menjawab. Biar pun diminta Petronas menjawab tetapi saya yakin kerajaan masih lagi mempunyai kuasa politik untuk mempengaruhi Petronas member jawapan politik.

Jadi kita berharap Petronas tidak memberi jawapan politik dan memberi jawapan yang berasaskan undang-undang dan keadilan.

Jadi tekanan politik adalah mustahak biar rakyat tahu dengan maklumat-maklumat dan mereka tidak boleh lagi menyembunyikan hak rakyat Kelantan.

Surat kepada Perdana Menteri dihantar sebulan yang lepas dan tiga bulan lepas Menteri Besar menghantar surat kepada Tan Sri Hassan Merican mencadangkan pendaratan gas daripada PM301 ke Bachok. - mks._

UMNO TINGGAL KESEORANGAN PERTAHANKAN ISA!

Satu demi satu kejutan dalam politik negara mutakhir ini. Selepas Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bersama PAS secara terang-terangan menyatakan hasrat mengadakan Himpunan MANSUH pada 1 Ogos nanti, sekonyong-konyong Parti komponen BN, Parti Gerakan menyatakan sokongan terhadap himpunan ini, bahkan akan turut sama menyertainya.

Bukankah pelik lagi hairan, dasar yang sama-sama mereka cipta dan pertahankan sejak merdeka tiba-tiba ditentang oleh rakan sekomponen. Kenyataan semalam oleh Ketua Pemuda Gerakan benar-benar mencabar keangkuhan Pemuda UMNO.

Mana dia Ketua Pemuda UMNO (bekas) yang dulu gah tunjuk keris dalam persidangannya. Mana dia kelantangan Khairy Jamaluddin (dalam satu demonstrasi kawalan polis) yang garang mempertahankan bangsa Melayu! Tak kedengaran suara-suara samseng pemuda UMNO dan PEKIDA yang berani tunjukkan kehebatan mencabar sebagaimana Pemuda Gerakan.

Sedangkan inilah gelanggang mereka menunjukkan aksi hebat mereka. Berdemo menentang dasar pemerintah, semua boleh membayangkan akibatnya. Berdepan dengan polis FRU yang lengkap dengan senjatanya, berasak melarikan diri dari gas pemedih mata dan air asid yang tidak tertahankan itu. Siapa sanggup menadah kepala dipukul dengan belantan, diterajang dan dipijak kepala oleh kasut but yang keras. Siapa berani berdepan risiko ditangkap, diheret macam binatang ataupun penjenayah besar. Risikonya seperti pemimpin parti politik pembangkang sekarang, proses perbicaraan yang panjang, dan berakhir dengan dipenajara atau didenda!

Semuanya dilakukan kerana terpaksa. Rakyat terpaksa turun atau dikerah turun ke jalan raya kerana hampir semua proses diplomasi telah gagal. UMNO-BN gagal memahami aspirasi rakyat yang mahukan kezaliman ISA dihentikan. Sudah puas seminar, wacana, debat dan pidato diadakan. Sudah jenuh memorandum dihantar - hampir ke semua pihak, dari peringkat nasional membawa ke persidangan antarabangsa.

Kini giliran rakyat menunjukkan kuasanya. Kuasa PRU ke 12 juga gagal merebahkan sebuah kuasa sombong yang bertahan dengan akta dayus ini. Jalan raya adalah pilihannya, yang terakhir dan terbaik. Ia mujarab buat menginsafkan sang penguasa kerana PPSMI pernah mengalami nasib yang sama. Andaikata rakyat tidak berhimpun di jalan raya bersama para saterawan dan budayawan, nescaya PPSMI akan terus terlaksana dan dipaksakan ke atas murid sekolah. Apakah ubatnya, kalau tidak himpunan di jalanan.

Pemuda Parti Gerakan pasti mengetahui akibat nasib mereka. Layanan mereka pasti sama seperti pemuda PAS, PKR dan DAP. Dilayan seperti binatang yang tidak punya perasaan. Pemuda Gerakan juga pasti tahu apakah nasib mereka selepas ini, sama ada ditendang keluar dari BN atau diberi surat tunjuk sebab. SAPP telah memulakan langkah dan menerima kesannya sekarang. Dihalau keluar macam binatang yuang tidak bernilai sesen pun.

