Monday, March 30, 2009
APAKAH RAKYAT PERAK MENDERHAKA
Ramai mengulas kalau ini dijadikan ukuran, maka pusingan pertama lagi Pakatan Rakyat telah memenangi pertarungan ini. Entah dari mana datangnya, melaut dan membukit rakyat berpusu-pusu mengiringi calon PAS bagi Pakatan Rakyat, Nizar Jamaluddin. Tidak diupah dan tanpa ada imbuhan apa-apa, ramai yang hadir dari negeri Perak bahkan dari luar Perak membanjiri hari bersejarah ini. Separuh darinya akan berkampung selama sembilan hari di pelusuk kawasan Bukit Gantang, juga tanpa apa-apa imbuhan dan upah. Mereka hadir sebagai sukarelawan.
Ini yang payah hendak ditiru oleh UMNO. Petugas UMNO didatangkan dengan bas dan upah. Mungkin juga ugutan. Manakala petugas mereka menunggu imbuhan untuk bekerja sepanjang sembilan hari. Kalau tidak sampai peruntukan kepada mereka, maka pakat-pakat tutuplah bilik gerakan.
Itu cerita lain. Yang menjadi fokus saya ialah berkenaan Nizar Jamaluddin. UMNO-BN telah 'cop' nya sebagai penderhaka. Habis dijaja cerita bahawa Nizar dan PAS telah derhaka kepada Sultan. Puncanya kerana ada istilah 'sembah derhaka' tidak mahu meletakkan jawatan sebagai MB. Tiba-tiba kemudian sultan pula melantik Zambry Kadir sebagai MB baru tanpa ada perletakan jawatan MB oleh Nizar. Maka selepas itu imej Nizar diburukkan sebagai penderhaka raja.
Peristiwa demonstrasi di Kuala Kangsar menambahkan lagi kegawatan politik Perak. Beberapa minggu disiarkan dalam Berita Utama para demontstran yang berbaring di jalan raya, yang membaling batu ke kereta Raja Muda, dan yang menghalang kereta rombongan Sultan Perak. PAS dianggap petualang dan penderhaka yang layak dihukum bunuh lagaknya.
Kemudian dilagakan PAS sebagai kuda tunggangan DAP. Nizar sebagai alat suruhan DAP semata-mata. sanggup bermusuh dengan istana semata-mata mahu memuaskan kehendak DAP. Imej hitam ini cuba disembur pada PAS - sebagai khianati Melayu, menderhaka raja, mengikut telunjuk Cina dan DAP, serta menjual prinsip perjuangan.
Hingga kini, modal utama BN ialah PAS sebagai penderhaka dan ikut telunjuk DAP. PAS dikatakan sanggup mencalonkan Nizar semata-mata mahu mengikut kemahuan DAP. Benarkah begitu? Apakah PAS bodoh sangat mahu ikut telunjuk DAP sahaja tanpa membuat kajian terlebih dahulu. Saya difahamkan PAS telah membuat tinjauan kepada petugas pengundi. Hasilnya, memang Nizar mendapat pencalonan tertinggi dan diterima oleh rakyat!
Soalnya lagi, dalam ramai-ramai rakyat, pengundi, dan petugas PAS di Bukit Gantang, adakah mereka dianggap menderhaka? Kerana sanggup mereka turun beramai-ramai menyokong Nizar sebagai calon (Nizar dianggap penderhaka Sultan), bolehkah kita menyatakan rakyat Perak atau seluruh negara yang hadir sebagai penderhaka?
Kehadiran penyokong BN tidak sampai separuh dari keseluruhan penyokong PAS di penamaan calon. Adakah jumlah kecil ini dianggap setia kepada sultan? Merekakah yang sangat memperjuangkan Melayu, cakna rakyat, serta memperjuangkan istitusi istana? Kenapa kehadiran sangat sedikit. Majoriti rakyat bersuara secara senyap membelah di pihak mereka atau di pihak Pakatan Rakyat?
Di sebelah PAS, kehadiran tidak kira bangsa dan kaum. Sangat mengharukan PAS boleh diterima pada hari ini oleh semua lapisan kaum. Sedangkan PAS terang-terangan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya. Pelbagai kaum ini- Cina dan India tidak silu dan kekok menyokong perjuangan PAS untuk menegakkan Islam.
Ini membuktikan secara tersiratnya, rakyat sebenarnya menganggap Nizar bukanlah penderhaka. Mereka menyebelahi Nizar kerana bersimpati dengan ketidakadilan yang berlaku ke atas kerajaan negeri beliau. Mereka bukan menentang raja, cuma mahu menyatakan bahawa BN-UMNO yang mempergunakan istitusi istana untuk kepentingan diri mereka. Mereka mahu menghukumi UMNO-BN yang angkuh dan merampas kerajaan negeri secara tidak sah. Mereka juga menyokong Nizar, PAS dan Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat, Nizar dan PAS sangat dekat dengan rakyat. Pakatan Rakyat hidup dengan rakyat, bersuara bagi pihak rakyat dan berjuang untuk kepentingan rakyat. Rakyat yang hadir tidak meminta upah. Mereka hadir dengan sukarela untuk menyokong dan membantu.
Ini mesej tersiratnya dalam proses penamaan calon hari ini. Sepanjang 9 hari kempen nanti lihatlah secara realiti apakah kehendak rakyat sebenarnya. Pondok panas mana yang paling banyak dikunjungi, Bilik gerakan manakah yang paling panas, dan petugas serat penyokong manakah yang paling ramai. Mungkin bukan ukuran yang paling tepat untuk diberikan, kerana ukurannya adalah pengundi. Sekurang-kurangnya, kalau UMNO mahu melihat 'mood' rakyat lihatlah pada gerak kerja kempen kedua-dua parti utama yang bertanding.
Kita tidak tahu apakah strategi lain yang dimainkan oleh UMNO-BN. Adakah sama dengan Ijok melalui magik undi, pengundi hantu atau lain-lain. Sekiranya ini dijalankan ternyata benar UMNO sebuah parti yang tidak berubah dan akan berubah. Meskipun nakhodanya bersilih ganti, dasar rakus dan pekak padak pada kehendak rakyat tidak mahu dipenuhi. Samalah ia seperti 50 tahun kewujudannya, dan dengan mana-mana pemimpinnya sekalipun.
Tetapi kalau benar UMNO mahu berubah, lihatlah pada mood rakyat. Kemablikan hak rakyat, terutamanya di negeri Perak, dan turun padanglah sebagai menyelami kehidupan rakyat. Berubahlah, kalau nak berjaya!
Sunday, March 29, 2009
LAYAKKAH UMNO MEMIMPIN RAKYAT?
Bagi PAS, kita melihat senario itu tatkala menjelang masa pengundian di Pilihanraya. Saat yang kritis menjelang hari pengundian memang menjelmakan tekanan kepada petugas. Mereka berkejaran mencari pengundi meraih simpati. Tujuannya supaya menang dalam Pilihanraya. Biar sanggup berlapar, kehabisan wang dan tidak tidur malam, asalkan sahaja calon pilihanraya menang dalam pertarungan nanti.
Namun Pilihanraya jauh bezanya dengan Muktamar atau Perhimpunan Agung UMNO. Pilihanraya adalah pertarungan antara dua parti yang sangat jauh bezanya, zahir dan batin. PAS sebagai Parti Islam manakala UMNO sebagai parti nasionalis Melayu. ataupun Pakatan Rakyat sebagai gabungan parti yang bertunjangkan keadilan, dan kesejahteraan rakyat menentang BN yang berteraskan perkauman dan kepentingan sendiri.
PAS bersebut untuk menang supaya dapat kuasa atau kalau tidak kuasa mutlak pun sebagai wakil yang boleh berkhidmat untuk rakyat. Bagi PAS, politik adalah medan dakwah manakala Pilihanraya adalah medan jihad. Jihad konteks akhir zaman seperti sekarang, pilihanraya sebagai salah satu jalannya di negara demokrasi dengan tujuan untuk kembalikan kedaulatan Islam. Calon PAS adalah dakwah kepada masyarakat. Siang malam bertandang ziarah ke rumah orang. Berceramah dan kuliah, memberi sumbangan fakir miskin, menjenguk rakyat dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan buat mendakwah umat. Menang calon sebagai Wakil Rakyat menjadi dakwah buat beliau ketika di sidang DUN atau Parlimen. Di Dewan itulah wakil rakyat PAS akan berhujah dan bertazkirah menerangkan Islam kepada wakil-wakil rakyat yang lain. Selama bertahun Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen membacakan ayat Quran kepada wakil rakyat.
Sebab itu petugas PAS sanggup bergolok bergadai. Tidak mendapat upah apa-apa memanjat pokok kelapa pasang bendera dan poster. Ramai juga yang bersengkang mata tanpa apa-apa imbuhan dijanjikan. Bahkan petugas dan pimpinan PAS yang banyak berbelanja.
PAS sanggup berkempen pilihanraya untuk menang. Tidak apa menebalkan pipi bertemu rumah ke rumah berkempen untuk memenangkan calon. Kadang-kadang petugas sendiri tidak mengenali calon. Puncanya sebab PAS mengerti matlamat dan tujuannya, untuk Islam!
Dalam Muktamar PAS, belum ada seorang pimpinan di mana-mana peringkat pun berkempen mahu jadi calon atau pemimpin. Kalau ada berlaku pun itu hanyalah kes tertentu atau yang bersifat individu. Di Peringkat Pusat, negeri, kawasan dan cawangan, saya belum pernah bertemu pemimpin PAS yang sanggup menjual diri mencalonkan diri sendiri atau berkempen dengan menggunakan ejen untuk memenangi pemilihan Muktamar.
Mungkin sebabnya PAS tidak ada kuasa. Belum ada ujian kemenangan sebagai kerajaan yang sebabkan ahli dan pemimpin tidak 'kebulok' untuk jadi pemimpin. Masing-masing dengan sikap 'tawadduk' tidak beriya-iya berkempen mahukan jawatan. Di sesetengah tempat ada pimpinan masing-masing menolak jawatan yang ditawarkan. Sanggup melobi pula nak naikkan orang lain, asalkan jangan diri dicalonkan.
Berbeza dengan UMNO dalam Pemilihan Agungnya. Di mana-mana peringkat, apabila tahun itu berlaku pertandingan, maka berlumba-lumbalah mereka melobi dan berkempen. Pasang ejen dan memberi upah untuk turun ke bahagian dan cawangan. Semata-mata supaya diri secalonkan dan dimenangkan. Puncanya kerana satu, kuasa! Azimat 'kuasa' UMNO sanggup bercekau bergaduh. Biar putus sahabat, saudara asalkan menjadi pemenang.