Namun apa hendak dikata, keadilan dan kebenaran perlu didahulukan. Rakyat mesti diutamakan, betapapun akibatnya yang mereka hadapi. Syabas Pemuda Gerakan yang mudah melihat kebenaran terbentang didepan mata. Biarkan pemuda UMNO dengan sikap kepongahan mereka, berenang dalam lautan yang sesat! Ayuh bersama rakyat berdepan dengan politik baru yang kita sama-sama ciptakan pada 1 Ogos nanti...

Sunday, July 12, 2009

MUHYIDDIN TAWAR RASUAH TERANG-TERANGAN KEPADA PENGUNDI MANEK URAI

Semalam dalam satu wawancara bersama wartawan, Muhyiddin secara terang-terangan menawarkan untuk membina jambatan bernilai RM 7 juta sekiranya UMNO-BN berjaya menakluk DUN tersebut. Janjinya ditaburkan tatkala kempen PRK DUN Manek Urai masuk ke pusingan terakhir, iaitu fasa har-hari terakhir kempen.

Soalnya, wajarkah beliau berkata begitu? Walaupun semua manusia kenal beliaulah Timbalan Perdana Menteri, tetapi menjanjikan sesuatu secara ugutan bukankah ia di luar akhlak dan adab sebagai sebuah kerajaan. Sebagai bapa (kerajaan), membina kemudahan untuk penduduk dan rakyat adalah tanggungjawab. Dalam erti kata lain, ia menjadi suatu kewajipan. Sang bapa tidak perlu mengugut anaknya untuk memberikan duit bekalan ke sekolah sekiranya anak menuruti kehendak ayahnya. Memberi duit bekal anak-anak ke sekolah adalah wajib, dan mengabaikannya beerti sang ayah telah mengabaikan tanggungjawab asasinya kepada anak-anak.

Dalam hal ini, menjanjikan ganjaran dengan ugutan, bukankah ia suatu rasuah? Mudahnya definisi ini diungkapkan dan difahami, tetapi kemana perginya SPRM ketika ini? Dalam isu lembu korban, isu kereta tinted dan beberapa kes kecil SPRM segera bertindak, tetapi dalam isu ini SPRM membatu dan mendiamkan diri. Takutkah?

Benarlah telahan ramai, bahawa Malaysia belum bebas mengamalkan sepenuhnya udara demokrasi yang tulen. sesiapa sahaja penjawat kerajaan yang berada di hierarki tertinggi pasti merasakan tekanan dan ancaman untuk bertindak sewajarnya, kerana di atasnya bergentayangan orang-orang politik elit yang berkuasa!

Thursday, July 9, 2009

WAKIL RAKYAT PAS SAMPAI MATI PERTAHANKAN PRINSIP PERJUANGAN

Pasca PRU ke 12 kita berdepan dengan dunia politik baru yang serba mencabar. Memang sifat politik begitu, berfikir dan berlaku biasanya di luar jangkaan. Rakyat Malaysia menghadapi tidak kurang dari 6 Pilihanraya kecil selepas tsunami melanda dalam PRU ke 12.

Bermula dengan Permatang Pauh, apabila Dato' Seri Dr Wan Azizah meletakkan jawatannya bagi memberi peluang suaminya masuk ke Parlimen secara rasminya, kemudian di Kuala Terengganu, apabila Ahli Parlimen BN -UMNO (Dato' Razali) meninggal secara mengejut ketika bermain badminton di Genting Highland, kita berdepan pula dengan tiga Pilihanraya serentak - iaitu di Parlimen BukitGantang (Ahli Parlimen PAS meninggal pula iaitu Roslan Shaharum), di Batang Ai (ADUN BN meninggal dunia) dan kemudiannya di Bukit Selambau apabila ADUN KPR meletakkan jawatan kerana tekanan dan ancaman dari BN. Selepas itu Timbalan Ketua Menteri
yang mewakili DUN Penanti pula meletakkan jawatannya.

Kesemuanya kecuali di Batang Ai rakyat Malaysia menyaksikan suatu fenomena baru tersungkurnya UMNO-BN yang kecundang dalam 6 siri pilihanraya kecil. Belum pernah terjadi dalam sejarah UMNO-BN kecundang dengan mudah dalam mana-mana Pilihanraya kecil yang diadakan.

Dalam pada itu, berlaku pula suatu rampasan kuasa di Perak yang bermula akibat tindakan melompat parti. Sesiapa pun tidak akan melupakan bagaimana insiden itu bermula apabila wakil rakyat dari UMNo-BN memulakan langkah dengan menyeberang ke PKR. Dengan secara mendadak Najib membalas dengan membeli sekali gus tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat. Dua dari PKR dan satu dari DAP. Ketiga-tiganya kini menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Dalam kemelut ini, rakyat melihatdnegan penuh sangsi terhadap keutuhan pemimpin parti politik sama ada UMNO (yang melompat parti dahulu), kemudiannya PKR (dua ADUN melompat menjadi bebas) manakala seorang adun DAP pula menyertai keduanya. Di Kedah, ketika penulisan ini disarkan, seorang wakil rakyat DAP telah mengisytiharkan menjadi ADUN Bebas.

Apakah mesej yang rakyat boleh baca dari kesemua trajedi yang berlaku dalam negara hari ini? Pertama soal kepercayaan rakyat terhadap prinsip perjuangan pemimpin khususnya wakil rakyat mereka kepada perjuangan parti mereka. Rakyat melihat pemimpin politik sebegini mudah dibeli, dipujuk rayu, diugut dan diancam. Nak harapkan UMNO - BN? Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada UMNO-BN untuk menerajui negara lantaran seorang ADUNnya pernah melompat parti serta pelbagai kes rasuah yang memalitkan parti itu.

Di atas lembaran sejarah, hampir kesemua parti dominan ada rekod ADUN melompat parti kebelakangan ini. Pasca PRU ke 12 ini, Alhamdulillah hanya PAS terus teguh dengan prinsip perjuangannya dengan tiada seorang wakil rakyat pun dari PAS yang melompat parti.

Saya menulis ini bukan untuk memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat. Atas kertas, pengalaman yang panjang memang telah tertulis pemimpin PAS yang melompat parti. Sehingga pemimpin paling tinggi pun pernah keluar PAS dan masuk UMNO-BN. Memang ada sejak dahulu. Cuma saya mengambil pengalaman selepas PRU ke 12 sehingga kini pemimpin PAS masih bersih dengan perjuangan mereka.

Ketika Kelantan di ambang kejatuhan selepas PRU ke 11 sekalipun, saya masih berbangga kerana Kelantan masih bertahan dengan Kerajaan PAS sekalipun dipisahkan dengan satu kerusi dan dua undi! Bukan tidak ada usaha membeli wakil rakyat PAS, beribua bahkan berjuta ringgit ditawarkan kepada wakil rakyat PAS di Kelantan untuk melompat. Tetapi aqidah perjuangan inilah yang memisahkan antara PAS dan lain-lain parti.

Wakil rakyat PAS bertahan sehingga nafas akhir mereka. Di Bukit Gantang, di Manek Urai, dan terbaru (ada berita keuzuran ADUN Galas dari Parlimen Gua Musang, Che Hashim Sulaima, 45, yang mengidap barah usus tahap 4). Saya tidak mendoakan kematian beliau, tetapi saya mendoakan beliau mati dengan terus bertahan sebagai wakil rakyat PAS! Semoga beliau sembuh dari penyakitnya.

Begitulah yang dapat digambarkan. Mungkin pengalaman yang panjang dengan menghadapi jatuh bangun dalam politik negara mendewasakan dan menginsafkan pemimpin PAS. Mungkin dari kalangan wakil rakyat yang mudah berubah perlu disedarkan, betapa peritnya untuk memenangi sebuah kerusi DUN atau PArlimen, apatah lagi mempertahankan kemenangan tersebut. Betapa sukarnya meraih kepercayaan pengundi, justeru wajarkah kita memperjudikan masa depan kerajaan negeri dan negara? Semoga wakil-wakil rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat dapat memikirkan. Utamakan perjuangan parti, prinsip keadilan dan rakyat dari perut dan periuk nasi sendiri.

APABILA BUKAN ISLAM LEBIH MEMAHAMI ISLAM DARIPADA ORANG ISLAM

Sahabat kenalan saya Vincent Lee, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Nasional telah menyatakan pandangannya supaya rakyat menyokong perjuangan PAS kerana PAS memperjuangkan Islam. Bagi saya ia suatu keajaiban apabila seorang yang bukan Islam (walaupun menyokong PAS) tetapi dengan terus terang menyatakan sokongan kepada PAS kerana PAS memperjuangkan Islam.