Saya tidak nampak ada keikhlasan perjuangan dalam wadah UMNO. Agaknya kalaulah menang Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Wanita dan mana-mana jawatan dalam bahagian tanpa dijanjikan apa-apa imbuhan di belakangnya, siapa dari kalangan UMNO yang mahu bertanding? Kalaulah menjadi Ketua Bahagian tidak ada apa-apa jawatan, atau kuasa macam Ketua Kampung, JKKK, atau Pengerusi mana-mana GLC, atau kuasa meluluskan projek di daerah Bahagiannya, siapalah yang sudi memegang jawatan Ketua Bahagian.
Di peringkat MT habuan lebih ganas. Dijanjikan Menteri Kabinet! Tidak pun Menteri Besar, atau mana-mana syarikat gergasi negara. Sebab itulah pemimpin UMNO boleh jadikan Persidangannya macam pasar lelongan. Mereka tidak hirau dan segan silu lagi ada kritikan dan sindiran di mana-mana. Tidak peduli ada mata yang melihat kemungkaran mereka. Kerana janjinya Menteri mereka sanggup untuk melobi diri menang dalam pemilihan. Walaupun sebenarnya ramai yang tidak layak pun menjadi pemimpin.
Apabila tersungkur, ramai dari kalangan mereka terus hilang membawa diri. Kerana sudah tahu selepas ini pasti tidak akan dipedulikan lagi. Tiada lagi jawatan Menteri, Menteri Besar, Ahli Parlimen, ADUN dan lain-lain lagi. Maka jadilah daun teratai yang hanyut di tengah tasik. Sampai masanya nanti mereka tenggalam, kalau tidak pun membuat 'come back'.
Dalam PAS, jawatan bukan syarat untuk bekerja. Ramai juga yang telah lepaskan jawatan semakin ligat bekerja. Bahkan keikhlasan mereka semakin tinggi dengan aktiviti yang rancak tanpa apa-apa jawatan. Rata-rata ahli dan pimpinan PAS hidup dalam semangat ukhwah yang cintakan persaudaraan lebih dari perpecahan. Inilah beza besar PAS dengan UMNO.
Tatkala UMNO berperang dan kalut dalam meilih pemimpin melalui lobi dan berkempen sebegitu, masih adakah lagi niat dan harat hati mereka bekerja ikhlas untuk rakyat? Masihkah ada tersimpan dalam sanubari bahawa amanah sebagai pemimpin negara (Menteri dan lain-lain) adalah sebagai ujian dari Allah dan wajib ditunaikan sebaik mungkin. Wajarkah mereka diberikan harapan buat memimpin umat dalam keadaan parti dan diri mereka bermain dengan politik wang. Ternyata pemimpin UMNO hanya bermain wayang memanis mulut menjanjikan perjuangan buat rakyat, walhal mereka mengutamakan diri sendiri. Dan sebagai bukti bahawa mereka sanggup bermusuh dengan sesiapa sahaja termasuk rakyat, kerana bersama sahabat dalam separti pun mereka sanggup bertelagah dan memijak kepala satu sama lain. Inikah wajah mereka yang memimpin negara kita sekarang?
YANG RASUAH TETAP MENANG DALAM UMNO.
Dalam banyak andaian dan analisa itu, saya tertarik oleh seorang sahabat yang menyuarakan pandangan, benarlah UMNO perasuah paling besar. Lihatlah pada keputusan kepimpinan Pemuda UMNO. Khairy mendapat kedudukan tertinggi, Khir Toyo nombor dua manakala Mukhriz tercorot. Sebelum itu, yang dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO dan didapati bersalah ialah Khairy. Khairy dah disahkan bersalah cuma tidak dihukumkan sahaja. Dan beliau kebetulan (atau memang rasuah?) menang. Khir Toyo juga dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO tetapi terlepas dari sebarang hukuman. Beliau kebetulan di posisi kedua. Mukhriz tiada apa-apa kesalahan yang dibangkitkan dan akhirnya beliau kecundang. Bukankah ia suatu petunjuk bahawa perasuah paling besar pasti akan menang manakala yang bersih akan bungkus.
Tertarik juga dengan keputusan beberapa pimpinan MT UMNO. Antaranya Dato' Shahrir Samad. beliau kalah. Dalam rekod yang diketahui tidak mengambil sebarang ejen pun untuk melobi dan melakukan rasuah. Beliau kalah dan mahu meletakkan jawatan. Apakah mesej yang mahu disampaikan oleh perwakilan kepada rakyat seluruhnya? Bahawa sang perasuah pasti akan menang, bergantung kepada sejauh mana banyaknya jumlah yang diberikan!
DEBARAN PENAMAAN CALON
Selepas itu akan bergeraklah kedua-dua parti berkempen siang dan malam selama 9 hari yang penentuannya pada 7 April 2009. PAS mempertaruhkan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai calonnya manakala UMNO mencalonkan Suffian Ismail.
Inilah ujian dan medan pertama bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO. Rakyat teringin juga melihat trend atau gaya kepimpinan beliau sebagai Pengarah Pilihanraya bagi ketiga-tiga kawasan ini. Mengikut agihan UMNO, Naib-Naib Presiden akan mengetuai ketiga-tiga kawasan PRK nanti. Zahid Hamidi akan mengetuai jentera di Bukit Gantang, Hishamuddin Tun Hussein di Bukit Selambau manakala Shafie Abdal di Batang Ai. Dalam ketiga-tiga medan, Bukit Gantang dikira sebagai medan tempur paling sengit kerana itulah maruah UMNO terletak. UMNO dan PAS akan diuji masing-masing sama ada rakyat di Perak menerima atau tidak kehadiran mereka selaku kerajaan (yang sah dan haram).
Semoga diberikan ketabahan buat Nizar Jamaluddin. Di atas bahu beliau tersandar seribu harapan rakyat yang dahagakan perubahan dan menidakkan Najib Tun Razak selaku PM. Mungkin rakyat tidak dapat menghalang kemaraan atau transisi Pak Lah ke Najib selaku PM, tetapi sekurang-kurangnya sebagai moral untuk menaikkan semangat perjuangan rakyat dan merendahkan maruah Najib. Inilah jalan yang terakhir mungkin sebelum tiba harinya 2hb April yang mana menurut maklumatnya Pak Lah akan berundur dan mempersembahkan kepada YDP Agong untuk menabalkan Najib selaku PM. Apalagi yang boleh diharapkan melainkan memenangi Bukit Gantang, Bukit selambau dan Batang Ai sebagai modal kita menghadapi kerakusan Najib nanti!
Thursday, March 26, 2009
KEPUTUSAN PEMILIHAN SAYAP UMNO MENGEJUTKAN
Bagi Pemuda, Mukhriz Mahathir mulanya dianggap favourite kerana beliaulah satu-satunya calon yang bebas dari sebarang pertuduhan. Khairy baru dibebaskan oleh Lembaga Disiplinnya manakala Khir Toyo sedang berperang dengan tuduhan rasuah beliau di Selangor. Dalam kuatnya kempen ayahnya, Tun Mahathir Mohamad pun belum mampu memberi impak kepada perwakilan untuk mengundi anaknya. Bayangkanlah lepas ini bagaimana ngauman Mahathir semakin menjadi-jadi. Naibnya pula Datuk Razali Ibrahim, ahli Parlimen Muar. Beliau dianggap tokoh baru UMNO. Tidak dipastikan berapa duit perwakilan dapat hasil kemenangan kedua-dua calon ini.
Untuk Wanita, ramai menganggap Rafidah sudah lepasi umurnya untuk menerajui sayap kiri UMNO. Sudah berpenggal Rafidah sebagai Ketua, sudah tiba masanya diserahkan kepada Naibnya, Shahrizat. Shahrizat menang mudah. Naibnya adalah Datuk Kamilia Ibrahim yang menang tanpa bertanding sebelum Persidangan lagi.
Untuk Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menang mengalahkan calon-calon lainnya. Tidak dapat dipastikan bagaimana bentuk pertandingan dalam Puteri, kerana saya sendiri bukan ahli UMNO. Yang pasti berlaku perebutan dalam kepimpinan dan pastinya akan berlaku perpecahan hasil kemenangan-kekalahan ini.
Umum melihat kemenangan ini adalah proksi Pak Lah. Apakah mesej tersembunyi perwakilan Pemuda, Puteri dan Wanita terhadap Najib? Mungkinkah selepas ini Muhyiddin bakal tersungkur mengikut jejak langkah Mukhriz dan Rafidah. Sama-sama kita nantikan keputusan penuh parti yang akan karam ini bersidang penuh esok.
Keputusan Pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2009.
Ketua
Datuk Seri Shahrizat Abdil Jalil (507 undi)
Naib ketua
Datuk Kamilia Ibrahim (tanpa bertanding)
Keputusan bagi Pemuda UMNO.
Ketua
Khairy Jamaluddin Abu Bakar (304 undi)
Naib ketua
Datuk Razali Ibrahim (417 undi)
Keputusan bagi Puteri UMNO.
Ketua
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (245 undi)
Naib ketua
Shahanim Mohamad Yusoff (353 undi)
Wednesday, March 25, 2009
MAJLIS PERHIMPUNAN PARA 'RETORIS' SUDAH BERLANGSUNG
Umum mengetahui saat beliau untuk menaiki takhta Perdana Menteri sudah tiba. Hanya beberapa hari dan menunggu detik simbolik sahaja untuk pengisytiharannya. Belum apa-apa lagi beliau sudah menjelmakan tindakan-tindakan ekstrim beliau terhadap pembangkang. Penduduk kampung di Kedah sudah mula merasa penangan gas bom pemedih mata dan semburan asid FRU yang dulu hanya boleh dirasai dalam siri demonstrasi di Kuala Lumpur.
Ucapan beliau dalam majlis perasmian sayap-sayap parti (Pemuda, Wanita dan Puteri) nampak bersemangat dan penuh nasihat. Hakikatnya orang yang memberi nasihat dan lantang bersemangat itu jauh beza dari 'fizikal' dan penampilan dirinya. Antara yang dilantangkan ialah perlunya UMNO memilih pemimpin yang bersih dari sebarang dosa rasuah. Siap ada lalakan supaya jangan memilih pemimpin yang terjerat oleh dosa rasuah. Ulasan saya: sejak bila UMNO bersih dari rasuah? Mana pemimpin yang sedang bertanding sekarang tidak terlepas dari politik wang. saya cabarnya, supaya kemukakan bukti mana-mana pemimpin UMNO yang naik ke jawtan MT tanpa sebarang pergantungan kepada politik wang.
Kemudian beliau mengajak perwakilan memilih pemimpin yang kompeten. Ulasan saya : adakah beliau sendiri kompeten dan berintegriti. Maruah dan kredibiliti beliau sendiri sedang diperkatang orang, bukan setakat rakyat Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa. Adakah beliau layak menerajui negara dalam keadaan imej beliau yang bersepah busuknya.