Mungkin pernyataannya agak bias memandangkan beliau adalah pimpinan kelab Penyokong ataupun mungkin sesetengah orang berpersepsi beliau berpolitik dalam menyatakan sokongannya. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRK Manek Urai.

Tetapi saya percaya tidak ada pimpinan PAS yang berkempen kepada Vincent Lee supaya berkata sedemikian. Ini lahir dari hati nuraninya yang melihat PAS dari dalam dan dekat. Bahkan PAS sangat berhati-hati terhadap penyokongnya dari kalangan non-muslim, takut-takut mereka kecil hati kalau pimpinan PAS hanya bercakap soal Islam semata-mata. Selama ini pun nada pimpinan PAS sangat lunak dengan banyak bercakap soal keadilan dan isu kemanusiaan sebagai inti kempen mereka menarik sokongan bukan Islam.

Apa pun, seorang bernama Vincent Lee telah mengeluarkan kata-katanya. Bagaimana pula anda sebagai seorang Islam? Bilakah lagi masanya anda menyatakan sokongan kepada perjuangan ISlam bernama PAS di Malaysia ini? dan bagimana pula dengan rakan-rakan dari UMNO? Bilakah sampai masanya kesedaran untuk anda berubah!

Wednesday, July 8, 2009

PERJUANGAN PEJUANG BAHASA AKHIRNYA BERHASIL

Setelah bermandi keringat dan airmata, akhirnya kerajaan memutuskan untuk memnasuhkan PPSMI. Sebentar tadi tepat jam 2.35 petang, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran mengumumkan mulai tahun 2012, dasar Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris terhadap Matapelajaran Sains dan Matematik akan dimansuhkan. Siap diberikan fakta betapa gagalnya dasar ini sejak diperkenalkan tahun 2003 sehingga kini.

Akhirnya perjuangan rakyat dan pejuang bahasa berjaya. Tidak sia-sia setiap diri turun ke jalan raya menjerit dan memekik agar dunia melihat betapa salhnya dasar ini kepada rakyat khususnya mereka yang tinggal di pedalaman. Amat manisnya mata yang dihujani dengan gas dan air asid tatkala dikejar FRU dalam perarakan tersebut. Ternyata politik baru yang dicetus rakyat berjaya memadamkan ego sebuah kerajaan tunggangan UMNO-BN.

Kini tersenyum puaslah sasterawan Negara Dato' A Samad Said, giranglah Pengerusi Gerakan mansuhkan PPSMI (GMP) Dato' Hassan Ahmad serta gembiralah Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat yang tidak jemu-jemu bercakap dan memperjuangkan PPSMI. Sekalung tahniah Dewan Pemuda PAS kerana berperanan sebagai saf depan dalam memperjuangkan pemansuhan PPSMI!

Saturday, July 4, 2009

BIASISWA NASIONAL TIDAK ADIL DAN LENGKAP

Biasiswa Nasional seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dianggap tidak adil. Seperti yang diutarakan oleh Presiden PAS, biasiswa tersebut hanya mellaui sistem meritokrasi. Ini bermakna hanya mereka yang memperolehi keputusan cemerlang dalam akademik sahaja yang dibantu.

Kebiasaannya, kecemerlangan akademik ditentukan oleh kemudahan pelajar itu sendiri. Mereka yang mendapat tempat di sekolah berasrama penuh atau sekolah yang cemerlang, dibantu oleh guru-guru yang terlatih dan profesional, serta tuisyen di waktu malamnya mampu mencapai kecemerlangan akademik.

Bagaimana nasib dengan anak-anak peneroka felda, pemandu teksi, tukang gunting rambut, nelayan, petani dan sesiapa sahaja yang berjawatan rendah. Apa peluang anak-anak mereka mencapai kecemerlangan akademik? Sudah tentu mereka tiada pilihan untuk menyekolahkan anak-anak di sekolah terpilih, mendapat guru-guru yang terlatih dan profesional, serta mendapat tuisyen di waktu malamnya. Mereka dihimpit kemiskinan dan mereka tidak punya peluang yang sama. Beruntunglah mereka yang duduk di bandar dengan kemudahan yang tersedia di depan mata. Tetapi bagaimana mereka yang duduk di luar bandar dengan kemudahan asas yang tidak sempurna?

Mungkin bukan semua anak luar bandar yang tidak cemerlang. Ramai juga anak 'orang luar bandar' yang berjaya, tetapi peratusnya sangat sedikit.

Yang patut kita tanya kenapa Biasiswa Nasional tidak diberi kepada semua pelajar. Kenapa masih ada sikap berpilih-pilih dalam menentikan hak rakyat, khususnya yang miskin? Meritokrasi tidak menjamin keadilan dan hak sama rata sesama rakyat. Saya membayangkan hanya segelintir pelajar sahaja yang dibantu, sedangkan majoriti pelajar termangu dalam perjuangan meneruskan kehidupan mereka.

Seharusnya kerajaan UMNO-BN meletakkan sasaran agar semua rakyat diberi hak untuk pelajaran. Jangan biarkan ada seorang pun yang tercicir dalam pelajaran mereka. Kerajaan juga perlu menetapkan sasaran agar seramai mungkin pelajar berjaya, khususnya yang duduk di kampung dan pedalaman. Hanya cara ini dapat menyelamatkan dari gejala keciciran pelajaran dari kalangan rakyat Malaysia.

UMNO MAHU MUZAKARAH SEDANG MEREKA TIKAM DIBELAKANG

Patutlah ramai yang melenting apabila Presiden PAS dan ramai kalangan pemimpin PAS mahu duduk semeja bermuzakarah. Persepsi dan sentimen rakyat khususnya ahli PAS masih belum kendur untuk duduk semeja dengan UMNO.

sejarah panjangan UMNO memang diketahui penuh dengan noda dan dosa. Tangan mereka tidak pernah kering dari membasahi keringat dan airmata rakyat dengan penuh penderitaan. Selama 50 tahun ini kita didendangkan bahawa UMNO adalah musuh yang tidak boleh dirundingkan.

tatkala mereka terjepit ekoran kekalahan dalam PRU ke 12, tiba-tiba tangan mahu dihulurkan atas nama perpaduan. Memanglah dasar PAS tidak akan menutup pintu dari dakwah dan pensekatan politik baru yang mahu semua pihak bersemuka dan duduk semeja. Tetapi dalam situasi begini, ratapan rakyat akibat rampasan kuasa di Perak masih belum reda untuk kita kumandangkan salam perpaduan.

Terkini, UMNO-BN seperti biasa dengan kejahatan mereka menyerang Kedah dan Pulau Pinang. Gelombang propaganda mereka kini terarah ke negeri Utara. Lihatlah, dalam keadaan mereka mahu berbaik-baik dengan PAS (demi survival politikk mereka), tiba-tiba tangan kiri mereka menikam Pakatan Rakyat. Habis bercempera DAP dan KPR berbalah di Pulau Pinang, sementara DAP dimangsakan untuk menjarakkan diri dengan PAS.

Siapa lagi punya angkara kalau tidak ada api dalams ekam dalam diri UMNO-BN. mereka tidak sudah-sudah beramal dengan politik 'machiavelli' yang menghalalkan apa sahaja demi meraih keuntungan.

Patutlah dan layaklah rakyat murka kepada UMNO. Saya kira wajarlah PAS menjauhkan diri dari berbaik dengan UMNO, kerana kejahatan mereka yang tidak kunjung padam. Mulai hari ini, usahlah diharapkan persahabatan dengan UMNO sebagai dakwah, kerana mereka memang kaum yang tidak pernah mahu menerima kebenaran. Buat masa ini, tepatlah pandangan Presiden PAS, Mursyidul Am, kepimpinan Dewan Pemuda PAS serta seluruh tindakan pimpinan PAS yang menghentikan polemik muzakarah ini. UMNO hanya boleh dijenguk tatkala mereka terduduk dan melutut kepada kehendak rakyat dalam PRU ke 13 nanti!

MENCARI JODOH YANG TERBAIK

Saya tujukan posting ini adalah khusus buat pasangan ternama yang mengalami berantakan rumahtangga sehingga melibatkan sengketa dua negara. Tanpa melihat kepada siapa yang benar dalam isu ini, terdetik dalam hati saya mengapa tergamak sang isteri ini melarikan diri pulang ke pangkuan ibu bapanya di negara seberang. Mengapa tergamak pula beliau menceritakan kepada publik penderaan selama ini yang dideritainya.