Sempat pula beliau menyeru UMNO supaya kembali kepada Islam. Soalnya, apakah bezanya parti UMNO dengan parti Islam? Apakah dasar UMNO? slogan UMNO dulu, kini dan selamanya tetap terpahat dalam diri mereka. Sejak penubuhannya, UMNO tetap nasionalis. Sekarang ditambah dengan sekularis. Kedua-dua idealisme jauh bezanya dengan Islam. Lihat pula dasar UMNO. Siapa yang mereka perjuangkan. Umat Islam atau hanya umat Melayu? Lihat pula perlembagaannya, dan siapa pemimpin di depan dan belakangnya. Wajarkah mereka bercakap mereka perjuangkan ISlam, sedangkan terang-terangan mereka menentang Islam. Terlalu berjela untuk dijelaskan apakah maksud penentangan Islam ada pada UMNO.
Najib dengan berapi-api dengan menjanjikan perubahan pada pucuk pimpinannya. Beliau mahukan saf yang rapat dan bekerja dengan beliau. Kali ini beliau bercakap benar. benar dalam kata-kata dan tindakan. Belum sempat menaiki takhta beliau telah kotakan janji. Habis berserabut negeri Perak dikerjakannya. hampir semua institusi negara termasuk Istana diperkudakan. Betullah janji beliau untuk melakukan perubahan dan Perak mangsa pertama perubahan radikal beliau. Kemudian dibalunnya pengundi dan penduduk kampung Bukit Selambau dengan gas pemedih mata dan air asid. Dosa mereka hanya kerana hadir mendengar ceramah. Perubahan lain ialah dengan menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan selama 3 bulan. Ini baru perubahan ekstrim. Baik untuk UMNO, Tidak baik untuk pembangkang dan rakyat seluruhnya.
Banyak lagi inti ucapan beliau yang bersemangat diselang seli dengan tepukan gemuruh para pengampu. Sesekali saya tergelak sedikit melihat gaya perbahasannya yang nampak macam bersahaja. Diucapkan sebegitu rupa seakan-akan beliau tidak pernah berdosa kepada mana-mana pihak. Seolah-olahnya yang perlu berubah adalah rakyat dibawahnya dan beliau tidak perlu lakukan apa-apa perubahan pada dirinya. Yang disalahkan adalah pembangkan dan pengkritik manakala beliau bebas dari sebarang kesalahan.
Inilah UMNO yang retorik. Cakap tak serupa bikin atau bikin tak serupa cakap. Ibarat ketam yang menyalahkan anaknya berjalan senget, sedangkan dia sendiri berjalan tidak betul. Dan retorika ini berlangsung sejak sekian lamanya. Hari ini mereka bersidang kembali, dengan hamburan ayat-ayat retorik dan tidak jejak bumi nyata. Selamat bersidang Para retoris!
Tuesday, March 24, 2009
ERA KEGELAPAN DEMOKRASI MALAYSIA BARU BERMULA
Harakah dan Berita Keadilan menjadi mangsa paling baru. Digantung selama 3 bulan, maka terkial-kiallah Lembaga Pengurusan mencari rezeki menggaji pekerjanya. 3 bulan tanpa notis awal boleh dikira suatu kezaliman. Pulak tu tiada alasan kukuh penggantungan. Hanya kerana kedua-dua lidah rasmi parti PKR dan PAS di jual di tempat awam, maka gantung permit sebagai jalan keluar.
Semua orang tahu kedua-dua akhbar parti itu menjadi hak milik parti masing-masing. Harakah diterbitkan buat menyalurkan maklumat dan pandangan parti. Begitu juga dengan Suara Keadilan. Rakyat yang cerdik akan menilai sesuatu berita dan penyampaian maklumat. Kalaupun dijual di tempat terbuka, andainya rakyat menolak segala pandangan Harakah, mereka pasti tidak akan membeli. Jualan Harakah akan merosot, lama kelamaan ia akan mati. mengapa perlu KDN bertindak di luar batasan demokrasi (dalam hal kebebasan bersuara). Kalau ada unsur fitnah di dalam rencananya, samanlah. Bukankah berpuluh kali kes saman akhbar telah difailkan dimahkamah. Ada yang menang, ada kalanya Harakah kalah. Itu biasa. Akhbar bertanggungjawab di atas segala maklumat yang disebarkan.
UMNo-BN tidak pula menerbitkan akhbar rasmi mereka. Mungkin mereka tahu, kalau mereka terbitkan dan jual di tempat awam, berapa ramai yang membeli dan membaca. Lalu digunakanlah akhbar rasmi milik kerajaan. Di milik partikan harta kerajaan sesuka hati. Media arus perdana seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, New Straits Times dan lain-lain sudah diketahui sebagai ejen UMNO-BN. Semua yang baik pada BN saja dipaparkan di media tersebut sepanjang masa. Sebaliknya, sedikit yang buruk kepada Pakatan Rakyat sudah menjadi isu sensasi berminggu lamanya! Sampai Liputan Perhimpunan Agung UMNO menjadi headline dan tajuk besar akhbar milik kerajaan. Seolah-olah semua rakyat adalah UMNO dan mahukan UMNO.
Dalam keadaan begini, tidak pula KDN bertindak. Pernahkah KDN keluarkan amaran serta menggantung akhbar-akhbar ini yang jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi? Tidak pernah terlintas KDN bertindak tegas ke atas mana-mana akhbar kerajaan ini.
Gambaran rakyat bahawa Najib akan bertindak lebih liar dari mentornya terbukti sudah. Dimulakan dengan rampasan kerajaan negeri Perak. Kemudian Harakah dan suara Keadilan. Ceramah di Kedah dengarnya ditembak dengan gas pemedih mata. Habis bercempera rakyat kampung yang mahu dengar ceramah dibom asap. Apa dosa mereka sehingga dianggap hadir ke program jenayah lagaknya. Konsert Jom heboh ada diperlakukan demikian? Dato' Seri Anwar Ibrahim terkenalah juga buah tangan jentera Najib. Apa hendak dikatakan.
Selepas ini bersedialah rakyat seluruhnya. Para blogger antara yang tersenarai utama diambil tindakan. Raja Petra perlu diselamatkan, takut-takut diculik dan dibom dalam senyap. para pemimpin pembangkang nantikan penangan dendam kesumat Najib. Dan bersedialah sepanjang masa dengan apa saja tindakan luar perikemanusiaan, kerana era kegelapan demokrasi telah bermula!
NIZAR JAMALUDDIN MEMBAWA AMANAH RAKYAT PERAK DAN MALAYSIA SELURUHNYA
Pemilihan Nizar tidaklah sangat mengejutkan sangat memandangkan beliau memang menduduki tempat utama senarai pencalonan. Selainnya, Ust Idris Ahmad dan Haji Mohamad Sabu juga menjadi taruhan. Mungkin atas kehendak orang tempatan yang mahukan Nizar sebagai calon.
Atas kertas, banyak kelebihan pada YAB DS Nizar. Beliau menjadi 'hangat' ekoran keberanian beliau mempertahankan jawatannya sehinggalah dirampas kuasa kerajaannya. Ramai dari khalayak warga Perak khususnya orang Tionghua dan India menaruh simpati terhadapnya. Bahkan, orang Melayu turut memberikan simpati atas pengorbanan beliau naik turun mahkamah mempertahankan kerajaannya. Ramai yang meminati ucapan beliau. Lagak beliau yang santai, mesra dan mudah didekati menambah popularitinya. Terlebih lagi beliau amat fasih berbahasa Mandarin dan Inggeris. Saat ini, ramai yang menyokong beliau. Beliau sangat dikenali di mana-mana.
Itu di atas kertas. Namun perlu diingatkan era Najib selaku PM keadaan boleh berubah. Rekod atas kertas tidak boleh disamakan dengan segala perencanaan busuk UMNO-BN. Dengan mengerahkan segala jentera termasuk SPR, Polis, Mahkamah, dan lain-lain jabatan kerajaan keputusan mampu diubahnya. Jangan kita lupakan tragedi PRK di Ijok dua tahun lepas. UMNO-BN ternyata mampu membuat 'magik' dengan menukar dan membeli kertas undi. Juga UMNO berkebolehan mengimport pengundi luar untuk mengundi. Tidak kurang taktik lapuk dengan membawa bas berbondong-bondong untuk mengundi. Ataupun mengerah polis dan tentera untuk mengundi. Ini semua adalah sejarah dan fakta kejahatan UMNO yang tidak boleh kita lupakan.
Apapun pemilihan Nizar telah membawa seribu harapan beribu rakyat negeri Perak. Pengundi Bukit Gantang akan menguji sama ada Pakatan Rakyat diterima atau sebaliknya. Adakah rampasan kuasa kerajaan UMNO direstui oleh rakyat atau sebaliknya. Dan adakah rakyat menerima Najib sebagai Perdana Menteri ke 6.
Kepada Nizar juga kita sandarkan harapan. Sesungguhnya gelombang kebangkitan rakyat telah bermula di Kuala Kangsar. Dan pastinya Bukit Gantang adalah pencetusnya. Sama-sama kita bekerja keras bagi menjana kemenangan rakyat seluruhnya, yang dimulakan di Bukit Gantang.
Monday, March 23, 2009
KALAULAH NAJIB PUNYA MARUAH..
Kes Altantuya mendapat liputan yang meluas. Selepas akhbar Perancis, kini Time's Magazines (berpangkalan di UK), dan beberapa akhbar lain turut memuat kisah pembunuhan warga Mongolia itu. Entah apa dosanya, imej Malaysia menjadi busuk di peringkat antarabangsa. Dan yang menjadi mangsa adalah rakyat Malaysia.
Kita faham kalau imej Malaysia dibusukkan oleh mereka yang dengki terhadap kebangkitan Islam. Sepertimana imej negara merdeka Palestin yang dijajah, habis ditarahnya. Mereka menuduh Palestin dan Hamas sebagai pengganas. Memburukkan imej terhadap dunia Islam berlaku dimana-mana seperti Pakistan, Iraq, Iran, Arab Saudi dan lain-lain.
Tetapi menjadi malang ialah apabila rakyat Malaysia dan negara ini sendiri diburukkan oleh imej jahat, kejam dan keji. Ianya dilakukan oleh 'orang-orang' bakal Perdana Menteri Malaysia ke enam yang akan mengangkat sumpah beberapa hari lagi. Dunia antarabangsa tidak sudah-sudah mempersoalkan apakah keadilan di Malaysia masih tertegak dan apakah nasib yang menimpa keluarga Sharibuu Setev. Adakah beliau terbela dengan keputusan mahkamah Malaysia nanti.
Suatu ketika rakyat Malaysia dihormati. Bangsa Malaysia dan Melayu sebagai peribuminya sangat dikagumi sebagai bangsa yang sangat bersopan santun, lemah lembut, penuh beradat, dan berbudi bahasa. Mana-mana pelancong yang bertandang ke Malaysia pasti berpuashati terhadap layanan masyarakat setempat.
Namun kini suasanya berubah. Dengan kes berprofil tinggi seperti Altantuya ini, pelancong dimomokkan dengan keadaan keselamatan di Malaysia. Apakah Malaysia sudah menjadi negara yang tidak selamat dikunjungi dan menjadi negara mafia. Ini persepsi yang sudah terbina oleh masyarakat antarabangsa. Dengan pendedahan akhbar-akhbar Perancis, UK dan mana-mana negara lagi menunjukkan kredibiliti Malaysia semakin menjunam jatuh. Ia bagaikan mengiakan bahawa Malaysia adalah negara yang punah dari segi kemanusiaan dan keadilan.
Sedangkan kes pembunuhan Altantuya hanya melibatkan segelintir manusia yang tamakkan kuasa dan gilakan nafsu. Majoriti rakyat Malaysia tidak terlibat pun dengan kes ini. Tetapi oleh kerana pemimpin utamanya yang terlibat maka secara tidak langsung nama rakyat Malaysia menjadi mangsa.
Kes Altantuya semakin serius diperkatakan orang. Meskipun mahkamah menolak awal-awal lagi pembabitan Najib, ianya pasti melibatkan secara langsung dengan beliau. Walaupun beliau beriya menafikan dan sumpah tidak terlibat, tetapi apakah alasan apabila ribuan bahkan jutaan manusia lainya mempertikaikannya. Sehingga mahkamah turut diragui keadilannya. Dimana hendak disorokkan lagi wajahnya dan imejnya yang tercalar. Di mana-mana beliau pergi, rakyat mencebiknya. Belum pernah ada bakal pemimpin negara yang mendapat reputasi yang sangat buruk bukan setakat rakyatnya sendiri, bahkan di sleuruh dunia.
Tidak ada jalan selamat buat Najib melainkan beliau mesti berundur. Tidak perlu Najib memasang angan-angan untuk memimpin negara dalam keadaan krisis keyakinan rakyat kepadanya sangat rapuh. Di mana beliau akan sorokkan dirinya apabila ada kunjungan hormat pemimpin negara besar seperti Mongolia, atau mana-mana negara yang masih mempersoalkan penglibatan Najib dengan pembunuhan tersebut.
Najib perlu bertanggungjawab di atas apa yang terjadi. Mungkin bukan beliau pembunuhnya, tetapi beliau terlibat dalam kes ini. Dua orang UTK yang terlibat adalah pengawal peribadinya. Tidak mungkin mereka lakukan sesuatu tanpa arahan. lebih-lagi untuk membunuh. Manakala Razak Baginda adalah pemikir beliau. Tidak mungkin Razak Baginda boleh mengarahkan pengawal bosnya untuk membunuh. Dan tidak mungkin pegawai keselamatan boleh membunuh tanpa sebab dan arahan. Soalan yang sama akan berulang oleh mana-mana pengulas politik, siapa yang arahkan bunuh?
Tidak ada tempat buat Najib dalam arus politik negara. Beliau sendiri yang mencalar imej dan reputasi dirinya. Jalan selamat untuk beliau ialah berundur dan selesaikan dulu kes yang membabitkan beliau. Jika tidak selama itulah beliau terus akan diperkatakan orang. Buatlah apa pun rakyat sukar mempercayai beliau. Gula-gulakanlah sesiapa sahaja, sukar bagi pencinta keadilan menelan kepahitan ini. Kalau Najib punya maruah, beliau tidak akan meneraju Malaysia. Itupun kalau beliau masih ada maruah. Kalau tidak, itulah trend UMNO dulu. kini dan selamanya, Pekakkan telinga dari mendengar rungutan rakyat. Yang penting diri didahulukan. Dan mungkin kalau jalan inilah yang diambil, beliaulah Perdana Menteri yang terakhir dari UMNO!
Sunday, March 22, 2009
MISI BUKIT GANTANG DAN BUKIT SELAMBAU : GAGALKAN KEMERIAHAN SAMBUT PERDANA MENTERI BARU
Namun ini tidak berlaku kepada Najib. Rakyat melecehkannya. Terbayang sudah babak-babak ngeri yang perlu dihadam di hadapan kita. Buktinya, Kerajaan Perak dirampas secara tidak bermaruah. Bukti lain, pembabitan beliau dalam kes pembunuhan Altantuya. Kes ini sudah pasti menghantui beliau di mana-mana saja. Malahan kanak-kanak pun tahu mengajukkan Altantuya dengan Najib.
Ura-ura beliau gagal menjadi PM jangan dipersoalkan. Ia ibarat menanti keajaiban yang turun dari langit. Tiada gunanya kita beretorik membayangkan sesuatu akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Yang boleh kita harapkan hanyalah melalui Pilihanraya Kecil di 3 kawasan nanti. Kedua-dua bukit menantikan pertempuran yang hebat kerana Pakatan mempertaruhkan kerusinya manakala BN cuba merebutnya. Di Batang Ai, tekanan hampir tiada kerana tidak ramai pemimpin Pakatan Rakyat bertumpu ke sana. Justeru, PRK di kedua-dua Bukit ini adalah senjata untuk menggagalkan keseronokan Najib. Rakyat Malaysia, khususnya jentera dan pengundi mesti bekerja kuat bagi memenangkan Pakatan Rakyat. Kalah BN di kedua-dua Bukit ini, pasti merencatkan perjalanan jauh Najib. Manakala kalah Pakatan Rakyat, membolehkan Najib menunggang negara dengan apa sahaja untuk mencapai impiannya. Bersedialan kita menghadapi segala kegawatan selepas itu.
Najib dan gerombolan UMNO akan berfikir dua kali untuk mencongak perjalanan mereka. Reputasi Najib akan jatuh. Imej menjadi busuk dan menjadi bualan ramai. Bukan Pak Lah sahaja gagal mengemudi negara, Najib juga dilihat gagal. Bahkan media antarabangsa mula mempersoalkan kemampuan dan kredibiliti Najib. UMNO pasti tidak akan bersenang duduk. Silap-silap mereka berkubur kalau mereka kalah.
Yang pasti Najib dan gerombolan UMNO tidak akan memberikan kemenangan percuma. Tentangan habis-habisan termasuk menggukana segenap jentera. Usah dibilang berapa banyak duit rakyat terbang melayang masuk ke poket pengundi. Juga tidak perlu dihitung berapa banyak Jabatan Kerajaan dikerah dimana sahaja sepanjang kempen PRK nanti. Yang dirisaukan juga bagaimana Najib memanipulasi undi hantu seperti mana yang pernah beliau lakukan di Ijok dua tahun sudah. Dan bagaimana rasuah pilihanraya dijadikan alat untuk memenangi pertarungan ini. Apa yang perlu beliau hairankan. Nawaitu utama adalah untuk menang, kerana menang PRK adalah menang moral peringkat pertama. Beliau akan disanjung dan dijulang sebagai wira yang selamatkan kapal UMNO daripada karam. Saat itu nanti tahulah 'aku mengajar rakyat yang memberontak dan mengkiritik aku'. Akan dipenuhkan penjara Sungai Buloh terhadap mana-mana pemberontak. Bertambahlah penghuni kem Kamunting oleh pemimpin pembangkang.
Friday, March 20, 2009
USAH DIHARAP PADA KEAJAIBAN PAK LAH
Pelbagai teori dibahaskan. Ada yang memujuk Pak Lah mengekalkan kuasanya. Ada yang memberi pandangan sesuatu akan berlaku di saat akhir, dimana Pak Lah akan terus menjadi PM manakala Najib hanya kempunan sekadar menjadi Presiden UMNO sahaja. Ramai juga yang menyusun strategi saat-saat akhir untuk menyelamatkan karier Pak Lah. Pelbagai agenda diaturkan semata-mata hanya mahu melihat Pak Lah terus berkuasa.
Pak Lah dikhabarkan telah bertemu dengan Tengku Razaleigh Hamzah beberapa kali. Entah apa isi perbincangannya tidak dipastikan. Tetapi telahan ramai bahawa ada rundingan rahsia antara mereka. Kemudian Pak Lah bertemu juga dengan Anwar. Pertemuan 'tidak sengaja' di Hulu Langat mencetuskan pelbagai spekulasi politik negara. Mungkinkah Pak Lah merundingkan sesuatu yang sangat bernilai dengan Anwar? Taun Guru Presiden PAS juga ada menimbulkan suatu polemik baru dengan mencadangkan Kerajaan Perpaduan. Ini semua adalah suatu 'hint' untuk Pak Lah.
Saya tidak nampak keberanian Pak Lah melakukan sesuatu yang diluar norma kehidupannya. Pak Lah sejak awal dulu adalah seorang yang sangat tekun dan patuh kepada partinya. Buatlah apapun, beliau tetap setia dengan partinya. Pak Lah dianggap lurus dan jujur dari kalangan pemimpin UMNO. Beliau ini tidak pernah dan belum ada rekod beliau melakukan sesuatu yang di luar 'tabiie' hidupnya.
Soalnya, mampukah Pak Lah menongkah arus melanggar susila budaya hidupnya. Beranikah Pak Lah menyanggah Najib dari menjadi Predana Menteri ke 6. Meskipun seluruh rakyat membenci Najib, tetapi apakah daya Pak Lah saat kritis ini? Sekarang pun sudah dilihat penguasaan Najib pada segenap ruang. dalam UMNO, Najib dan proksinya yang bersuara. Di dalam kerajaan Najib sudah mula menghantar orang-orangnya di segenap sektor. Di mana ruang lagi untuk Pak Lah bertindak. Kelihatan juga sedikit demi sedikit orang-orang Pak Lah meninggalkannya dan mencari 'majikan' baru buat meneruskan hidup.
Pak Lah bukan macam Mahathir yang berani melakukan risiko dalam kariernya. Mahathir sanggup memekakkan telinga dan membuatakan mata untuk memecat mana-mana orang sekelilingnya yang tidak sebulu dengannya. Ini sejarah Mahathir yang sanggup dibuatnya. Soalnya, Pak Lah berani kah melakukan demikian?
Saya tetap mengatakan bahawa Pak Lah akan melepaskan jawatannya dan serahkan kepada Najib. Biarlah apapun imaginasi kita, dan apapun harapan kita, saat itu pasti terjelma. nak harapkan siapa lagi: Tengku Razaleigh Hamzah - beliau sudah tidak bertaring lagi. Anwar - sudah jauh merentasi sempadan untuk melangkaui Pejabat Perdana Menteri. Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang - beranikah Pak Lah mencetus kemarahan UMNO dengan memberi laluan mudah kepada pemimpin PAS?
Jangan kita dalam keadaan gawat ini bermimpi indah. Tidak akan bulan jatuh ke riba. Jangan kita harapkan ada lampu ajaib Aladdin yang muncul selamatkan negara. Tidak perlu kita berkhayal benih kacang panjang menjadi pokok gergasi hingga ke langit. Tiada telur emas yang akan dihasilkan oleh ibu ayam yang mendengar muzik. Juga tidak perlu kita impikan akan datangnya hero penyelamat dunia dari diri Pak Lah. Pak Lah bukan sesiapa. Dia bukan juga seseorang (somebody).