Saya berpandangan isu ini kecil untuk diselesaikan. Bawalah ke mahkamah, dan dakwalah siapa sahaja yang didapati bersalah. Tanpa mengira darjat dan keturunan, kebenaran harus ditegakkan.

Cuma saya berpendapat adalah baik kiranya kita berpandukan kepada Islam. Soal jodoh perkahwinan sudah tentu dalam ketentuan Allah swt. Perkahwinan dan cerai tidak mungkin dapat diramal kecuali bagi kehidupan golongan selebriti yang berkahwin dan cerai secara suka-suka. Islam menentukan jodoh yang dicari mestilah yang sesuai dan layak, sekufu dan soleh.

Seorang bakal suami yang bakal dikahwini hendaklah diyakini seorang yang soleh, menjaga solat lima waktunya, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, menjaga kehormatan, menundukkan pandangan, serta tahu ilmu agama. Paling tidak pun mampu menjadi Imam buat isteri. Rasulullah saw tidak pernah meletakkan soal harta sebagai keutamaan dan sandaran. Yang pentingnya adalah keimanan dan kesolehan yang menjadi asas kerukunan rumahtangga.

Seorang isteri yang bakal dikahwini juga mesti diyakini seorang yang menjaga adab dan auratnya, imannya terpelihara, matanya 'tunduk' (tidak melihat maksiat) serta batasan pergaulannya juga terhad. Dia tidak sesekali bergaul dengan lelaki bukan mahramnya tanpa batasan. Inilah asas kebahagiaan rumahtangga. Islam juga tidak pernah meletakkan rupa paras dan kecantikan sebagai syarat utama wanita untuk dinikahi.

Tidak perlulah kita merujuk kepada mana-mana kes untuk dijadikan contoh. Tetapi percayalah kerukunan rumahtangga yang dibina oleh sesiapa juga pasti akan berkekalan kiranya kita memilih jodoh yang bersesuaian. Memilih jodoh dari kalangan perempuan yang sudah diketahui liar dan tidak menjaga aurat serta batasan pergaulannya merupakan suatu yang malang. Maka jadilah apa yang tidak mahu ia terjadi. Pergolakan, perceraian, serta saling tuduh menuduh, mengaibkan pasangan adalah kesan daripada soal pemilihan jodoh yang tidak sesuai. Saya tujukan nasihat ini adalah untuk diri, keluarga bahkan sesiapa sahaja yang membaca posting ini.
Semoga kita kembali kepada landasan Islam, biarlah dengan ini kita menjadi tidak ternama asalkan jodoh kita berpanjangan hingga ke akhir hayat.

KES PEMBANTU RUMAH DIDERA : RUPANYA MASIH ADA SISTEM PERHAMBAAN DI ERA MODEN!

Saya terharu mendengar dan melihat foto pembantu rumah didera. Siti Hajar, 33 adalah penganut agama Islam yang didera dan disiksa sehingga dipaksa memakan babi. Inikah bentuk kemanusiaan terhadap sesama insan?

Beliau bahkan tidak pernah menerima gaji sebanyak RM 500 sebulan sehingga dua tahun lamanya. apakah nilai kemanusiaan pada majikannya. Memang patutlah kerajaan Indonesia membekukan warganya menjadi pembantu rumah akibat dari kes seperti Siti Hajar ini. Beliau dan orang sepertinya (dulu Nirmala Bonat) wajar mendapat pembelaan selayaknya sebagai seorang hamba.

Meskipun ramai juga pembantu rumah yang curang dan khianat kepada majikannya (seperti kes pembantu rumah mendera anak majikan seperti dalam YouTube) kita tidak boleh jadikan pembantu rumah sebagai 'punching bag' atau tempat melepas geram. Saya kerap juga bertemu dengan rakan-rakan yang mengadu kejahatan pembantu rumah mereka. Ada yang lari dari rumah, ada yang menggoda suami orang, ada yang 'mengandung' hasil hubungan dengan rakan-rakan di luar, tidak kurang yang mendera anak majikan sendiri.