Yang penting mulai sekarang kita mempersiapkan mental dan fizikal kita selaku rakyat untuk menerima kehadiran pemimpin nombor satu negara yang punya latar belakang hitam dan kelam. Kita mesti bersedia menerima apa juga asakan yang bakal dihadapi dari pemimpin rakus ini. Saat manis menghayati sedikit ruang demokrasi terbuka hasil kelemahan Pak Lah mungkin akan berakhir dalam beberapa hari mendatang. Mungkin tiada lagi perkataan 'Islam' secara mudah dapat dituturkan oleh rakyat. mungkin juga Sekolah-Sekolah Agama Rakyat menerima nasib yang sama seperti beberapa tahun lepas. Mungkin akan ada beberapa buah kerajaan negeri akan jatuh. Mungkin juga PAS akan diharamkan dari persada politik negara. Mungkin ceramah politik dan agama menjadi haram dalam orde pemerintahan barunya. Mungkin pendemonstrasi bakal menghiasi penjara besi Sungai Buloh secara berbondong-bondong. Mungkin penghuni Kem Kamunting semakin bertambah dari pemimpin pembangkang. Mungkin juga surau dan masjid akan dikunci dari pengisian kuliah ilmu. Dan mungkin ada beberapa gadis Malaysia dibunuh dan diletupkan secara misteri, siapa tahu! Dalam politik segalanya berkemungkinan. Bersedialah kita dengan segala kemungkinan ini.
APA NILAI BERITA RASUAH PEMIMPIN UMNO SEDANGKAN IA ADALAH BUDAYA MEREKA?
Seperkara yang boleh dilihat dalam kes Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin ini adalah rasuah sudah menjadi amalan biasa pemimpinnya. Sebab itu tidak hairan apabila penyokong Mohd Ali Rustam berteriak dengan menuduh Lembaga Disiplin UMNO tidak telus dan didalangi oleh kelompok Najib. Mereka hairan kenapa hanya Ali Rustam yang sangkut, sedangkan berpuluh bahkan bertimbun kes rasuah yang melibatkan hampir semua calon terlibat. Mengapa ada pendakwaan dan hukuman terpilih dilaksanakan. Bahkan mereka boleh menceritakan bagaimana rasuah melibatkan AP dibuat oleh ejen tertentu tetapi terlepas dari sebarang pendakwaan. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin yang lain.
Pemimpin UMNO yang terpalit dengan rasuah bukan lagi menjadi rahsia. Sudah menjadi bualan umum. Dan dengan kes melibatkan jawatan kedua tertinggi dalam UMNO, ruang manakah di dalam UMNO yang selamat dari sebarang rasuah atau 'politik wang' bahasa mereka. Mungkin jawatan untuk pemeriksa kira-kira atau pencatat minit barangkali yang tiada unsur rasuah. Empat tahun lepas, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Isa Samad telah digantung kerana rasuah. Sekarang yang terkena adalah calon Timbalan Presiden, dan bakal Ketua Pemuda. Mujur jawatan Presiden dimenangi dengan mudah. Kalau calon Presiden itu ada pertandingan, berapakah wang rakyat melayang hanya untuk membeli undi dan menduduki kerusi panas itu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, dalam pada itu menarik diri dari menyiasat kes-kes yang membabitkan Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin. Agaknya mereka beranggapan, kedua-duanya bersalah 'politik wang', tetapi bukan rasuah. Rasuah dan politik wang adalah dua terma yang membawa maksud yang berbeza agaknya. Ataupun SPRM menganggap rasuah dalam UMNO adalah halal. Hanya rasuah yang tidak membabitkan parti UMNO sahaja dianggap haram dan berdosa besar. SPRM sibuk pula menyingkap kesalahan Speaker Perak yang bertindak atas bidang kuasanya, sedangkan kes UMNO yang terang-terangan rasuah dipejamkan. Begitu juga dengan Gerak. Kalau rasuah ini membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat, melompat kedua-dua agensi ini menyiasat tak cukup tangan. Sehingga kini kita belum mendengar gesaan Pengerusi Gerak supaya SPRM menyiasat pemimpin UMNO yang didapati bersalah rasuah, mana ada!
Ali Rustam pula sedang membuat rayuannya. Kelakarlah kalau Lembaga Disiplin atau Presiden UMNO boleh menerikma rayuannya. Katakanlah beliau diterima, bertanding dan akhirnya menang. Nanti akan jadi pula Timbalan Presiden UMNO yang berimej rasuah. Memang cocok dengan Presidennya yang dilabel 'penjenayah' dan terpalit hitam dengan imej buruknya. Bagaimana mereka berhadapan dengan rakyat dengan label dan imej sebegini kotor. Memang patutlah UMNO karam awal.
Bahkan ada penyokong-penyokong dan pemimpin yang bersimpati dengan Ali Rustam. Pesalah rasuah diberikan simpati dan disanjung tinggi? Ada yang merasa beliau dikambing hitamkan. Sedangkan sepatutnya Ali Rustam perlu meletakkan jawatannya selaku Ketua Menteri Melaka. Beliau perlu mengambil tanggungjawab bahawa beliau bersalah melakukan rasuah dan politik wang dengan melepaskan jawatannya. Kalau benarlah UMNO ingin menjaga wibawanya, inilah tindakan yang patut dilakukan. Begitu juga dengan Khairy Jamaluddin. Beliau walau macamanapun dianggap bersalah dan wajar untuk beliau tidak bertanding jawatan Ketua Pemuda.
Berkenaan pergeseran kem-kem yang melibatkan orang Pak Lah dan Najib, saya tidak mahu komen. Biarkan mereka selesaikan masalah dalam kelambu mereka. Tetapi sedikit ulasan saya ialah, UMNO selamanya begitulah. Belum pernah mereka bersahabat dan berukhwah dengan ikhlas. Berebut jawatan, Jatuh menjatuh, tikam belakang, hipokrasi, ampuisme, dan lobi melobi adalah adalah budaya biasa dalam UMNO. Ini bukan menjadi berita lagi buat kita. Sekadar menjadi bualan kosong di kedai kopi. Hari ini mereka menyokong Pak Lah, esok berputar pula menyokong Najib.
Saya berpandangan, tindakan Lembaga Disiplin UMNO sekadar untuk mewajarkan tindakan supaya UMNO dilihat bersih dan tuntas dari rasuah. Walaupun hukumannya memang 'selective' dan nampak berpura-pura. Pada rakyat, yang hendak ditonjolkan ialah UMNO benar-benar mahu memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Membebel pemimpin mereka kononnya UMNO sangat telus sehingga pemimpin besarnya pun tidak terlepas sama. Tidak ada kasta dalam memerangi rasuah.
Sedangkan yang rakyat sedang melihat ialah permainan politik perasuah dalam UMNO. UMNO semakin kotor dan tiada ruang untuk dibersihkan, melainkan dibuang atau ditinggalkan saja. Dan rakyat juga sedang melihat sebuah drama lakonan pemimpin perasuah ini yang sedang mengatur jabatan kerajaan untuk bertindak atas arahan mereka, termasuk SPRM. SPRM haram menyiasat dan bertindak lebih-lebih terhadap kaki perasuah yang disabitkan bersalah oleh Lembaga Disiplinnya. Besar manapun rasuah pada pemimpin mereka diamkan sahaja. Selain UMNO, siasatlah sampai masuk ke kandang lembu pun tidak mengapa!
Wednesday, March 18, 2009
PELANCARAN KELAB REMAJA ISLAM
Jangan lepaskan peluang ini adik-adik. Ajak semua rakan-rakan sekolah, jiran, sepupu dan semuanya untuk meramaikan keahlian Kelab ini.
Kelab ini akan menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik untuk disertai yang sesuai dengan usia adik-adik sekalian.
Semuanya PERCUMA!!!!
Untuk umur 13-19 tahun sahaja
Sebarang pertanyaan boleh hubungi mereka :-
SOLAHUDDIN 012-2645380
AISYAH 013-9181078
AZIYATI 013-2009426
Monday, March 16, 2009
UNITY GOVERNMENT : WAWASAN JAUH PRESIDEN PAS.
Idea Unity Government atau Kerajaan Perpaduan tercetus oleh minda Presiden PAS. Entah apa agaknya, dan siapa pula yang menasihatinya, idea ini dilontarkan ke tengah-tengah masyarakat.
Belum pun habis reda isu rampasan kuasa (coup 'de etat) di Perak, belum pun habis reda kemarahan rakyat isu-isu negara seperti Himpunan PPSMI dan lain-lain, tiba-tiba YB Tuan Guru Presiden PAS meletupkan isu ini.
Seperti biasa, yang paling melenting adalah kelompok fundamentalis. Mungkin kerana latar belakang PAS yang serik didera UMNO bertahun lamanya mengajar erti 'bersahabat' dengan UMNO. Kalangan PAS sendiri berbeda pandangan diutarakan. Segelintir pemimpinan tertinggi pun banyak khilafnya, apatah lagi dengan ahli-ahli di peringkat cawangan dan kawasan.
Di kalangan UMNO pula, idea dan gagasan ini dipandang dengan berbelah bahagi. Setengahnya yang mahukan reformasi menganggap ini sebagai suatu pembaharuan demi memantapkan UMNO dan agenda Melayu. Manakala mereka yang dari ajaran fundamenatlisnya tetap konsisten menolak apa jua gabungan dengan Pakatan Rakyat. Dengan ego mendakwa UMNO-BN masih utuh dan tidak perlukan bantuan pembangkang. Inilah mentaliti sebahagian pemimpin UMNO.
Saya melihat ini dari sudut positif. Satu ketika ketika awal-awal idea muqabalah dan muzakarah hendak dijadikan agenda PAS, saya menolak. Alasannya kerana saat itu PAS dan Pakatan Rakyat sedang melonjak naik. Rakyat sedang memberikan harapan besar mengunung kepada PAS dan Pakatan Rakyat. UMNO-BN pula dilihat sebagai sebuah kapal yang sedang karam. Apa guna menyelamatkan kapal karam UMNO-BN sedangkan kalau dijadikan tukun ia lebih baik buat PAS. Itu pandangan saya lima atau enam bulan lalu. Sementelah lagi isu 16 September sedang hangat diperkatakan orang. Anwar Ibrahim sedang meluncur laju untuk memacu negara. Kenapa kita membantutkan usahanya sedangkan kita berada dalam kenderaan yang sama?
Kini isu negara sudah berubah. 16 September sudah gagal. Timbul pula kebahayaan negara akan dipimpin oleh pemimpin kuku besi Najib Tun Razak. Ketakutan rakyat dan saya sendiri timbul, bagaimana negara akan dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang mempunyai rekod buruk termasuk dikaitkan dengan pembunuhan! Adakah Malaysia akan dipimpin oleh seorang penjenayah? Kalau seorang gadis Mongolia boleh dibunuhnya, adakah selamat buat kita semua rakyat Malaysia? Ini persoalan yang bermain di fikiran rakyat jelata.