Namun ini bukan tiket untuk kita perlakukan apa sahaja kepada pembantu rumah. Ramai juga yang sangat setia, taat dan jujur dalam pekerjaannya. Nasihat saya, kepada teman-teman agar berbaik dan menyantuni pembantu rumah sebaiknya. Mereka juga punya hak untuk hidup dan merdeka seperti kita. Juga saranan saya agar pembantu rumah Islam biarlah bekerja di rumah majikannya yang Islam agar tidak timbul peristiwa seumpama Siti Hajar berulang.

KES PERAK : KEBENARAN SEMAKIN TERSERLAH

Kebenaran sedikit demi sedikit telah menyerlahkan dirinya. Seorang demi seorang pemimpin kerajaan menyatakan rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku di Perak.

Terkini, bekas hakim Mahkamah Rayuan NH Chan mendedahkan bahawa keputusan 6 orang hakim yang menyelebelahi Kerajaan 'haram' Zambry BN telah menyalahi perlembagaan. Menurutnya, 6 orang hakim tersebut telah melanggar Kod Etika Hakim 1994 yang kesannya boleh dipecat.

Begitulah kebenaran makin diperosok makin tertonjol manakala kebatilan semakin ia diserlah makin dibenci. Rakyat telah lama membuka mata dan mendesak agar DUN Perak dibubarkan, sementara pemimpin Pakatan Rakyat telah habis usaha dilakukan agar hak kerajaan ini dipulangkan kepada rakyat. Hanya pemimpin UMNO yang masih bebal mengekalkan rejim serba kalut ini.

Mari kita mendoakan kemelut ini akan berakhir. Kita doakan juga semoga Allah swt memberikan hidayah dan petunjuk kepada DYMM Sultan Perak agar terbuka hatinya menerima kebenaran.

Sumber : Suara Keadilan


Seramai 6 daripada 11 Hakim Mahkamah Persekutuan dikenalpasti membelakangkan peruntukan perundangan dan Perlembagaan dalam membuat keputusan pada beberapa perbicaraan termasuk yang membabitkan kemelut politik Perak, bekas Hakim Mahkamah Rayuan NH Chan mendedahkan.

6 hakim berkenaan masih berkhidmat walaupun mereka telah mencabuli Kod Etika Hakim 1994 dan boleh dipecat kerana gagal melaksanakan tanggungjawab secara berwibawa dan amanah.

Chan enggan menamakan hakim-hakim berkenaan secara terbuka tetapi mendedahkan bahawa sikap berat sebelah 'kumpulan 6' itu terserlah setelah tercetusnya krisis perlembagaan di Perak.

Kes-kes bersabit kemelut di Perak menonjolkan kecenderungan 6 Hakim Mahkamah Persekutuan itu untuk mengambil keputusan yang berpihak kepada BN walaupun penghakiman mereka jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

"Sejak berlakunya krisis politik Perak terdapat beberapa keputusan mahkamah yang tidak adil. Sekiranya krisis ini tidak berlaku kita tidak mungkin dapat membezakan 'permata dengan batu' di kalangan hakim-hakim kita," kata Chan.

"Setakat ini saya telah mengenalpasti 6 hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka berpandukan undang-undang. Saya boleh tambah jumlah ini dengan kalangan hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi," kata Chan yang dihormati kerana keberaniannya menegakkan keadilan semasa dalam perkhidmatan.

Thursday, July 2, 2009

HIMPUNAN RAKSASA BAKAL MENGGAMIT LAGI!

Kerana Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA), kita rakyat Malaysia terpaksa berhimpun lagi. Setelah dua siri kejayaan himpunan secara tersusun setiap tahun, kali ini rakyat dari segenap pelusuk negara dikerah. Dimana? Ia belum ditentukan lagi.

Yang pasti tarikh keramat 1 Ogos 2009 telah dipilih untuk himpunan bersejarah. Harap-harap janganlah nanti himpunan ini menjadi himpunan yang berdarah. Mungkin menjadi trend himpunan gergasi dan raksasa dicipta bagi menghimpunkan kekuatan luar biasa rakyat terhadap pemerintahnya.

APA KESAN HIMPUNAN RAKSASA
Tahun 2006, Himpunan BERSIH menjadi trademark kepada perubahan tsunami dalam pilihanraya umum ke 12. UMNO-BN jatuh tertiarap. SPR tidak boleh lagi mendabik dada mendakwa merekalah pelaksana undang-undang pilihanraya paling bersih. Usai PRu ke 12, enam siri Pilihanraya kecil semuanya digeruni oleh UMNO-BN-SPR. Ini kesan utama kepada kehendak dan tuntutan rakyat. Meskipun tiada perubahan drastik pada polisi dan dasar perlaksanaan Pilihanraya dalam negara, sedikit sebanyak ia membuka mata rakyat untuk bersama arus perubahan itu.

Tahun 2009, berlaku sebuah lagi kejutan himpunan. Raksasa, Gergasi dan apa sahaja yang boleh disinonimkan dengan perhimpunan luar biasa ramainya. Kali ini PPSMI menjadi mangsa ratahan amarah umat. Saya rasa, Himpunan PPSMI lebih ramai berbanding Himpunan BERSIH. Apa kesannya? Lihatlah pada kegelojohan PM ketika itu, Pak Lah. Bergegas mahu dasar PPSMI di kaji semula. Hingga sekarang kemarahan rakyat termasuk Seniman dan Sasterawan Negara belum terubat. Siapa sangka Dato' A Samad Said mampu hadir ke pentas PAS sewaktu Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Taman Melewar. Ini adalah sejarah yang tertulis dan ini kesannya kepada dasar porak peranda BN. Kiranya BN-UMNO tidak kaji semula dasar tersebut, lingkuplah hayat UMNO menjelang PRU ke 13.

HIMPUNAN ISA TEMPA SATU LAGI SEJARAH NEGARA
Himpunan kali ini berkisar tentang ISA. Akta Drakonian yang menelan beratus bahkan entah beribu rakyat tidak berdosa. Apa salahnya ISA? Salahnya kerana ia menahan orang tanpa pendakwaan (bicara). Sudahlah begitu, tidak diketahui berapa lamanya mangsa diperap di balik jeriji besi itu. Akhirnya yang dibebaskan masih tidak tahu benarkah mereka terlibat dengan dakwaan mengarut kerajaan BN. Kalau ditahan dua tahun dengan diberi notis makluman lama mana mereka harus ditahan boleh tahan juga. Tapi kalau batang tubuh sendiri pun tidak tahu berapa lama ditahan, itu sudah dikira penganiayaan.

Mana ada dalam dunia akta dan undang-undang demikian. Tahan orang kemudian pengap beberapa tahun tanpa pembelaan. Tidak ada dalam dunia demokrasi yang moden menghalalkan tindakan demikian. Hanya Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan Israel bertindak begitu.

Kalau yang dikatakan ISA adalah tempat simpanan penjenayah dan pengganas, kenapa ramai mangsa ISA yang terdiri dari kalangan ahli politik. Bukankah ini menunjukkan ISA adalah alat untuk melindungi kepentingan politik sang tirani yang sedang berkuasa. Tian Chua, Ezam Mohd Nor, Lokman Nor Adam, Dr Badrul Amin, Shaari Sungip adalah nama besar dalam pentas politik yang pernah menjadi tahanan ISA.

Himpunan kali ini saya jangkakan agak keras tentangannya. Ya, kerana kita berdepan dengan dasar kerajaan. Kadang-kadang saya hairan kenapa kerajaan berdegil sangat meneruskan dasar tidak popular ini. Sedangkan kalau ISA dibubarkan atau dihapuskan, sudah pasti kerajaan UMNO-BN akan disayangi rakyat. GMI pun pasti akan dibubarkan. Mungkin Pengerusinya pun akan sokong UMNO. Tetapi akal mereka tidak panjang untuk berfikir demikian. Kesannya bertahun rakyat bermusuh dengan kerajaan UMNO-BN. Selagi mereka kekalkan dasar itulah, selagi itu penentangan rakyat berterusan.

Bersedialah kita sekali lagi berdepan dengan hujan asid dan gas pemedih mata, demi mencipta sebuah sejarah. Bersedia jugalah anak dan isteri kemungkinan terpisah dari insan tersayang - diseret dan ditangkap tanpa belas kasihan. Nantikan kemunculan sejarah baru negara pada bulan Ogos kerana 1 Ogos akan dikenang sebagai tarikh pembebasan negara dari ISA!