Seperkara lagi, Presiden PAS menawarkan kerajaan Perpaduan (Kerajaan Tanpa Pembangkang) adalah untuk membantu rakyat membangunkan negara. Kerana selama ini ramai yang bukan ahli politik termasuk dari kalangan jemaah Islam lain di Malaysia, yang bersikap sinis dengan sikap PAS yang hanya tahu bersilat politik tanpa memberikan sumbangan buat membangunkan negara. PAS hanya tahu mengkritik dan mengutuk. Inilah masanya PAS menghulurkan tangan perpaduan supaya Malaysia dapat diselamatkan dari pelbagai krisis dari ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain lagi. PAS bermentaliti bukan sekadar menjadi pembangkang tetapi juga menjadi pencetus kepada perpaduan. Juga bukti bahawa PAS bukan parti pendendam, tetapi sebagai penyelesai masalah. PAS tidak pernah lupakan kekejaman UMNO. Tetapi Tuan Guru Presiden menampilkan PAS sebagai pohon yang melontarkan buah yang manis meskipun dilontarkan dengan batu dan dijolok dengan galah yang tajam!
Saya kira pandangan Tuan Guru Presiden bahawa PAS belum bercita-cita pendek menjadi Menteri atau Perdana Menteri. PAS bukan tamak, bukan juga opportunis, jauh sekali menggadaikan maruahnya. Sekadar mahu membuktikan PAS bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja, demi Islam dan negara. Dahulu teruk PAS dibelasah oleh pemimpin ortodoks yang mencela tindakan PAS berbaik dengan DAP. Walhasilnya, setelah sepuluh tahun lamanya kini pemimpin DAP telah mula lunak kepada PAS dan Islam (kecuali Karpal Singh). Beberapa pemimpin DAP mampu membaca ayat suci Al -Quran dalam pentas ceramahnya. Dan Hudud bukan menjadi pertikaian yang hebat.
PAS pernah bekerjasama dengan Semangat 46. Bukan PAS yang memutuskan pertalian dengan S46, tetapi mereka sendiri yang menceraikan diri mereka lalu bergabung dengan UMNO. Sebelumnya, PAS pernah bergabung dengan UMNO. PAS setia, tetapi ditolak dengan penuh hina oleh UMNO dan BN tahun 1970an. Ini sejarahnya.
Tahun 1998 dan kini PAS masih setia dengan Pakatan Rakyat. Tatkala pemimpin dan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat dan DAP melompat di Perak, ADUN dan MP PAS masih setia. Masih kekal bersama dengan Pakatan Rakyat. Bahkan rakyat pula yang sangsi dengan kesetiaan dan kesepakatan pemimpin PKR dan DAP.
Dalam keadaan begini, tiba-tiba secara kebetulan Anwar pula ditemukan dengan Pak Lah di Madrasah di Hulu Langat. Tiada pula suara bising dari akar umbi PAS dan PKR atau Pakatan sendiri yang menaruh curiga kepada Anwar. Kenapa idea Presiden PAS dianggap serong dan mengkhianati rakyat (atau Pakatan) sedangkan pertemuan enam biji mata Pak Lah dan Anwar dianggap biasa dan tiada makna apa-apa.
Saya melihat wawasan jauh Presiden PAS terbukti sudah. Kini adalah zaman untuk PAS keluar dari kepompong dan berminda pembangkang tanpa haluan. PAS perlu mengorak ke hadapan sebagai parti yang bakal menggantikan UMNO yang reput. PAS mampu menjadi 'check and balance' serta menjadi pewaris kepimpinan negara pada bila-bila masa dari sekarang. PAS mesti bersedia menangani isu-isu negara. PAS perlu lahirkan segera seberapa ramai negarawan yang mampu mencongak pelbagai isu dalam negara. PAS perlu dilihat mampu duduk semeja dengan mana-mana pihak. Demi negara, dimana sahaja, dan bagaimana sahaja PAS boleh bersemuka dengan sesiapa saja! Inilah mesej tersembunyi dari gagasan Presiden PAS.
PAS juga dilihat sebagai parti sahabat. Baik kawan mahupun musuh. Baik rakyat jelata sehingga kepada pimpinan. Dakwah PAS akan tersembul keluar sebagai cahaya yang menerangkan alam ini. PAS mesti dilihat sebagai jamaah dakwah yang boleh dibawa berbincang. PAS terbuka dan relevan dengan situasi zaman. PAS bukan sahaja raja demonstrasi bahkan raja dalam meja perundingan. Bukan sahaja ceramah dan debat politiknya hebat, hebat juga pemimpin PAS di dalam Parlimen dan dalam mengadakan perbincangan!
Sebenarnya banyak lagi perkara yang membawa kebaikan boleh dilihat dari cetusan Tuan Guru Presiden PAS. Mungkin ada yang menyanggah, tetapi yakinlah misi dan visi Presiden PAS ini bukan membawa perpecahan dan kehancuran buat PAS, malah menguatkan lagi jaluran dakwahnya ke tengah-tengah masyarakat. Silap-silap idea ini lah yang bekal menguburkan UMNO, siapa tahu!
Wednesday, March 11, 2009
PAK LAH DAN ANWAR BERPAKAT RAHSIA?
Sedang Dato' Seri Najib Tun Razak membentangkan mini bajet berjumlah RM 60 bilion yang pastinya menggula-gulakan rakyat Malaysia buat seketika, tiba-tiba gempar suatu berita ada pertemuan sulit yang dirancang antara Pak Lah dan Anwar di Madrasah al Iman, Hulu Langat.
Laman-laman blog kecoh seketika apabila kedua pemimpin negara itu bertemu di bawah satu bumbung dan mengadakan pertemuan sulit enam mata. Macam-macam spekulasi timbul hasil dari pertemuan itu. Meskipun jadual asal Pak Lah hanya akan hadir keesokan harinya, dan hari ini adalah hari bertandangnya Anwar Ibrahim. Bukankah ini sudah cukup menimbulkan seribu satu persoalan? bukankah jadual Perdana Menteri itu padat dan disusun dengan rapi sepanjang mingguan dan bulanannya. Bagaimana boleh jadual ke Madrasah Al Iman dapat dipercepatkan dari jadual asalnya.
Seorang negarawan dalam apa pun tindakan akan mendapat publisiti. Sudah pastilah akan timbul syak kalau Pak Lah sengaja hadir ke majlis yang dihadiri oleh musuh politiknya. Pasti akan timbul pelbagai kisah dan cerita yang ditokok tambah oleh para pengulas politik bagi menghangatkan iklim politik negara.
Bagi Najib sudah tentu pertemuan ini meresahkan dirinya. Tidak sampai sebulan lagi beliau akan ditabal selaku orang paling berkuasa di Malaysia. Jawatan Presiden UMNO sudah digenggaman, hanya tinggal majlis rasminya sahaja dalam beberapa minggu ini. Inilah masa yang sangat mendebarkan bagi Najib. Ibarat si anak dara yang menanti malam pertama di majlis perkahwinannya. Macam-macam boleh berlaku dalam tempoh ini. Macam-macam 'dugaan' telah ditempuhnya dengan 'sabar'. Beliau berjaya membuktikan kemampuannya dengan menawan Perak. Beliau pun telah banyak menempatkan orang-orangnya di posisi strategik sampai ke 'tingkat 4' pun berjaya ditawannya. Dan lagi lebih manis apabila berjaya membentangkan bajet mini 'mesra rakyat'. Semua sudah dihadapinya.
Anwar pula dalam sikap penafian. Biasanya orang politik begitulah sifirnya. Bila dinafikan maknanya jadi betullah tu. Kalau diiyakan beerti hanya kata-kata politik semata. Seperti dalam isu 16 September. Beliau beriya-iya menyatakan akan berlaku 'lompat' parti oleh ahli parlimen BN dalam masa terdekat. Hakikatnya yang diketahui hanya SAPP sahaja yang bernai lompat, manakala yang lain menyepikan diri. Ertinya Anwar berteriakkan politik retorik semata-mata kala itu bagi menimbulkan riuh dan tidak yakin BN pada MP nya sendiri. Sedangkan hakikatnya tidak berlaku apa pun. Sebaliknya orang-orang PKR dan DAP pula yang melompat di Perak.
Berbalik kepada isu pertemuan enam mata antara Pak Lah, Anwar dan Syeikh Mahmud al-Majzub hari ini. Anwar berkeras menafikan. Mungkin kita dapat meneka apakah rancangan disebalik pertemuan itu kerana teori politik yang saya lontarkan tadi.
Apapun, kalau betul terjadi seperti yang diharapkan (Pak Lah tidak jadi serah kuasa kepada Najib atau Pak Lah serah kuasa kepada Anwar) maka kita wajar bersyukur. Biarlah seketika negara dipimpin oleh seorang yang lemah tetapi boleh bertoleransi dan bertolak ansur daripada diberikan amanah besar ini kepada seorang rakus yang zalim. Najib banyak kisah dibelakangnya yang sukar diterima oleh rakyat Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa. Namanya terpalit kotor bersama isu Altantuya yang sukar dipadamkan. Biarlah Pak Lah memimpin sepenggal lagi asalkan negara terus aman daripada memberikan kepada Najib yang mampu menghuru-harakan negara dalam sekelip mata. Semoga doa rakyat dan Syeikh Mahmud al Majzub menjadi kenyataan. Ketahuilah Allah bersama orang-orang yang benar.
Monday, March 9, 2009
NAZRI AZIZ BERLAKU JUJUR DALAM MENJUSTIFIKASI UMNO.
Saya agak kagum melihat pendirian tegas beliau yang tidak mahu bertanding kerana takut dianggap mempunyai kepentingan kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab membawa SPRM ke Parlimen untuk diluluskan. Menurutnya, beliau mempunyai integriti yang perlu dijaga memandangkan akan timbul syak dan prasangka peranan SPRM terhadap tuduhan terhadapnya jika ada.
Dalam ulasan seterusnya, Nazri turut membidas ahli-ahli UMNO dengan menyatakan mereka masuk UMNO kerana kepentingan diri dan peribadi. Ini kerana ramainya perwakilan yang memilih pemimpin bukan kerana kelayakan tetapi atas jumlah sogokan yang diterima.
Begitulah hasil temubual dengan Nazri Aziz di The Star hari ini. Menteri de' Facto Undang-Undang ini wajar dipuji atas keberanian dan kekuatan beliau melawan arus. Sejak dulu Nazri memang terkenal kerana keupayaan dan keberanian beliau berhadapan dengan pihak pembangkang. Dulu ketika tahun 2002 beliau pernah berdebat dengan Salahuddin Ayub berhubung isu Sekolah Agama Rakyat (SAR). Habis riuh ruang di Dewan Bahasa dan Pustaka dikuasai penyokong PAS. Salahuddin Ayub pula berkaedaan bola tanggung dalam isu tersebut. Namun beliau berlaku jujur dan sanggup berhadapan dengan khalayak rakyat membencinya.
Tidak ramai dalam UMNO yang berani dan setegas seperti Nazri. Selain beliau, beberapa nama seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Seri Dr Rais Yatim dan Dato' Shahrir Samad dianggap tokoh yang berani melawan arus. Mereka sanggup menyatakan tidak kepada sesuatu dasar atas dasar realiti dan kebenaran. Ambil contoh bagaimana ketegasan Tengku Razaleigh Hamzah menempelak tindakan UMNO merampas kerajaan Negeri Perak. Rais Yatim dalam ucapan beliau baru-baru ini dengan sinis menyatakan kuasa Yang Di Pertuan Agung dalam melantik Perdana Menteri. Dengan maksud bukan semestinya Najib boleh ditabal sebegitu mudah andai tiada perkenan dari Yang Di Pertuan Agong.
Ada juga anak muda dalam UMNO yang berani. Contoh seperti Khairy Jamaluddin. Namun ramai melihat anak muda ini sekadar suka mencari publisiti yang kadang-kadangnya mengundang rasa meluat dengan tingkah lakunya yang 'over' terhadap sesuatu isu. Khairy berani 'turun' ke gelanggang PAS di Kelantan berdebat dengan Dato' Husam Musa beberapa bulan lepas. Angkaranya juga isu hudud diangkat kembali menjadi isu panas negara.
Apapun bicara Nazri wajar diambil perhatian. Beliau turut menghentam ahli dan pemimpin UMNO yang masih dalam sindrom 'penafian'. Menafikan hak rakyat dan kehendak rakyat yang telah menghukum mereka dalam PRu ke 12. UMNO masih tidak sedar bahawa rakyat sudah mula celik dan panjang akal dalam menentukan corak kepimpinan negara. Rakyat telah melihat banyak korupsi dan rakyat umumnya tidak boleh menerima pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan hidup yang melimpah kekayaan.
UMNO menganggap mereka masih superpower di Malaysia dan kuasa kemenangan akan kembali kepada mereka dalam sekelip mata. Inilah perangai UMNO sejak lama kerana dikuasai oleh kemudahan dan kesenangan. Selama 50 tahun berkuasa segala kemudahan akan datang dihujung jari. Mana ada tenaga ikhlas jentera UMNO yang turun berkempen di sesuatu Pilihanraya kecil tanpa mengharap habuan. Habis pula dikerah segenap Jabatan Kerajaan bagi menjayakan kempen Pilihanraya mereka. Kemudian diperkuadakan polis dan tentera untuk kepentingan kuasa mereka. Silap ada sedikit demonstrasi semua tenaga polis dan FRU digunakan buat mematah Himpunan pembangkang. Kalau ada pula sesuatu himpunan di pihak mereka, habis segala harta dan khazanah negara dipunggah bagi membiayai duit poket peserta mereka yang hadir. Ini kerja UMNO. Arahan di hujung jari. Keselesaan menjadi zon hidup mereka. UMNO tidak pernah diuji dengan kepayahan.
Saya kira hampir semua tahu bahawa UMNO dan rasuah adalah kembar siam seiras. Nazri Aziz belaku jujur dan senada dengan semua rakyat Malaysia yang melihat politik negara. UMNO tidak boleh hidup tanpa rasuah (politik wang bahasa mereka). Lihatlah pemimpin-pemimpin mereka yang naik di mana-mana peringkat, adakah yang menang tanpa 'korban' rasuah dibelakang mereka. Naib Presiden UMNO (Tan Sri Isa Samad) pernah digantung kerana rasuah. Kini beliau kembali ke lapangan politik dan bertanding di jawatan yang sama. Ramai lagi yang mengadu dan melaporkan kepada SPRM. Sebahagiannya diambil tindakan (tindakan politik semata), manakala lebih banyak lagi dipengap di bawah karpet. Lebih tinggi jawatan seseorang dalam UMNO, lebih banyak aduan dilaporkan. Beranikah SPRM mendakwa Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekiranya ada dakwaan rasuah pada mereka? Sudah tentu jawapannya semua sudah tahu.
Nazri Aziz dan orang sepertinya wajar diberikan tempat yang tinggi dalam UMNO. Hanya orang-orang sepertinya saja sebenarnya layak memimpin UMNO sekiranya UMNO bertekad melakukan reformasi. Sokongan rakyat tidak akan berubah dan terus membenci UMNO andai mereka masih di bawah paradigma biasa. Sia-sia saja mengadakan bengkel, simposium, kertas kerja, kursus dan pelbagai lagi bagi mewajah barukan UMNo. Yang hanya rakyat mahukan ialah perubahan total. Jauhkan rasuah dari pemimpin, dakwa pemimpin yang korup, jangan pilih bulu, jangan hidup bermewah, bersikap adil dan saksama, jangan mengongkong jabatan kerajaan, dan jangan nafikan tuntutan rakyat. Kalau ini dipenuhi, keputusan PRU ke 13 mungkin akan berubah arah!
Sunday, March 8, 2009
APABILA SASTERAWAN NEGARA MENYATAKAN SIKAPNYA.
Sebelum ini sudah beberapa nama besar dalam kesusasteraan negara turut bersama dalam politik pembangkang. Dato' Shahnon Ahmad, seorang lagi tokoh penulis prolifik bertaraf Sasaterawan Negara menceburi PAS dan bertanding dalam Pilihanraya Umum ke 10 tahun 1999. Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Sik. Manakala Azizi Abdullah menjadi aktivis PAS yang aktif di Kedah. Dinsman, penyajak tersohor telah lama bergelumang dengan Pakatan Rakyat sejak tercetusnya reformasi. Puan Ainon Mohamad tokoh sastera yang tidak kurang hebatnya bersama suaminya Prof Abdullah Hassan adalah antara nama hebat yang menyertai arus kebangkitan rakyat. Bahkan, sajak-sajak di akhir kehidupan Dato' Dr Usman Awang banyak bersimpati dengan perjuangan rakyat. Amat janggal sekali tokoh sastera mahu bersama dengan politik kerajaan UMNO-BN. Kini Dato' A. Samad Said mengambil peranan terkehadapan sebagai ikon perjuangan bahasa membantah PPSMI.
Apa yang sangat mengkagumkan, Dato' A. Samad Said, seorang yang sangat disanjung sebagai tokoh sasterawan negara ini sanggup berhujan asid dan berasap pedih bersama rakyat untuk memperjuangkan bahasa. Dalam usianya meniti waktu tua, beliau melangkah gagah ke hadapan bersama pimpinan-pimpinan PAS Pusat.
Dalam kepedihan ditembak bom asid beliau sempat mengungkap sepatah kata, "Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa,". Ternyata perjuangan di kemuncaknya 7 Mac 2009 diwarnai dengan kepedihan dan kesengsaraan rakyat. Bom asap dan hujan asid adalah perkara biasa buat aktivis PAS, termasuk ditangkap dan dihumban ke penjara dan semalam menambahkan lagi kemanisan perjuangan rakyat menolak kezaliman. Kini baru semua sedar dan buka mata bahawa UMNO-BN adalah penzalim yang sedang berselindung di balik tabir kuasa dan musuhnya adalah semua rakyat yang bangun menentang rejim kuku besi ini. Biarkan semua rakyat memerhati, kuku besi yang ganas semalam nantinya akan tumbang jua ditangan rakyat yang membentuk raksasa seperti himpunan semalam.
Friday, March 6, 2009
DEBARAN MEMUNCAK: RAKYAT MEMUNTAHKAN KEMARAHAN TERHADAP PPSMI
Sudah mangli dengan pelbagai kertas kerja, sudah lelah dengan semiinar dan forum, juga berpuluh tenaga pakar menyuarakan rasa, tidak kurang bermacam nota bantahan disampaikan. Semua sudah sampai ke tangan pemimpin UMNO-BN. Nampaknya usaha rakyat sudah sampai ke penghujung kesabaran. Mungkin jalan raya menjadi saksi mati rakyat tidak mampu menahan rasa disiksa selama 6 tahun puaka 'Inggeris' terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.
Bukan rakyat dengkikan bahasa Inggeris. Tetapi mengapa dipilih subjek teras yang sangat kritikal itu sebagai bahan meranapkan masa depan anak bangsanya sendiri? Apakah hanya kerana lemahnya anak-anak Malaysia terhadap penguasaan Bahasa Inggeris menjadikan sains dan Matematik sebagai mangsa untuk memangsakan pendidikan sekolah terhadap anak-anak? Rakyat sangat khuatir Bahasa Melayu akan menurut jejak Pendidikan Islam yang menjadi kelas kedua dalam silibus pendidikan. Subjek agama Islam, bukan teras untuk mensyaratkan pelajar-pelajar masuk ke IPT. Dan kesannya boleh dilihat dengan lahirnya generasi yang jahil terhadap hukum, al Qur'an dan agamanya sendiri.
Dalam subjek utama di sekolah, hanya Bahasa Melayu sahaja tinggal satu untuk dimartabatkan. Selainnya, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik merupakan kor yang terlalu penting. Ketiga-tiga subjek ini telah dikorbankan dalam Bahasan Inggeris. Subjek lain seperti Sejarah, Fizik, Kimia, Agama Islam, Sastera, Geografi, dan lain-lain adalah pilihan tambahan kepada pelajar sekolah. Syarat kemasukan utama ke IPT perlu dilihat pada subjek utama yang empat tadi. Ertinya, hanya Bahasa Melayu sahaja subjek tunggal yang dilihat penting ke IPT. Makna yang mendalam ialah, Bahasa Melayu sudah dilihat ketinggalan dan tidak relevan lagi. Sudah sama seperti subjek Pendidikan Islam.
UMNO yang mendabik dada kononnya merekalah pejuang bangsa rupanya merekalah pengkhianat bangsa. Agak janggal dan pelik PAS memainkan peranan bersama pejuang bangsa Melayu memperjuangkan bahasa ibunda. PAS telah dilihat mengambil tempat sebagai pejuang bangsa selain daripada Islam yang menjadi nadi perjuangannya. Kalau begitu, apakah yang UMNO kini perjuangkan?
Kemuncak kemarahan rakyat sudah tidak tertahan lagi. Hampir seluruh pelusuk golongan masyarakat tampil memberikan sokongan terhadap usaha Gerakan Mansuhkan PPSMI ini. Daripada Parti politik, pejuang bahasa, Sasterawan Negara, cendekiawan, Profesional, sehinggalah kepada pihak PIBG akan turut serta dalam rapat umum esok. Biarkan kali ini rakyat berbicara di jalan raya setelah pemimpin UMNO bersikap pekak badak dalam mendengar keluhan rakyat yang sudah tidak tertanggung. Buat rakyat yang jauh doakan kami manakala yang dekat, mari kita bersama ramaikan himpunan ini.
Tuesday, March 3, 2009
KERAJAAN UMNO BN MATI AKAL DI PERAK
Puncanya mudah saja, kerana UMNO tidak menggunakan saluran undang-undang. Kalaulah sedari awal UMNO-BN menggunakan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, barangkali Pakatan Rakyat di Perak sudah tidak ada isu untuk diperjuangkan. Kerajaan BN-UMNO boleh memerintah secara aman.
Itulah yang dinamakan kegelojohan. Biasanya penjenayah yang terdesak akan lakukan kerja gelojoh seperti ini. Merompak dengan tidak berfikir risikonya. Akhirnya ditembak mati.
Penjenayah bernama UMNO macam itulah kerja mereka. Mula-mula menculik, kemudian dakwa sudah mencukupi bilangan dan seterusnya tubuh kerajaan. Tidak ada ribut dan angin, Menteri Besar sedia ada dicabut kuasanya dengan sewenang-wenangnya. Jumpa sultan untuk tubuh kerajaan. Kemudian kunci pintu pejabat, bangunan SUK, rumah dan kenderaan rasmi. Macam orang bernikah secara haram atau bernikah terlanjur (dah terlanjur mengandung baru menikah) terpaksa adakan majlis secara tertutup, sembunyi-sembunyi dan tergesa-gesa.
Hari ini hampir semua orang tahu bagaimana keadah pelucutan kuasa Menteri Besar yang patutnya berlaku. Daripada orang kampung yang tidak bersekolah sehinggalah kepada Professor dalam bidang perundangan tahu bagaimana letak duduknya kuasa Menteri Besar. Nak jatuhkan Menteri Besar bukan payah kalau kena caranya. Macam kisah seorang pendekar yang kebal. Tidak lut oleh senjata apapun, dan sukar hendak menewaskannya. Tetapi kalau seseornag tahu bagaimana hendak menewaskannya bukan payah sangat caranya. Ambil contoh cerita Laksamana Fa Sola Dalam Kisah Laksamana Do Re Mi yang hanya boleh dibunuh dengan mencucuk buluh pada tapak kakinya.
Menteri Besar perlu dijatuhkan melalui kuasa undi tidak percaya dalam Sidang DUN. Mudah sahaja bagi ADUN-ADUN BN yang mengaku mempunyai majoriti. Buat usul, angkat tangan dan berlakulah pertukaran kuasa paling aman. Nak suruh Menteri Besar sendiri letak jawatan memanglah payah. Mana ada senang-senang mandat yang diberikan rakyat terhadap Menteri Besar boleh digugat sebegitu mudah.
Tetapi malang bagi UMNO-BN yang gagal membaca Perlembagaan dengan elok. Kerja gopoh gapah begini akhirnya mengundang padah. Tanyalah mana-mana pakar perundangan, apakah kuasa speaker dan setakat mana kuasanya. Pakatan Rakyat di Perak sebolehnya menggunakan aspek undang-undang sebagai jalan penyelesaian. Kalau kata sidang DUN sebagai mandat meluluskan apa sahaja usul maka sidang telah dilaksanakan, walaupun dalam keadaan yang sangat melucukan.
Pastinya sejarah Sidang DUN di bawah pokok akan dikenang oleh generasi akan datang. Betapa zalim dan tidak demoktariknya UMNO dengan melarang Speaker dari memanggil Sidang DUN dan melarang pula ADUN memasuki Dewan Persidangan. UMNO macam keanakan apabila menggunakan kuasa Polis untuk menghalang majlis persidangan berlangsung (walhal, apakah hak polis menghalang ADUN daripada memasuki bangunan Dewan Persidangan DUN yang telah pun dinotiskan oleh Speaker sendiri). Polis wajar bersikap malu dengan sikap 'kerbau cucuk hidung' mereka yang terpaksa patuh pada kuasa 'haram' demi menyelamatkan survival UMNO-BN.
Dalam keadaan begitu PR masih berharap ada sisa keadilan di kamar mahkamah. YAB Menteri Besar Dato' Seri Nizar menggunakan pula saluran mahkamah bagi menjustifikasikan beliau sebagai MB yang sah. Biarlah mahkamah yang menentukan (bergantung setakat mana adilnya hakim mengendalikan kes ini).
Hakikatnya, UMNO-BN telah menempah suatu jalan gelap. Kalau ikut aspek perundangan yang sah dan adil, telah lama UMNO-BN kalah. Mereka hanya berselindung di sebalik tembok Istana. Habis sehingga Tuanku Sultan dipergunakan UMNO. Ditutup mulut, tangan dan kaki bagi membenarkan tindakan mereka. Sedangkan undang-undang yang digubal sendiri oleh UMNO, telah menghadkan kuasa raja dan Sultan. Sultan sudah tidak mempunyai hak lagi untuk melantik dan memecat seseorang Menteri Besar, apatah lagi menghalang Speaker dari melaksanakan tugasnya memangil sidang DUN.
Dalam keadaan Menteri Besar yang telah digulingkan secara tidak demokratik, tiba-tiba muncul Speaker sebagai penyelamat. Mereka lupa sepatutnya orang yang paling dahulu diculik ialah Speaker. Walhal Speaker mempunyai kuasa yang sangat besar dan istimewa. Siapa yang mencipta undnag-undang kekebalan Speaker kalau bukan UMNO-BN. Hari ini mereka merasakan pedasnya kekebalan Speaker. Speaker bertindak atas lunas undang-undang, bukan dengan jalan haram. Kuasa menggantung Ahli Dewan adalah kuasa mutlak Speaker. Tanyalah Tan Sri Pandikar Amin Mulia apakah haknya dalam menggantung keahlian seseorang ahli dewan. Berapa kerapkah Ahli Parlimen pembangkang yang telah digantung. Begitu juga hak memanggil sidang dewan, juga di bawah kuasa Speaker. Speaker tidak boleh dilucutkan jawatannya sesuka hati. Ia mesti dipersembahkan melalui dewan juga. Inilah undnag-undang yang sedia ada. Ada peruntukan dalam Perlembagaan.
Jadi dengan cara apa YB Dato' Zambry akan melaksanakan tugasnya. Beliau bebas keluar masuk Pejabat Kerajaan dan Jabatannya, namun beliau diharamkan masuk dewan selama 18 bulan. Perintah Speaker adalah sah. Bagaimana untuk meluluskan sesuatu usul dapat terlaksana dalam keadaan demikian? Sementara YAB Nizar diharamkan masuk ke Pejabat SUK, tetapi bebas keluar masuk Dewan DUN. Bagaimana operasi pemerintahan dapat terlaksana dalam keadaan dua Menteri Besar yang gagal memasuki salah satu pusat pentadbirannya?
Akhirnya nanti, Perak akan tercorot dari sudut kadar pembangunan ekonomi. Tidak ada pelabur yang berani datang ke negeri yang tidak menentu politiknya. Perak juga mundur dari kadar kesuburan demokrasinya. Ia akan dikenang sebagai negeri yang banyak mencetuskan kontorversi, dan pelanggaran undang-undang yang nyata. Lepas ini, buatlah apa sahaja kesalahan kerana tafsiran undang-undang boleh dipelbagaikan. dan lagi, institusi berajanya akan dipandang sinis oleh rakyat dan masyarakat awam. Golongan feudal bukan lagi golongan yang dihormati dan dirahmati tetapi akan menjadi ikon kebencian rakyat.
Hanyanya Tuanku Sultan membubarkan DUN akan mengembalikan kegemilangan Perak. Pulangkan balik mandat kepada rakyat akan berlaku adillah kepada semua pihak. Tatkala itu, baru UMNO tahu tinggi rendah langit itu. Dan ketika itu, baru UMNO kenal erti perjuangan rakyat yang bencikan kezaliman dan pendindasan sesuka hati.
SIVAKUMAR DISURUH BERSABAR: KENAPA PULA TIDAK DR ZAMBRY BERSABAR?
Sudahlah begitu, lebih melucukan apabila polis dikerah untuk menutup Bangunan SUK yang menempatkan Dewan DUN. Kesian polis diperalat dan diperkudakan sedemikian rupa.
Pak Lah pula mengkritik Sivakumar kerana tidak bersabar. Istilah 'bersabar' digunakan untuk membidas kuasa seorang speaker. Hairannya apabila kerajaan UMNO-BN merampas kerajan sah Pakatan Rakyat di Perak, tidak pernah pula terpacul perkataan sabar dari Pak Lah. Kenapa MB haram Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir tidak pernah diarah bersabar sehingga sidang DUN berlaku untuk ditabalkan sebagai Menteri Besar. Pak Lah patut sabarkan sedikit Dr Zambry untuk adakan usul tidak percaya kepada Dato' Seri Nizar dalam sidang dewan. Kenapa pula Pak Lah tidak arahkan kerajaan baru 'haram' Perak bersabar sehingga mahkamah memutuskan keputusan terhadap dua ADUN yang dihadapkan ke mahkamah bersabit kekosongan kerusi tempohari. Ada pula ke Pak Lah minta Zambry dan Najib bersabar sehingga Pilihanraya Kecil seluruh negeri Perak berlangsung.
Apabila pihak polis bertindak kasar dan ganas di Masjid Ubudiyah tempohari, ada ke mana-mana pemimpin UMNO nasihat pihak polis supaya bersabar. Tatkala kegilaan Zambry memuncak dengan menutup ruang pejabat SUK, dan Pejabat Menteri Besar serta arahan memulangkan semula kunci pejabat, rumah dan kereta terhadap MB Perak Dato' Seri Nizar- 'toleransi dan bersabarkah' mereka dengan perangai ini?
Inilah sikap dualisme UMNO-BN. Apabila sesuatu berlaku kepada pihak lain, hujah akal, perundangan, perlembagaan, peraturan, pertimbangan, kemanusiaan semua digunakan. Tetapi jika ia berlaku di pihaknya, emosi dan nafsulah yang memandu UMNO. Tiada lagi peraturan dan perlembagaan diguna pakai. Semua nasihat ditolak tepi, hanya kerana kemaruk kuasa yang bersarang di kalbu UMNO-BN. Akhirnya mereka juga yang muncul berkuasa setelah habis segala kudrat dan jentera digunakan secara tidak sah. Tidak penting kritikan dan bantahan, tidak mustahak perundangan dan perlembagaan, apa kisah pada maruah - yang penting berkuasa semula!
Petikan dari MStar.
Speaker Perak sengaja ambil tindakan kontroversi - Abdullah
JAKARTA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar sengaja memilih mengambil tindakan yang kontroversi dalam perkembangan muktahir berkaitan persidangan DUN Perak.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak faham kenapa Sivakumar tidak dapat bersabar sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung perkara itu.
"Saya tidak faham kenapa seseorang mengambil keputusan berbuat sesuatu yang menimbulkan kontroversi.
"Beliau (Sivakumar) sepatutnya tunggu sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai perkara ini. Itulah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Bersabar dulu," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri hari ini yang memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi Ipoh mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.
Perdana Menteri berkata, tindakan Sivakumar memanggil persidangan tergempar DUN Perak esok dan menggantung Menteri Besar dan enam Exco berkenaan yang dilantik secara sah oleh Sultan Perak, daripada menghadiri sidang DUN adalah salah.